suria

Tak malu mengaku pernah jadi pekerja suruhan, kenali 10 bintang dunia yang pernah kerja di McDonald's

Mereka antara selebriti yang pernah bekerja di McDonald's - Agensi

SEBELUM nama mereka dikenali di seluruh dunia, ramai selebriti tanpa berselindung mendedahkan mereka pernah bekerja di restoran rangkaian makanan segera.

McDonald's sering menjadi batu loncatan sebelum mendapatkan peluang yang lebih besar dalam kerjaya mereka.

Walaupun ramai bintang yang mengakui pekerjaan mereka di restoran tersebut bukanlah satu pencapaian membanggakan, namun sebilangan selebriti tidak bersetuju dengan perkara itu.

Sebilangan mereka dengan bangganya berkata, restoran tersebut membantu membentuk nilai dan pembelajaran seumur hidup dalam diri mereka.

Mari kita kenali siapakah gerangan bintang-bintang tersebut.

1. Pengasas Amazon, Jeff Bezos

"Salah satu ilmu yang saya pelajari daripada pekerjaan itu adalah memecahkan telur dengan menggunakan sebelah tangan," kata Jeff kepada Fast Company tentang jawatannya sebagai tukang masak di McDonald's Miami, Amerika Syarikat (AS) ketika berada di sekolah menengah.

2. Ahli politik, Paul Ryan

"Pengurus di situ rasa saya tidak memiliki kemahiran sosial untuk bekerja di kaunter dan sekarang saya dalam Kongres! (perundangan dwidewan Kerajaan Persekutuan Amerika Syarikat," katanya kepada Business Insider mengenai kerjayanya sebagai pekerja McDonald’s.

Paul turut memuat naik status di Twitter: "Jika anda bekerja di McDonald’s, satu hari nanti anda juga boleh menjadi Speaker Dewan."

3. Penyanyi Pharrell Williams

Pharrell tidak terlalu gembira seperti lagunya yang berjudul 'Happy' ketika cuba menyara kehidupan di McDonald's dan pernah dipecat sebanyak tiga kali.

"Dulu saya pemalas, sangat pemalas," katanya semasa program Late Night With Seth Meyers.

Siapa sangka, beberapa tahun kemudian, penerbit lagu tersebut merupakan penulis lirik bersama lagu iklan McDonald's yang popular, “I’m Lovin’ It”.

4. Atlet Olimpik, Carl Lewis

Pemenang 10 pingat Olimpik pada acara trek dan balapan, Carl menunjukkan kemahiran hidup yang dimilikinya terhadap pekerjaan di kedai makanan segera tersebut sewaktu berusia 16 tahun.

5. Model dan pelakon Sharon Stone

Sebelum dilamar menjadi model Ford dan membawa watak terkenal dalam filem Total Recall dan Basic Instinct, Sharon pernah bekerja di McDonald's secara sambilan.

6. Penyanyi Seal

Bekas suami super model Heidi Klum mendedahkan kepada The Guardian bahawa dia membenci pekerjaannya di restoran makanan segera tersebut.

"Pekerjaan paling teruk yang saya pernah buat adalah ketika di McDonald's cawangan Kentish Town, England.

"Ketika itu usia saya 16 tahun dan mereka memberikan saya uniform yang terlalu kecil.

"Saya hanya kekal selama dua minggu sampailah saya dapat gaji pertama dan saya terus berhenti kerja," ujarnya.

7. Penyanyi Shania Twain

Penyanyi popular ini pernah bekerja di McDonald’s Ontario, Kanada semasa berada di sekolah menengah.

Pada sebelah malam, Shania berkunjung ke bar untuk berlatih nyanyiannya pula.

8. Pelakon James Fransco

Selepas berhenti belajar di kolej dan dipaksa oleh ibu bapanya untuk mencari pekerjaan, James berjaya mendapatkan kerja syif lewat malam di pandu lalu McDonald's sebelum dipindahkan ke kaunter depan pada sebelah siang.

"Apa yang saya tahu, ketika saya memerlukan McDonald's, McDonald's berada di situ untuk saya. Sewaktu orang lain tidak," tulisnya dalam sebuah artikel untuk The Washington Post.


9. Penyanyi Pink

"Kadang-kadang saya bermimpi yang saya kembali ke sana, pokai dan bekerja di McDonald's.

"Ia seolah-olah mimpi paling buruk kerana saya tak mahu lagi kembali ke sana.

"Saya bekerja keras untuk berada di mana saya sekarang," kata Pink, menurut Business Insider.

Penyanyi itu juga pernah bekerja di Pizza Hut dan Wendy's.

10. Pelakon Rachel McAdams

Sebelum berjaya menempa nama di Hollywood, Rachel menjalani kehidupan biasa di sebuah bandar kecil dan bekerja selama tiga tahun di McDonald's.

"Saya tidak tahu kenapa mereka masih mengekalkan saya untuk bekerja di situ kerana saya kuat berangan dan melengah-lengahkan kerja.

"Jadi, mereka hanya membenarkan saya menjadi pekerja yang mengucapkan 'selamat datang' kepada pelanggan yang melangkah masuk ke restoran," katanya kepada The New York Times. - Eat This

McDonald's

Artikel Lain