PENCINTA keju pasti akan teruja.
Di sebalik tanggapan umum bahawa keju tinggi lemak tepu dan garam, kajian terbaru menunjukkan ia sebenarnya boleh memberi manfaat kepada kesihatan termasuk untuk jantung.
Menurut Harvard Health Publishing, satu ulasan penyelidikan yang diterbitkan dalam Advances in Nutrition pada tahun 2023 mendapati bahawa pengambilan keju dalam jumlah sederhana, iaitu kira-kira 42.5 gram sehari, dikaitkan dengan pengurangan risiko strok, penyakit jantung dan kematian akibat masalah kardiovaskular.
ARTIKEL BERKAITAN: Ambil makanan ini sejak hari pertama ‘datang bulan’, siapkan diri menjelang kitaran waktu subur seterusnya
Pakar pemakanan klinikal kanan di Hospital Umum Massachusetts, Emily Gelsomin, menjelaskan bahawa proses penapaian dalam pembuatan keju menghasilkan mikroorganisma baik yang membantu menukar laktosa dan protein kepada sebatian bermanfaat, termasuk sebatian mirip ubat tekanan darah jenis ACE inhibitor.
Selain itu, penapaian juga menghasilkan vitamin K yang membantu melambatkan pengumpulan kalsium berbahaya dalam arteri dan injap jantung.
Pelbagai jenis keju yang dihasilkan untuk memenuhi citarasa pengguna.
Keju seperti Muenster, Camembert dan Edam adalah antara yang kaya dengan vitamin ini.
Emily turut menekankan bahawa setiap jenis keju mempunyai saiz hidangan dan kandungan nutrien berbeza.
Contohnya, cottage cheese biasanya diambil dalam saiz empat auns, manakala Cheddar, Parmesan atau Swiss hanya satu auns.
Keju seperti Parmesan, feta dan blue cheese mengandungi lebih natrium, namun ia juga mungkin mengandungi banyak sebatian penapaian yang bermanfaat.
Nasihat penting daripada Emily, jangan terlalu fokus pada carta nutrisi dan terus mengelak jenis keju tertentu.
Keju semula jadi, walaupun sedikit tinggi lemak atau garam, tetap boleh memberi faedah kesihatan jika diambil secara sederhana.
Bagaimanapun tegasnya, elakkan keju diproses seperti 'American cheese' kerana ia mengandungi bahan tambahan seperti pewarna dan pengawet.
Keju jenis ini tidak memberi manfaat yang sama seperti keju asli.