suria

Tangan rasa kebas, lenguh-lenguh tengah malam... Jangan abaikan, mungkin petanda anda terkena sindrom ini

Menaip dalam tempoh lama boleh menyebabkan rasa lenguh pada tangan.

RASA kebas dan kesakitan di tangan terutamanya pada waktu malam boleh menjadi tanda-tanda awal Sindrom Carpal Tunnel (CTS).

Keadaan ini berlaku akibat tekanan berulang pada saraf median di pergelangan tangan, yang boleh menyebabkan ketidakselesaan berpanjangan.

Tanpa rawatan yang sesuai, gejala ini boleh bertambah teruk dan merebak hingga ke bahu, terutama pada waktu pagi selepas bangun tidur.

Oleh itu, penting untuk memahami punca serta langkah pencegahan bagi mengelakkan keadaan ini daripada menjejaskan aktiviti harian.

Gejala Sindrom Carpal Tunnel

Beberapa tanda utama yang menunjukkan kemungkinan anda mengalami sindrom ini termasuk:

1. Kesakitan dan rasa lenguh pada tangan.

2. Sensasi (rasa) mencucuk-cucuk di permukaan tangan.

3. Kebas pada tangan, terutamanya pada jari.

4. Kelemahan pada tangan yang boleh menjejaskan cengkaman.

Gejala ini biasanya berlaku akibat pergerakan berulang yang memberi tekanan kepada saraf median di pergelangan tangan.

Contohnya, menaip pada papan kekunci dalam tempoh yang lama boleh menyebabkan saraf menjadi terhimpit, sekali gus mencetuskan masalah ini.

Woman holding her wrist pain from overuse smartphone.

Rasa kebas dan lenguh boleh menyerang pada bahagian tangan akibat CTS.

Golongan berisiko

Beberapa individu lebih cenderung untuk mengalami Sindrom Carpal Tunnel berdasarkan jenis pekerjaan dan aktiviti harian mereka. Antaranya ialah:

1. Pekerja pejabat yang menaip sepanjang hari.

2. Tukang jahit yang menggunakan mesin jahit secara berterusan.

3. Tukang masak yang melakukan pergerakan berulang dalam penyediaan makanan.

4. Ahli muzik yang kerap memainkan instrumen seperti gitar atau piano.

5. Pekerja salun kecantikan.

6. Tukang gunting rambut yang menggunakan gunting dalam tempoh yang lama.

MYMK 2024 mechanical keyboard meetup at SEGI University, Kota Damansara. — YAP CHEE HONG/The Star

Pastikan postur tangan betul ketika menaip menggunakan papan kekunci.

Langkah pencegahan

Bagi mengurangkan risiko terkena Sindrom Carpal Tunnel, beberapa langkah pencegahan boleh diamalkan, antaranya:

1. Memastikan postur tangan dan pergelangan berada dalam kedudukan yang betul semasa bekerja.

2. Mengambil masa untuk berehat dan melakukan regangan setiap 20 minit ketika melakukan tugas yang melibatkan pergerakan tangan secara berulang.

3. Menggunakan peralatan ergonomik yang dapat membantu mengurangkan tekanan pada pergelangan tangan.

4. Mengamalkan senaman tangan yang boleh meningkatkan fleksibiliti dan kekuatan otot tangan serta pergelangan.

5. Jika anda mengalami simptom yang berpanjangan atau semakin serius, segera dapatkan rawatan daripada pakar bagi mengelakkan komplikasi lanjut.

Artikel Lain