ANTIOKSIDAN memainkan peranan penting dalam melindungi sel-sel tubuh daripada kerosakan yang berpunca daripada radikal bebas.
Untuk makluman, radikal bebas adalah molekul tidak stabil yang boleh menyebabkan mutasi sel dan meningkatkan risiko pembentukan sel kanser.
Pengambilan makanan yang kaya dengan antioksidan secara konsisten boleh membantu mengurangkan risiko pelbagai penyakit, termasuk kanser dan masalah kesihatan lain.
Berikut adalah beberapa kategori makanan yang tinggi dengan antioksidan serta contoh sumbernya:
Vitamin C – Membantu meningkatkan sistem imun dan melawan radikal bebas.
Contoh: Jambu batu, oren dan kiwi.
Karotenoid – Bertindak sebagai agen perlindungan terhadap kerosakan sel.
Contoh: Lobak merah, betik dan tomato.
Flavonoid dan Polifenol – Mempunyai sifat anti-radang dan membantu meningkatkan kesihatan kardiovaskular.
Contoh: Oat, anggur dan teh hijau.
Indole dan sebatian sulfur – Membantu dalam proses detoksifikasi tubuh dan mengurangkan risiko kanser.
Contoh: Kailan, brokoli dan kubis.
Makanan kaya antioksidan baik untuk kesihatan.
Untuk mendapatkan manfaat maksimum daripada antioksidan, amalkan empat langkah berikut:
1. Pilih sayur dan buah berwarna-warni kerana setiap warna mengandungi nutrien berbeza yang memberi manfaat kepada tubuh.
2. Masukkan sayur dan buah dalam hidangan utama dengan memastikan setiap hidangan mengandungi sumber antioksidan yang mencukupi.
3. Separuh daripada pengambilan bijirin seharusnya terdiri daripada bijirin penuh untuk manfaat serat dan antioksidan tambahan.
4. Gunakan herba dan rempah ratus daripada bahan semula jadi seperti kunyit, halia, dan bawang putih yang kaya dengan sebatian antioksidan membantu meningkatkan perlindungan sel.
Pengambilan sekurang-kurangnya tiga sajian sayur dan dua sajian buah setiap hari, berserta gaya hidup aktif, merupakan langkah terbaik dalam usaha mengekalkan kesihatan yang optimum.
Dengan mengamalkan pemakanan sihat ini, kita bukan sahaja dapat mengurangkan risiko kanser malah mencegah pelbagai penyakit tidak berjangkit yang lain.