MASYARAKAT hari ini semakin terbuka dengan pelbagai perspektif mengenai identiti dan orientasi seksual.
Namun percanggahan pendapat selalu mencetuskan perdebatan kerana penerimaan setiap orang mengenai perkara itu adalah berbeza-beza.
Seperti yang terjadi di media sosial, netizen secara terbuka menuduh seseorang itu bernafsu songsang malah memperlekehkan niatnya untuk berkahwin.
Walaupun isu ini sensitif, ia wajar ditangani dengan hikmah dan berlandaskan prinsip Islam yang menekankan kasih sayang, bimbingan dan usaha memperbaiki diri.
Memahami perasaan dan kedudukannya dalam Islam
Seorang lelaki yang mengakui memahami perasaan yang 'tidak lurus' itu terpanggil untuk mengulas serta memberikan pendapatnya di media sosial secara umum.
Berikut adalah tujuh pendekatan boleh dilakukan bagi mereka atau golongan songsang yang menghadapi situasi sedemikian:
Hubungan sejenis adalah dilarang dalam Islam. -Gambar hiasan
1. Menerima perasaan dengan adanya kesedaran
Perasaan yang timbul secara fitrah bukanlah satu kesalahan.
Namun, penting untuk individu tersebut memahami bahawa penerimaan perasaan ini bukan bermaksud ia harus diterjemahkan dalam bentuk perbuatan yang bertentangan dengan syariat.
Dengan menerima perasaan tersebut tanpa menjustifikasikannya sebagai alasan untuk melanggar batas agama, seseorang akan lebih tenang dalam menghadapi cabaran ini.
2. Mengukuhkan hubungan dengan Pencipta
Sebagai seorang Muslim, pergantungan kepada Allah adalah kunci utama dalam mencari ketenangan dan jalan keluar bagi setiap ujian hidup.
Memperbanyakkan doa, beristighfar dan mendekatkan diri kepada-Nya melalui ibadah boleh membantu seseorang memahami hikmah di sebalik ujian yang dihadapi.
3. Mengalihkan keinginan ke arah yang positif
Kecenderungan yang ada boleh disalurkan kepada perkara yang lebih bermakna seperti membina hubungan persahabatan yang sihat serta melibatkan diri dalam kerja-kerja komuniti.
4. Membina hubungan tanpa melampaui batas
Islam mengiktiraf konsep companionship, iaitu membina hubungan emosi yang rapat tanpa elemen romantik atau seksual.
Dalam hal ini, seseorang masih boleh memiliki ikatan persahabatan yang kuat tanpa perlu melanggar hukum syarak.
5. Melatih diri untuk bersabar dan mengawal nafsu
Dalam Islam, kesabaran adalah satu elemen penting ketika menghadapi ujian.
Dengan mengawal diri dan nafsu, seseorang dapat mengelakkan diri daripada terjerumus ke dalam perbuatan yang tidak diredai Allah.
Sokongan daripada ahli keluarga, rakan-rakan dan bimbingan ulama boleh membantu dalam proses ini.
Ada golongan yang sanggup bernikah untuk mengaburi nafsu songsang mereka. -Gambar hiasan
6. Fokus kepada matlamat dan minat dalam kehidupan
Mempunyai matlamat yang jelas dalam hidup dapat memberi seseorang rasa tujuan dan identiti.
Dengan memberi tumpuan kepada perkara yang membawa manfaat, seseorang boleh membina keyakinan diri dan menjalani kehidupan lebih sejahtera.
7. Memahami perkahwinan dalam Islam
Islam tidak mewajibkan perkahwinan bagi setiap individu dan ia hanya disarankan bagi mereka yang mampu dari segi emosi, fizikal dan kewangan.
Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, hukum asal pernikahan menurut jumhur ulama adalah sunnah dan bukannya wajib.
Namun, sebahagian ulama membahagikan hukum nikah kepada lima kategori berdasarkan keadaan individu yang melaksanakannya.
Dalam kes individu yang menghadapi cabaran dalam orientasi seksual, mereka boleh memilih jalan yang terbaik berdasarkan kemampuan dan keadaan tanpa merasa terpaksa.
Sebagai kesimpulan, setiap individu diuji dengan cabaran yang berbeza dalam kehidupan dan Allah Maha Mengetahui setiap apa yang dilalui oleh hamba-Nya.
Islam bukan agama yang menghukum tanpa sebab, tetapi memberi ruang untuk manusia memperbaiki diri dan mencari jalan terbaik untuk mendekatkan diri kepada-Nya.
Sebagai peringatan, mengamalkan hubungan sejenis adalah dilarang dalam Islam, maka semua perlu menjauhinya.