PASTI ada dalam kalangan wanita yang berdepan masalah kitaran haid tidak menentu atau lewat setiap kali berpuasa di bulan Ramadan.
Jangan bimbang, perkara itu adalah normal dan lazim berlaku dalam kalangan wanita disebabkan faktor perubahan pola pemakanan yang mendadak.
Pakar sakit puan Dr Muahammd Fadli menerangkan perubahan kitaran haid sering terjadi kepada mereka yang berpuasa atau mengamalkan intermittent fasting kerana berlakunya pengurangan defisit kalori sehingga mempengaruhi hormon.
"Pola makan kita semasa berpuasa, termasuk waktu makan akan berubah. Ini mungkin disebabkan oleh defisit kalori yang kemudian mempengaruhi hormon estrogen dalam tubuh kita.
"Penurunan hormon estrogen secara tiba-tiba boleh memberi kesan kepada kitaran haid,” ujarnya.
Kitaran haid tidak menentu dipengaruhi oleh beberapa faktor.
Dalam pada itu, Fadli tidak menolak kekangan waktu rehat ketika bulan Ramadan juga boleh meningkatkan hormon stres (kortisol) sehingga mengganggu keseimbangan hormon pembiakan lain seperti hormon FSH (Follicle-Stimulating Hormone) dan LH (Luteinizing Hormone).
Apabila kedua-duanya tidak seimbang, maka proses ovulasi juga boleh terganggu.
Bagaimanapun, sekiranya anda berdepan masalah kitaran haid tidak teratur yang berulang-ulang untuk tempoh lama, ia dikhuatiri berpunca daripada masalah organ pembiakan.
Oleh itu, penting buat wanita untuk melakukan pemeriksaan segera di hospital bagi mendapatkan rawatan sekiranya wujud masalah dikesan.
"Banyak penyebabnya (masalah kitaran haid), tetapi kita perlu periksa terlebih dahulu untuk mengesan keganjilan dengan melakukan pemeriksaan ultrabunyi (USG).
"Jika hasilnya normal, mungkin ada masalah hormon, gangguan metabolisme atau penyakit lain seperti diabetes," jelasnya. -Agensi