KES tersedak susu dalam kalangan bayi terutamanya yang berusia enam bulan ke bawah bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan.
Keadaan ini boleh membawa kepada Aspiration Pneumonia, iaitu jangkitan paru-paru akibat cecair yang masuk ke bahagian atas organ pernafasan tersebut.
Jika tidak ditangani segera, bayi mungkin memerlukan bantuan pernafasan kerana fungsi paru-parunya boleh merosot dengan teruk.
Bagi ibu bapa, adalah sangat penting untuk mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan perkara ini berlaku.
Berikut adalah empat langkah mudah yang boleh dipraktikkan mengikut perkongsian Pegawai Perubatan Pediatrik, Dr Redza Zainol:
Awasi dengan perhatikan anak ketika menyusu. -Gambar hiasan
1. Tegakkan badan bayi selepas menyusu
Selepas sesi penyusuan selesai, pastikan badan bayi berada dalam posisi tegak seketika.
Ini membolehkan saki baki susu dalam mulut ditelan dengan sempurna dan mengurangkan risiko tersedak.
2. Sendawakan bayi
Jangan abaikan amalan sendawakan bayi selepas menyusu. Walaupun nampak remeh, ia sebenarnya sangat penting dalam mengeluarkan angin yang terperangkap dalam perut bayi.
Caranya mudah, hanya tepuk atau gosok perlahan-lahan bahagian belakang bayi dalam keadaan sedikit menegak selama lima hingga 10 minit sehingga bayi sendawa.
3. Jangan biarkan bayi menyusu sendirian
Antara punca utama bayi tersedak adalah kerana dibiarkan menyusu sendiri menggunakan botol.
Ramai ibu bapa meletakkan bantal di bawah botol susu untuk mengelakkan ia terjatuh, tetapi tindakan ini sebenarnya berisiko tinggi.
Jika aliran susu terlalu laju, bayi mungkin tidak sempat menelan dengan betul dan akhirnya boleh mengalami lemas.
4. Baringkan bayi secara mengiring selepas menyusu
Selepas bayi menyusu, baringkan mereka dalam keadaan mengiring ke sebelah kanan.
Posisi ini membantu jika bayi muntah, kerana cecair tersebut akan mengalir keluar dari tepi mulut, sekali gus mengurangkan risiko susu terkumpul di dalam mulut atau saluran pernafasan.