suria

“Selepas 365 hari saya berjaya menang sekali lagi” - Barista Malaysia juara 'World Latte Art Championship'

Ukiran beruang telah memberi kemenangan kepada Irvine. Foto Instagram @irvine_nj

GENAP setahun selepas kemenangan pertamanya, barista dari Malaysia, Irvine Quek Siew Lhek sekali lagi berjaya mengharumkan nama negara apabila bergelar juara seni latte dunia.

Irvine membawa pulang trofi kemenangannya menerusi Pertandingan Seni Latte Dunia 2019 (WLAB) yang dianjurkan World Coffee Battle di Korea Selatan pada Isnin lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya tak teragak-agak ulangi tindakan sama” - Remaja OKU terima pingat Hang Tuah, selamatkan ibu dibelit ular 50kg

Tahun lalu, pemuda ini pernah bergelar johan Seni Latte Dunia 2018 (WLAC) yang dianjurkan World Coffee Events di Brazil.

Irvine berjaya menumpaskan pencabarnya dengan perbezaan 10 mata. 

Menerusi pertandingan itu, Irvine berjaya menumpaskan pencabar terdekatnya, Kim Young Jin dari Korea Selatan apabila mendapat 73 mata berbanding Kim dengan 63 mata.

“Saya menang tahun ini pada tarikh yang sama tahun lepas, selepas 365 hari saya berjaya menang sekali lagi.

“Ia masa yang amat sukar bagi saya dan ia penuh dengan tekanan bagi membuat persediaan, saya amat gembira kerana berjaya dan saya rasa amat gembira kepada semua yang menyokong saya dan saya gembira saya tidak mengecewakan anda semua,” katanya dalam catatan di Instagramnya.

Menerusi pertandingan itu, Irvine menghasilkan seni corak latte seekor beruang dengan ikan di mulutnya yang direka khas untuk kejohanan bertaraf dunia itu.

Irvine sudah dua kali bergelar juara seni latte dunia. 

Kata Irvine, dia mengambil masa selama tiga bulan untuk berlatih corak itu bagi memastikan ia tampak realistik dan mampu memberi impak.

“Buat pertama kalinya saya ambil masa tiga bulan untuk buat hanya satu corak, cuba untuk menjadikan ia satu corak yang sempurna dan buatkan ia lebih realistik dan berimpak,” katanya.

Dalam pada itu, Irvine memberitahu sebagai rakyat Malaysia dia berbangga dapat berentap dengan semua barista terbaik dunia sekaligus mendapat kemenangan.

“Rasa bangga untuk berada bersama yang terbaik di atas pentas pertandingan yang sama, anda semua adalah mengagumkan dan anda semua menjadi inspirasi saya,” katanya.

Artikel Lain