KETAGIHAN pornografi dalam kalangan remaja Malaysia semakin membimbangkan.
Kajian dijalankan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 2021 mendedahkan 75 peratus daripada remaja di negara ini pernah menonton video atau melihat gambar pornografi.
Menurut Pensyarah di Jabatan Perubatan Keluarga Fakulti Perubatan UKM, Prof Madya Dr Noor Azimah Muhammad, kebanyakan yang terbabit adalah remaja lelaki.
Jelasnya, ketagihan terhadap bahan pornografi ini mula terdedah sejak di sekolah menengah.
Ketagihan pornografi lebih daripada sekadar kurang kawalan diri
Psikologis klinikal, Aiman Amri yang aktif dalam meningkatkan kesedaran kesihatan mental menjelaskan, ketagihan pornografi bukan semata-mata berpunca daripada kurangnya kawalan diri.
Sebaliknya, ia adalah respons otak terhadap pengalaman yang menyakitkan.
Ramai tidak menyedari bahawa ketagihan sering bermula sebagai mekanisme pertahanan diri.
Apabila seseorang mengalami pengalaman pahit semasa kecil, otak secara semula jadi mencari jalan untuk mengurangkan kesakitan emosi tersebut.
Dalam dunia terapi, konsep ini dikenali sebagai numbing the pain atau kebaskan rasa sakit emosi.
Aiman aktif berkongsi isu kesihatan mental dan psikologi menerusi media sosial.
Antara contoh tindakan yang dilakukan untuk menghilangkan rasa sakit ini termasuk:
1. Makan secara berlebihan atau makanan pedas
2. Mengambil dadah
3. Minum arak
4. Melayari kandungan pornografi
Bagaimana ketagihan ini bermula?
Daripada sudut sains, otak manusia direka untuk mencari keseronokan dan mengelakkan kesakitan.
Apabila seseorang mengalami trauma, sistem ganjaran otak akan mula mencari penyelesaian segera bagi mengurangkan tekanan emosi.
Sebagai contoh, Ahmad (bukan nama sebenar), 30, mula menggunakan kandungan pornografi di Internet ketika remaja sebagai cara untuk:
1. Melarikan diri daripada tekanan
2. Mengawal emosi yang sukar
3. Mencari keselesaan sementara atau escapisme
Apa yang bermula sebagai sekadar escapisme akhirnya menjadi:
1. Rutin harian yang wajib
2. Punca keresahan apabila tidak menontonnya
3. Pengganti kepada hubungan sebenar
Kajian menunjukkan ketagihan bermula sewaktu mereka di bangku sekolah. -Gambar hiasan
Proses pemulihan adalah melalui langkah ke arah perubahan positif
Untuk mengatasi ketagihan ini, langkah pertama adalah memahami akar umbi masalah.
Berikut adalah beberapa langkah yang boleh diambil:
1. Kenal pasti trauma awal yang belum diselesaikan
2. Belajar cara baharu mengurus emosi
3. Bina semula hubungan yang sihat
4. Dapatkan sokongan profesional
Jangan hadapi masalah ketagihan ini bersendirian
Langkah pertama ke arah pemulihan adalah dengan mengakui dan menerima bahawa anda memerlukan sokongan.
Jika anda atau kenalan terdekat sedang bergelut dengan ketagihan pornografi, dapatkan bantuan daripada pakar kesihatan mental atau kaunselor.