suria

Bukan doa suami ‘pergi’ dulu, tapi ini panduan berguna untuk isteri urus harta selepas kematian pasangan

Golongan isteri perlu menguruskan harta pusaka selepas kematian suami. -Gambar hiasan

KEHILANGAN suami bukan hanya satu ujian melibatkan emosi, tetapi juga cabaran besar daripada segi kewangan dan pengurusan harta.

Ramai golongan isteri mungkin tidak menyedari betapa kompleksnya urusan kewangan selepas pemergian suami.

Berikut adalah lima fasa utama yang perlu ditempuh seorang isteri selepas kematian suami, seperti yang dikongsikan Perancang Harta Pusaka Islam berlesen, Azrul Ridzwan di TikTok.

1. Tidak boleh menggunakan wang dalam akaun bank arwah

Walaupun isteri mengetahui nombor PIN (Nombor Pengenalan Peribadi) suami, wang dalam akaun bank arwah tidak boleh digunakan sesuka hati kerana ia sudah menjadi harta pusaka.

Sebarang pengeluaran perlu mendapat persetujuan daripada semua waris yang berhak ke atas harta pusaka tersebut.

2. Wang KWSP bukan hak mutlak isteri walaupun sebagai penama

Ramai yang tersalah anggap bahawa wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan menjadi hak mutlak isteri jika namanya didaftarkan sebagai penama.

Hakikatnya, penama hanya bertindak sebagai pentadbir untuk menguruskan wang tersebut agar dapat difaraidkan mengikut hukum syariah.

Isteri perlu menyimpan wang untuk digunakan ketika kecemasan. -Gambar hiasan

3. Perlukan wang ‘survival mode’ untuk teruskan hidup

Tempoh selepas kematian suami sangat mencabar kerana isteri perlu menanggung perbelanjaan harian dan keperluan anak-anak sementara menunggu proses pembahagian harta pusaka selesai.

Oleh itu, penting untuk mempunyai dana kecemasan sebagai persediaan menghadapi situasi ini.

4. Keperluan wang untuk menguruskan pembahagian harta pusaka

Proses pembahagian harta pusaka memerlukan kos yang tinggi, termasuk:

a. Perbelanjaan pengangkutan ke jabatan berkaitan untuk urusan rasmi.

b. Dokumentasi dan yuran proses bagi mendapatkan sijil kematian serta surat kuasa.

c. Kos pentadbiran sepanjang proses pembahagian harta pusaka.

d. Yuran guaman untuk mendapatkan khidmat peguam dalam menguruskan urusan undang-undang berkaitan.

5. Perlu wang untuk menebus harta pusaka

Dalam kebanyakan kes, isteri mungkin ingin menebus harta pusaka seperti rumah atau kereta daripada waris lain kerana nilai sentimental yang dimiliki.

Ini memerlukan sejumlah wang yang besar bagi membolehkan isteri terus memiliki aset tersebut.

Situasi ini menunjukkan betapa pentingnya perancangan kewangan dalam rumah tangga.

Ini termasuk penyediaan dana kecemasan dan perancangan harta pusaka bagi memastikan kebajikan isteri serta anak-anak terjamin selepas kehilangan ketua keluarga.

Artikel Lain