suria

Anggap muzik susah 'cari makan', Joe Slash sahut cabaran bergelar timbalan datuk bandar PJ

Johary kini masih aktif dalam bidang muzik selain menggalas tugasnya sebagai Timbalan Datuk Bandar MBPJ. Foto GLENN GUAN.

LAGU Taman Astakona nyanyian kumpulan Slash yang popular sekitar tahun 1990-an kekal sebagai salah satu karya yang masih menjadi siulan penggemar muzik tempatan.

Sejajar dengan perubahan landskap muzik tempatan, nama kumpulan itu semakin malap ditambah pula industri dipenuhi pendatang baharu.

mStar Online bagaimanapun dapat menjejaki salah seorang anggotanya yang juga pemain gitar utama Slash iaitu Johary Anuar yang kini menyandang jawatan sebagai Timbalan Datuk Bandar Petaling Jaya di Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Johary atau dikenali sebagai Joe ketika menjadi gitaris kumpulan Excellent.

Johary memberitahu walaupun kehidupannya kini jauh berbeza, namun muzik sentiasa dekat dihatinya dan atas dasar itu juga dia tidak pernah terfikir untuk meninggalkan Slash yang disertainya sejak 2009.

Kutip wang persembahan ganti tayar bocor

Bercerita lanjut mengenai pengalamannya, anak saudara kepada penyanyi Bagio Damasutra itu berkata, walaupun minatnya sangat mendalam terhadap muzik namun dia akur bahawa sukar baginya untuk terus mencari 'makan' jika hanya memberi tumpuan kepada bidang itu sahaja.

Malah imbaunya, bayaran tidak setimpal yang diperoleh dan perlu dibahagikan sama rata dengan empat lagi rakan membuatkan kehidupan ibarat kais pagi makan pagi kais, kais petang makan petang.

 

Johary tidak akan meninggalkan dunia muzik biarpun mempunyai kerjaya tetap.

"Saya mula main muzik sejak sekolah dan jadikan ia kerjaya kerana terlalu minat... Apabila masuk ke bidang ini saya langsung tak fikir nak jadi artis atau mengejar populariti.

"Pada awalnya semua boleh ditempuhi namun lama-kelamaan saya mula sedar yang saya tidak boleh harapkan kepada muzik sahaja untuk mencari makan.

"Bayaran diterima daripada penganjur pun selalunya cukup-cukup makan. Pernah dalam satu kejadian selepas buat show tayar kereta kami pancit dan terpaksa kutip kembali duit yang sudah dibahagikan untuk tukar tayar.

"Waktu itulah saya sedar bukan senang untuk berjaya demi mencari sesuap nasi dan sebab itu saya mula terfikir perlunya kerjaya stabil untuk bantu teruskan minat dalam bidang seni," katanya kepada mStar Online.

Pernah dalam satu kejadian selepas selepas buat show tayar kereta kami pancit dan kami terpaksa kutip kembali duit yang sudah dibahagikan untuk tukar tayar.

JOHARY ANUAR

TIMBALAN DATUK BANDAR PETALING JAYA

Untuk rekod, Johary atau lebih mesra dengan sapaan Joe menyertai kumpulan Guys ketika usianya 21 tahun sebelum menjadi ahli Excellent sekitar 2002.

Joe kemudiannya menyertai Slash sekitar 10 tahun lalu sebagai gitaris utama.

Genggam ijazah sarjana dari Berlin, Jerman

Bertiitk-tolak daripada itu kata Joe, dia menyambung pengajian di peringkat Diploma Pengurusan Perniagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau, Perlis sebelum berjaya mendapat ijazah sarjana muda dalam bidang Pengurusan Operasi di universiti sama.

Johary mahu tetap berkarya dalam bidang muzik.

Namun sepanjang tempoh dia melanjutkan pengajiannya, Joe tidak pernah melupkan bidang muzik, malah terus bergiat aktif sebagai gitaris Excellent ketika itu.

"Saya cuma perlahankan kerjaya seni apabila tamat pengajian dan memulakan tugas sebagai pegawai kerajaan pada 2000.

"Alhamdulillah rezeki, saya ditawarkan pula melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana dalam Sains Pengurusan Bandar di Technical Universitiy, Berlin, Jerman selama dua tahun," katanya.

Bercakap lanjut mengenai tugasnya sebagai Timbalan Datuk Bandar, Joe mengakui tugasnya itu sukar namun sukakan cabaran dalam sesuatu dilakukannya walaupun terpaksa mengorbankan muzik dan masa berkualiti bersama keluarga.

Johary bersama Azlee (Senario) ketika ada acara Ambang Klasik sekitar tahun 2000.

"Menjadi Timbalan Datuk Bandar satu tanggungjawab yang besar. Boleh dikatakan jadual saya memang padat dan tiada cuti pun walaupun Sabtu atau Ahad.

"Memilih untuk mempunyai dua kerjaya ini memang terpaksa korbankan masa untuk diri sendiri dan keluarga. Tapi Alhamdulillah keluarga saya memahami.

"Walaupun sentiasa sibuk dan tidak ada masa untuk bercuti tapi saya akan pastikan setiap hujung tahun ambil cuti panjang untuk bawa keluarga berjalan ke luar atau dalam negara," katanya.

Galak anak-anak dalami muzik

Melayari perkahwinan bersama Rosmayuzi Musa, 43, dan dikurniakan lima cahaya mata, Joe memberitahu dia turut menerapkan ilmu muzik dengan menghantar anak-anaknya ke kelas piano.

Johary terpaksa korbankan masa demi kerjaya sebagai pemuzik dan Timbalan Datuk Bandar.

Katanya, dia tidak menghalang minat anak-anaknya malah menyokong sekiranya ada di antara mereka memilih untuk membina kerjaya dalam bidang muzik.

"Buat masa ini saya hantar anak-anak ke kelas muzik untuk belajar main piano, sebab baik untuk membina minat terhadap muzik disamping bagus untuk perkembangan otak.

"Tapi untuk menjadikan muzik sebagai kerjaya mereka itu terpulang pada minat masing-masing dan saya juga tidak menghalang apa sahaja minat mereka," katanya.

Johary dikurniakan lima cahaya mata iaitu Irdina Farihah, 15; Izzfikry Adha (13); Izzati Sarah (11); Iqbal Hadif (9) dan yang bongsu berusia lima tahun, Izzah Nur Arissa.

Johary Anuar, Slash, Guys, Excellent

Artikel Lain