RAMAI yang mungkin tidak menyedari tentang kesan trauma zaman kanak-kanak (childhood trauma) sehinggalah mereka dewasa.
Menurut penasihat isu kesihatan mental, Zulaikha Hazran, ia boleh diibaratkan seperti luka ketika kecil yang tidak dirawat dan kesannya mungkin hanya terasa kemudian hari.
Trauma ini boleh membawa seseorang kepada isu rendah harga diri, masalah kepercayaan dan kesukaran mengekspresikan kasih sayang.
Menurut Zulaikha, bercakap atau bercerita mengenai pengalaman lalu di zaman kanak-kanak bukanlah membuka aib, tetapi satu usaha untuk memahami dan meneruskan kehidupan dengan lebih baik.
Tujuannya bukan untuk menyalahkan sesiapa, tetapi untuk memastikan kesilapan yang sama tidak berulang kepada generasi seterusnya.
Malah dalam Islam, kita digalakkan untuk memahami apa yang sudah berlaku supaya dapat memperbaiki diri menjadi insan yang lebih baik.
Ibu bapa memainkan peranan membentuk pengalaman kanak-kanak.
Kesan childhood trauma dalam kehidupan dewasa
Trauma zaman kanak-kanak boleh menyukarkan individu dalam membina hubungan yang sihat dengan orang lain.
Jelasnya, bercakap tentang pengalaman lalu bukan bermaksud menyalahkan sesiapa, tetapi sebagai langkah pertama dalam penyembuhan.
Ini bermakna proses penyembuhan bukan untuk 'membalas dendam', tetapi untuk membina kesejahteraan emosi.
Peranan ibu bapa dalam pembentukan emosi anak
Dalam perkongsian Zulaikha, dia turut menjelaskan mengenai pemahaman kita mengenai peranan ibu bapa.
Seperti insan lain, ibu bapa adalah manusia biasa jadi mereka juga pertama kali menjadi ibu dan ayah yang 'belajar' sambil membesarkan anak-anak.
Kadangkala mereka melakukan kesilapan atau terlepas emosi, bukan kerana tidak menyayangi anak, tetapi kerana kurang pengetahuan tentang cara yang lebih baik.
Tangkap layar video perkongsian Zulaikha di media sosial.
Kepentingan mendapatkan bantuan profesional atau pakar
Dalam bidang psikologi, terdapat pelbagai pendekatan terapi.
Walaupun ada yang lebih fokus kepada masa kini, kajian tetap menunjukkan pengalaman zaman kanak-kanak memberi kesan besar terhadap kesihatan mental seseorang.
Setiap individu mungkin memerlukan pendekatan berbeza dalam menghadapi kesan trauma.
Oleh itu, dapatkan bantuan daripada pakar psikologi atau psikiatri untuk diagnosis yang tepat dan rawatan bersesuaian.
Bagaimanapun, dinasihatkan agar tidak membuat sebarang ‘self-diagnose’ yang boleh mengelirukan dan memburukkan keadaan.
Dengan memahami dan merawat luka lama, kita dapat membina kehidupan lebih sihat serta mengelakkan generasi akan datang mengulangi kesilapan sama.