suria

Pakar kongsi fakta individu ASPD, beberapa pembunuh bersiri terkenal dalam sejarah bermula dengan aniaya haiwan

Individu ASPD cenderung untuk melakukan penganiayaan terhadap haiwan. -Gambar hiasan

KECOH di media sosial insiden seekor kucing ditemukan mati dalam keadaan mengerikan di kawasan kampus Universiti Malaya (UM).

Lebih menyayat hati, keempat-empat kakinya dipotong selain terdapat luka besar pada badan.

Dalam satu kenyataan, UM memaklumkan ia adalah kes kedua yang berlaku namun menerusi pendedahan di laman X, warga maya mendakwa sekurang-kurangnya empat ekor kucing telah menjadi mangsa penganiayaan sejak 12 Disember lalu.

Apa yang menjadi tanda tanya, penganiayaan terhadap kesemua haiwan berkenaan menunjukkan trend yang hampir sama, dengan kaki atau ekor 'hilang', sekali gus mencetuskan kebimbangan bahawa insiden tersebut sebenarnya didalangi manusia 'psiko' dan bukannya binatang liar.

ARTIKEL BERKAITAN: Kucing mati di UM dipercayai diserang haiwan liar - Polis

Susulan itu, netizen menggesa agar pihak berkuasa menjalankan siasatan mendalam malah pelajar di kampus berkenaan juga telah memulakan petisyen dalam talian bagi mendesak tindakan undang-undang yang lebih tegas terhadap pelaku.

Secara tidak langsung, insiden yang berlaku menimbulkan kegelisahan orang ramai mengenai tahap keselamatan awam dan mengaitkannya dengan potensi penjenayah untuk melakukan keganasan sama terhadap manusia.

Pakar Perunding Kanan Psikiatri UM, Prof Madya Dr Muhammad Muhsin Ahmad Zahari dalam satu wawancara Bersama TV3, Ogos lalu turut mengakui sekiranya kekejaman terhadap haiwan tidak dihentikan, ia mampu mendorong si pelaku bertindak lebih agresif kepada manusia.

pic 2

Perkongsian di laman sosial mengenai beberapa kes penganiayaan kucing di UM.

Artikel yang diterbitkan oleh Michigan State University pada 2008 juga mengatakan, berdasarkan kajian, beberapa pembunuh bersiri yang terkenal dalam sejarah, melakukan penganiayaan haiwan sebelum membunuh manusia dengan kejam.

Mangsa pertama Jeffrey Dahmer ialah haiwan, di mana dia memenggal kepala anjing serta menusuk kepala katak, kucing dan anjing menggunakan kayu.

Albert DeSalvo atau nama julukannya, 'Boston Strangler' yang disabitkan bersalah membunuh 13 wanita, memanah anjing dan kucing sewaktu muda; manakala Lee Boyd Malvo yang membunuh 10 mangsanya juga pernah menyeksa kucing.

"Paling dikhuatiri elemen anti-sosial, sebab memang ada diagnosa dari segi perubatan psikatri, kecelaruan personaliti anti-sosial (ASPD) ini biasanya dia buat sesuatu yang tak baik kepada orang lain, dia tak rasa kasihan, tiada empati... kosong.

"Dia bunuh, dia tiada rasa apa-apa. Kelakuan seperti ini ada elemen anti-sosial disitu, tiada rasa empati. Tengok binatang kesakitan, dia gelak. Itu sesuatu yang tidak kena... memang jiwa dia sakit," tambahnya.

Apa itu ASPD?

Memetik laman Hello Doktor, ASPD atau dikenali juga sebagai sociopathy, adalah keadaan mental di mana seseorang secara konsisten tidak mempedulikan apa yang benar dan salah, mengabaikan hak dan perasaan orang lain.

Individu ASPD cenderung untuk menentang, memanipulasi atau melayan orang lain dengan kasar, tidak menunjukkan rasa bersalah atau menyesal, sering cenderung melanggar undang-undang dan menjadi penjenayah.

pic 1

Antara kes penganiayaan haiwan yang tular sehingga mendapat liputan media.

Ciri-ciri ASPD:

- Tidak berperasaan, sinis dan tidak menghormati orang lain

- Penentangan, pergolakan, keagresifan atau keganasan

- Kurang empati dan tidak menyesal dalam membahayakan orang lain

- Gagal mempertimbangkan akibat negatif tingkah laku

Faktor ASPD

- Sejarah diagnosis terhadap kecelaruan kelakuan kanak-kanak

- Sejarah keluarga, gangguan personaliti lain atau penyakit mental

- Terdedah kepada penyalahgunaan atau pengabaian semasa zaman kanak-kanak

- Membesar dalam keluarga yang tidak stabil, ganas atau huru-hara pada zaman kanak-kanak

Untuk makluman, kajian mendedahkan lelaki lebih berisiko tinggi mengalami kecelaruan personaliti antisosial berbanding wanita.

Kesimpulannya, jika mengalami atau mengesan berlakunya kecelaruan dalam kelakukan atau sikap, segeralah dapatkan bantuan pakar.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain