suria

Ambil tahu tanda-tanda awal serangan strok... Rawatan segera boleh selamatkan nyawa

Hilang keseimbangan sehingga jatuh boleh jadi petanda awal strok. -Gambar hiasan

STROK merupakan salah satu punca utama kematian dan kecacatan di seluruh dunia.

Namun, ramai yang tidak menyedari bahawa rawatan awal dalam tempoh empat hingga lima jam selepas simptom bermula boleh membantu mengurangkan kerosakan pada otak.

Menurut seorang doktor perubatan, Muaz Radzuan, memahami tanda-tanda awal strok adalah penting untuk mendapatkan rawatan segera.

"Kita boleh mengurangkan kesan strok jika rawatan dimulakan dalam masa empat hingga lima jam selepas simptom pertama muncul.

"Selepas tempoh ini, sel darah tidak dapat sampai ke otak menyebabkan sel otak mati dan keadaan tidak boleh dipulihkan," jelasnya menerusi TikTok.

Justeru, apakah tanda-tanda awal strok yang boleh dikenali walaupun tanpa pemeriksaan doktor?

Dr Muaz berkongsi kaedah mudah menggunakan akronim BEFAST (Balance, Eyes, Face, Arms, Speech dan Time) untuk mengenal pasti simptom awal strok:

Girl teen headache from  sun stroke sunny hot day heat migraine pain.

Dapatkan rawatan segera sekiranya terdapat tanda-tanda strok. -Gambar hiasan

1. Balance (Keseimbangan)

Individu yang mengalami strok mungkin berasa pening secara tiba-tiba atau mengalami masalah keseimbangan, menyebabkan mereka mudah terjatuh.

2. Eyes (Penglihatan)

Penglihatan menjadi kabur atau terganggu secara mendadak, sama ada pada sebelah atau kedua-dua belah mata.

3. Face (Wajah)

Salah satu tanda utama strok adalah kelumpuhan separuh wajah. Ini boleh dikenali melalui kehilangan lipatan nasolabial (garisan antara hidung dan mulut) dan kedutan pada dahi.

4. Arms (Lengan)

Sebahagian anggota badan mungkin tidak berfungsi dengan baik. Individu yang mengalami strok sering kali tidak mampu mengangkat sebelah tangan atau kehilangan keupayaan pergerakan.

5. Speech (Pertuturan)

Pertuturan menjadi tidak jelas atau 'teleng' kerana kelumpuhan sebahagian wajah yang turut memberi kesan kepada pergerakan lidah.

6. Time (Masa)

Masa adalah faktor kritikal dalam menangani strok. Jika seseorang menunjukkan mana-mana simptom di atas, segera hubungi ambulans untuk mendapatkan rawatan.

Mengenal pasti tanda-tanda awal strok dan bertindak pantas boleh membantu menyelamatkan nyawa serta mengurangkan risiko kecacatan jangka panjang.

Oleh itu, penting untuk orang ramai sentiasa berwaspada dan mendapatkan rawatan segera sekiranya berlaku sebarang gejala strok.

Artikel Lain