suria

Anda atau orang terdekat suka rakam diri sambil menangis? Penting ambil tahu fakta ini

Ramai yang suka merakam diri ketika sedang menangis. -Gambar hiasan

VIDEO yang memaparkan seorang individu sedang menangis ketika berada di dalam kereta tular di media sosial.

Tindakan individu tersebut yang merakam diri sendiri sedang bersedih mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan warganet.

Klip video yang tular itu turut mencetuskan topik hangat apabila ada yang mengaitkannya dengan kesihatan mental.

Ramai yang mengaitkan tingkah laku tersebut dengan dua jenis kecelaruan personaliti, iaitu Kecelaruan Personaliti Histrionik (HPD) dan Kecelaruan Personaliti Pinggiran (BPD).

HPD dan BPD dikaitkan dengan masalah mental seseorang. -Gambar hiasan

Kecelaruan Personaliti Histrionik atau Histrionic Personality Disorder (HPD)

Menurut portal Cleveland Clinic, HPD merupakan satu gangguan kesihatan mental yang dicirikan oleh emosi tidak stabil serta keinginan melampau untuk mendapat perhatian.

Perkataan histrionik itu sendiri merujuk kepada tingkah laku yang dramatik atau teatrikal.

Individu yang mengalami HPD sering menunjukkan ekspresi emosi berlebihan serta berusaha keras untuk menarik perhatian orang lain, termasuk melalui tingkah laku dramatik atau tidak sesuai.

Mereka cenderung bergantung kepada pandangan serta penerimaan orang lain bagi membentuk harga diri dan sering kali tidak menyedari corak pemikiran serta tingkah laku mereka adalah bermasalah.

Kecelaruan Personaliti Pinggiran atau Borderline Personality Disorder (BPD)

Manakala menurut portal Hello Doktor pula, BPD merupakan gangguan mental lebih serius dan memberi kesan kepada cara individu berfikir mengenai diri sendiri serta orang di sekeliling mereka.

Individu yang mengalami BPD cenderung memiliki emosi yang sangat kuat dan tidak stabil, hubungan interpersonal yang kompleks, serta corak tingkah laku yang impulsif.

Mereka juga sering berasa takut ditinggalkan, mengalami perasaan kekosongan dan kebosanan yang melampau, serta sukar untuk bersendirian.

Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan kesihatan mental, malah turut memberi kesan kepada kesejahteraan fizikal seseorang.

Sebagai kesimpulan, tindakan merakam diri sendiri ketika menangis mungkin disebabkan pelbagai punca dan tidak semestinya disebabkan oleh kecelaruan personaliti.

Bagaimanapun, adalah penting untuk masyarakat lebih peka terhadap kesihatan mental serta memahami tanda-tanda awal gangguan mental seperti HPD dan BPD.

Jika terdapat sebarang kebimbangan mengenai keadaan mental seseorang, adalah wajar untuk kita menasihati mereka mendapatkan bantuan daripada pakar psikologi atau psikiatri.

Artikel Lain