suria

Semak dulu status halal, rupanya tak semua premis boleh buat iklan guna istilah ‘bufet Ramadan’

Bufet Ramadan menjadi pilihan ramai setiap kali tibanya bulan Puasa. -Gambar hiasan

SETIAP kali tibanya bulan puasa, tentunya buffet Ramadan menjadi pilihan ramai kerana suasana berbuka yang meriah dengan pelbagai aneka juadah.

Dek kerana wujudnya permintaan, maka tidak hairanlah apabila banyak hotel dan restoran memperkenalkan konsep hidangan sedemikian semata-mata untuk menarik minat pelanggan.

Namun tahukah anda tidak semua premis dibenarkan menggunakan istilah 'buffet Ramadan' atau 'Iftar Ramadan' sesuka hati dalam iklan promosi mereka.

Menurut portal Halal Explorer, Perintah Perihal Dagangan (Perakuan & Penandaan Halal) 2011 menegaskan mana-mana premis yang tidak memiliki Sijil Halal Pengesahan Malaysia (SPHM) daripada Jakim atau Jain tidak boleh menggunakan istilah tertentu dalam pengiklanan mereka.

Ia bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pelanggan beragama Islam mengenai status halal sesebuah premis.

Premis tidak dibenarkan menggukan istilah tertentu.

Antara istilah yang dilarang digunakan oleh premis tidak memiliki sijil halal ialah:

1. Buffet Ramadan

2. Iftar Ramadan

3. Jom Sahur

4. Jom iftar

5. Set Ramadan

6. Selera Rasa Ramadan

7. Muslim friendly/ makanan orang Islam

Premis yang berdegil boleh diambil tindakan.

Oleh itu, rata-rata premis yang tidak memiliki Sijil Halal Malaysia menggunakan nama lain dalam promosi mereka misalnya Sajian Warisan, Sajian Serantau, Bufet Nusantara atau Selera Tradisi.

Dengan menggunakan istilah sedemikian, mereka masih boleh menarik pengguna Muslim dan pada yang sama tidak melanggar undang-undang kerana nama digunakan tiada kaitan dengan status halal.

Sekiranya ada yang masih berdegil, mereka boleh dikenakan tindakan tegas iaitu denda sehingga RM500,000 jika disabitkan bersalah.

Justeru itu, penting buat umat Islam memeriksa status bufet Ramadan yang ingin dikunjungi dengan mengikuti tip berikut:

1. Cari premis yang menulis 'Bufet Ramadan' dalam promosi mereka kerana besar kemungkinan mereka memiliki sijil Halal Malaysia.

2. Semak status halal premis tersebut di portal rasmi Jakim.

3. Jangan bergantung kepada label Muslim friendly kerana ia tidak menjamin kehalalannya.

4. Bertanya terus kepada pihak pengurusan restoran atau hotel untuk pastikan sumber makanan dan status halal.

Artikel Lain