suria

“Saya tak teragak-agak ulangi tindakan sama” - Remaja OKU terima pingat Hang Tuah, selamatkan ibu dibelit ular 50kg

Muhammad Rasul Abdullah menunjukkan Anugerah Pingat Hang Tuah 2019 yang diterimanya pada Program Kebajikan Kemakmuran Bersama peringkat negeri di Dewan Sri Mentalon, Alor Star, Kedah pada 4 November lalu.

SIAPA boleh lupa dengan peristiwa seorang ibu tunggal dibelit ular sawa batik yang dianggarkan seberat 50 kilogram (kg) di rumahnya sekitar Mei lalu.

Wanita itu yang dikenali sebagai Halifah bagaimanapun bernasib baik apabila dua anak lelakinya bersama anak saudaranya cepat bertindak menyelamatkan nyawanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelanggan minta diskaun, Gustiar tetap beri - “Nanti mereka datang lagi”

Tiga remaja itu, Muhammad Rasul Abdullah, 16 dan adiknya Mohd Aziz, 15 yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) serta sepupu mereka Mohd Shafizal Ismail, 15, menetak ular tersebut yang membelit ibu mereka.

Mengimbau kejadian itu, Rasul berkata, mereka menyedari ibunya dibelit reptilia itu selepas terdengar wanita berkenaan menjerit, membuatkan mereka bergegas ke bahagian dapur bagi melihat keadaannya.

Muhammad Rasul (kanan) bersama adiknya, Mohd Aziz (tengah) dan sepupunya, Mohd Shafizal turut membantu menyelamatkan ibunya. 

Ingat ular biasa, rupa-rupanya belit ibu paras dada

Rasul berkata, pada awalnya dia menyangka ular biasa yang masuk ke rumah kerana sebelum ini pernah beberapa kali kejadian serupa berlaku di rumah mereka yang terletak di Kampung Ulu Tawar, Baling, Kedah.

"Ketika kejadian kami sedang leka bermain permainan video dalam telefon sebelum terdengar mak menjerit kuat... Saya memang sudah menyangka ada ular masuk rumah tetapi tidak tahu pula ia sangat besar dan sudah membelit ibu saya.

"Bila sepupu saya pergi tengok, dia menjerit ketakutan memanggil saya untuk segera bantu ibu yang dah dibelit ular ke paras dada," katanya.

Dalam keadaan panik kata Rasul, dia mencapai sebilah parang dan menyerahkan kepada sepupunya sebelum menarik bahagian ekor ular untuk mengelak ibunya terus dibelit.

"Saya cuba tarik ekornya tetapi ular itu tetap tidak mahu lepas sebelum sepupu menikam bahagian tengah badan ular dengan parang untuk selamatkan ibu.

Ular sepanjang enam meter dengan berat 50 kilogram membelit ibu tunggal. 

"Selepas beberapa ketika barulah ular itu melepaskan ibu dan cuba lari tetapi entah bagaimana ia ia berpatah balik dan gigit bahagian tepi kepala ibu," ujarnya.

Bagaimanapun keadaan mula terkawal apabila orang kampung datang memberi bantuan dengan menetak kepala serta menarik ekornya.

Takut itu ada tapi mahu selamatkan ibu

Cerita Rasul lagi, melihat saiz ular itu dia memang berasa takut tetapi keberaniannya datang kerana memang nekad untuk menyelamatkan ibunya.

Rasul memberitahu, dia bersyukur apabila ibunya tidak mengalami kecederaan serius dan hanya cedera di tangan dan kaki kiri serta kepala sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Kulim.

"Pengalaman itu tidak akan saya lupakan sampai bila-bila dan harap-harap ia kejadian pertama dan terakhir.

Rasul menerima pingatnya daripada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Pembasmian Kemiskinan dan Kebajikan negeri Kedah, Halimaton Shaadiah Saad.

"Sebagai anak saya perlu selamatkan ibu walaupun terpaksa membahayakan diri sendiri kerana dialah yang melahirkan dan membesarkan saya" katanya dikategorikan sebagai OKU masalah pembelajaran.

Meskipun berharap tiada lagi kejadian serupa berlaku, namun Rasul berkata, dia tidak teragak-agak untuk melakukan tindakan sama sekali lagi.

Pingat Hang Tuah peringatan jadi anak lebih baik

Keberanian Rasul membuahkan hasil apabila dia dipilih sebagai penerima Anugerah Pingat Hang Tuah 2019 bersempena Program Kebajikan Kemakmuran Bersama Peringkat Negeri Kedah anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Dewan Seri Mentaloon, Alor Star pada 4 November lalu.

Mengulas mengenai pemilihannya menerima pingat itu, Rasul berkata, dia langsung tidak menyangka dipilih kerana apa yang dilakukan adalah semata-mata untuk menyelamatkan ibunya yang tersayang.

Sebagai anak saya perlu selamatkan ibu walaupun terpaksa membahayakan diri sendiri kerana dialah yang melahirkan dan membesarkan saya

MUHAMMAD RASUL ABDULLAH

PENERIMA PINGAT HANG TUAH 2019 

Pun begitu kata Rasul, pengiktirafan itu turut membuatkannya berasa lebih bersemangat dan ingin berbakti kepada ibu dan keluarganya pada masa hadapan.

"Sesiapa yang berada di tempat saya juga akan melakukan perkara sama apatah lagi mangsa itu adalah ibu yang melahirkan kita.

"Pingat ini saya anggap sebagai peringatan kepada saya untuk terus berbakti kepada keluarga dan menjadi anak yang lebih baik.

Rasul turut menerima wang tunai RM700, sijil dan plak yang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Pembasmian Kemiskinan dan Kebajikan Kedah, Halimaton Shaadiah Saad.

Artikel Lain