suria

Kawal nafsu makan, ini makanan yang harus dielak ketika berbuka puasa

Keghairahan membeli juadah membuatkan masyarakat terlupa untuk mengawal corak pemakanan.

TIDAK dinafikan nafsu makan rakyat Malaysia semakin meningkat setiap kali memasuki bulan Ramadan apatah lagi dengan kemeriahan juadah berbuka puasa di bazar-bazar.

Mana tidaknya, pelbagai jenis makanan yang sukar diperoleh pada bulan-bulan lain ada dijual di bazar Ramadan.

Namun dalam keghairahan membeli juadah, orang ramai dinasihatkan untuk menilai corak pemakanan mereka bagi memastikan ibadah puasa berjalan lancar tanpa menjejaskan kesihatan.

Menurut portal Hello Sehat, terdapat beberapa jenis makanan yang harus dihidari ketika berbuka puasa.

1) Makanan pedas

Makan makanan bercili atau berempah lebih-lebih lagi dalam keadaan perut kosong boleh memberi iritasi pada lapisan perut sehingga mengakibatkan tindak balas asid dan kekejangan.

Tidak salah sekiranya mahu menambah rasa pedas dalam masakan, namun ia perlulah berpada-pada dan tidak keterlaluan supaya tidak menderita penyakit kronik pada kemudian hari.

2) Makanan atau minuman manis

Juadah atau minuman manis terutama yang mengandungi gula tambahan boleh menyebabkan spike atau kenaikan mendadak paras gula dalam darah jika diambil ketika perut kosong.

Kenaikan mendadak tersebut boleh mencetuskan pengeluaran insulin yang tinggi secara tiba-tiba meskipun organ pankreas masih dalam proses penyesuaian.

Justeru itu, orang ramai disarankan untuk minum air kosong dahulu ketika berbuka puasa dan bersederhana dalam pengambilan minuman manis.

Elakkan makan makanan manis dan berlemak ketika berbuka puasa.

3) Makanan tinggi lemak

Makanan ringan atau bergoreng bukan sahaja mengandungi kandungan kalori yang tinggi bahkah ia juga rendah daripada segi nutrien lain seperti vitamin dan mineral.

Malah, makanan dengan kandungan lemak yang tinggi lebih sukar untuk dihadam sehingga menyebabkan kembung perut, mual dan sakit perut.

4) Buah-buahan citrus

Tidak dinafikan buahan-buahan memang baik untuk kesihatan tubuh namun buah jenis sitrus seperti oren, limau dan lemon sebenarnya tidak sesuai dimakan semasa perut kosong.

Ia kerana buah-buahan berkenaan boleh meningkatkan pengeluaran asid dalam perut sehingga meningkatkan risiko penyakit gastrik.

5) Minuman berkafein

Minum kopi dalam keadaan perut kosong sudah pun menjadi kebiasaan bagi segelintir individu.

Bagaiamanpun, tabiat berkenaan seharusnya dihentikan kerana kandungan kafein dalam kopi boleh merangsang rembesan asid hidarulik sehingga menganggu sistem pencernaan.

Artikel Lain