MENJELANG bulan Ramadan, ramai yang berusaha meningkatkan amalan ibadah dan dalam masa sama turut memberi perhatian kepada penurunan berat badan sebagai persediaan menyambut Aidilfitri.
Dalam hal ini, timbul persoalan mengenai keberkesanan diet intermittent fasting (IF) jika diamalkan serentak dengan ibadah puasa.
Secara umumnya, intermittent fasting merujuk kepada corak pemakanan yang membahagikan tempoh berpuasa dan makan dalam sehari.
Antara kaedah yang popular ialah pola 16 nisbah lapan, di mana individu itu berpuasa selama 16 jam dan hanya makan dalam tempoh lapan jam yang ditetapkan.
Namun dalam konteks Ramadan, tempoh berpuasa bermula dari waktu Subuh hingga Maghrib, yang secara purata mengambil masa antara 13 hingga 14 jam bergantung kepada lokasi.
Dr Asyraf banyak berkongsi mengenai diet di media sosial.
Ini menimbulkan persoalan sama ada seseorang individu itu perlu meneruskan intermittent fasting dengan tidak bersahur bagi melengkapkan tempoh 16 jam berpuasa.
Menurut seorang doktor perubatan, Dr Asyraf Sam, intermittent fasting tidak perlu dilakukan semasa Ramadan kerana konsepnya sudah selari dengan ibadah puasa itu sendiri.
Tujuan utama intermittent fasting adalah untuk memanfaatkan simpanan tenaga dalam badan iaitu sesuatu yang sememangnya berlaku secara semula jadi ketika berpuasa.
Selain itu, Dr Asyraf turut menekankan bahawa Ramadan berlangsung selama 30 hari berturut-turut dengan pola pemakanan yang tetap.
Ia menjadikan berpuasa ini satu tempoh mencukupi untuk badan menyesuaikan diri dengan corak pemakanan yang lebih sihat.
Oleh itu, adalah lebih baik untuk mengekalkan rutin sahur dan berbuka secara seimbang, berbanding IF yang boleh membawa kepada risiko kekurangan nutrisi atau tenaga sepanjang hari.