suria

“Ada sebab akak nurse kau jadi singa!” - Ambil pengajaran kisah bayi ‘beku’ hidap Cyclopia... Ketahui kepentingan ‘buku pink’

Kisah seorang bayi 'beku' membuka mata ramai tentang pentingnya ibu hamil membuka buku pink.

KES tragis membabitkan mayat seorang bayi yang didakwa ditahan di sebuah hospital bersalin hingga 'beku' benar-benar mengundang rasa simpati ramai.

Pelbagai spekulasi dan andaian dibuat susulan satu demi satu pendedahan muncul daripada pelbagai pihak.

Antara topik hangat diperkatakan adalah mengenai keadaan bayi tersebut yang dilahirkan tidak sempurna iaitu mengalami sindrom Cyclopia dan meninggal dunia selepas dilahirkan.

Cyclopia adalah keadaan yang terkait dengan kromosom atau gen abnormal dan berkembang secara spontan. Keadaan itu menyebabkan seorang anak dilahirkan dengan satu mata sahaja.

ARTIKEL BERKAITAN: Hospital Bersalin Razif dedah kisah sebenar bayi ‘beku’, dakwa ibu lahirkan anak luar nikah... Diizin urus jenazah sebelum bayar bil

ARTIKEL BERKAITAN: KKM siasat kes jenazah bayi ditahan sampai ‘beku’ di hospital swasta

Kes berkenaan juga mengundang perhatian seorang pengamal perubatan, Dr Yazeed Hair Johari yang turut membuat hantaran di Facebook mengenai Cyclopia agar ia dapat membuka mata ramai pihak supaya mengambil berat soal kandungan.

"Ada yang tanya saya, boleh ke detect jika bayi itu menghidap Cyclopia. Jawapan saya, boleh.

"Dengan ultrasound, ujian ini dapat kesan Cyclopia Syndrome dengan tanda-tanda awal seperti mata satu, abnormaliti atau kecacatan otak dan organ dalaman.

"Jika tanda-tanda tadi kurang jelas diperlihatkan daripada ultrasound, bayi tadi akan dilanjutkan dengan Fetal MRI untuk kepastian," tulisnya.

baby 2

Imbasan ultrasound yang mengesan sindrom Cyclopia. -Foto FB Yazeed Hair Johari/Sonobee Ultrasound

Beliau menambah, disebabkan itulah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sangat menggalakkan ibu mengandung untuk mendapatkan rawatan susulan dengan membuka 'buku pink' sejak awal kandungan agar penyakit congenital bayi dapat dikesan lebih awal untuk pengurusan pesakit yang lebih optimum.

"Kes Cyclopia ini berlaku 1:100,000 dan ianya lethal birth, bermaksud risiko kematian sangat tinggi. Kalau lahir pun boleh survive lima jam sahaja sebagaimana kes dari Jordan.

"Jadi dengan pemeriksaan awal, doktor dapat anticipate dan terangkan kepada ibu keadaan bayi yang sebenar agar ibu faham dan tak panik jika bayi itu dilahirkan nanti.

"Boleh atau tidak diteruskan kandungan bergantung kepada beberapa faktor lain selepas assesment daripada pakar sendiri.

"Ada sebab kenapa akak nurse kau jadi singa di siang hari membebel kalau anda ambil ringan pasal buku pink ni. Ini melibatkan nyawa bayi dan lebih penting keselamatan ibu," tulisnya lagi.

baby 1

Kes tular seorang bayi yang menghidap sindrom Cyclopia dan meninggal dunia selepas dilahirkan, baru-baru ini.

Sebagai maklumat tambahan, waktu terbaik untuk membuka buku pink adalah selepas kehamilan disahkan, dan sebaik-baiknya kandungan tidak melebihi trimester pertama.

Maklumat penting seperti tarikh lahir bayi, berat bayi ketika dilahirkan, imunisasi yang telah diberikan kepada bayi, perkembangan bayi serta sebarang catatan kesihatan penting lain berkaitan kehamilan dan kelahiran akan direkodkan dalam buku tersebut.

Kesimpulannya, jangan tangguh untuk membuka buku pink kerana kesihatan ibu dan anak dalam kandungan adalah yang amat penting.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain