suria

Dokumentari terbitan anak Malaysia disenarai pendek calon Anugerah Oskar 2020

Bruce Franks Jr bersama dua penerbit bersama St. Louis Superman iaitu Tan (left) and Teng.

DUA anak Malaysia yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Teng Pih Si dan Cheyenne Tan hanya mahu menceritakan kisah yang jarang didendangkan kepada masyarakat.

Namun apabila mengetahui dokumentari mereka berjudul St Louis Superman terpilih sebagai antara 10 calon yang disenarai pendek untuk kategori Dokumentari Terbaik di Anugerah Oskar 2020 daripada 96 karya lain, ia sememangnya sesuatu yang tidak pernah terlintas di fikiran mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: Enam institut berprestij tampil beri cadangan projek hijab Dr Farah di UK

"Langsung tidak terfikir hasil kerja kami akan mendapat pengiktirafan seperti ini.

"Tujuan kami adalah untuk belajar daripada subjek kami iaitu Bruce Franks Jr dan untuk menceritakan kisah benar dan adil tentang keganasan senjata dan diskriminasi sistemik di sana," kata Teng yang berusia 35 tahun kepada StarLifestyle.

Dokumentari 25 minit yang diarahkan oleh Smriti Mundhra dan Sami Khan itu mengisahkan perjalanan hidup Franks Jr, seorang aktivis dan penyanyi rap yang bertanding sebagai Dewan Perwakilan Missouri pada 2016 dan memenanginya.

St. Louis Superman mengangkat kisah tentang Bruce Franks Jr. 

Franks terinspirasi untuk menyertai politik selepas insiden tembak remaja Afrika-Amerika yang tidak bersentaja, Michael Brown Jr oleh seorang pegawai polis berkulit putih pada 2014 di Ferguson, Missouri berhampiran tempat tinggalnya.

Projek itu bermula apabila Teng yang merupakan pesuruhjaya dan penerbit kanan Al Jazeera telah menghulurkan bantuan kepada Smriti selepas kagum dengan karyanya menerusi dokumentari berjudul A Suitable Girl mengenai pernikahan di India pada 2017.

"Dia menulis semula dengan serta-merta kisah berserta idea," kata Teng yang berasal dari Pulau Pinang apabila menceritakan permulaan projek St Louis Superman.

Bagi memantapkan projek itu, Teng berkata mereka turut berkerjasama dengan Sami, seorang lagi pengarah berbakat besar untuk projek itu.

Manakala Tan yang berasal dari Kuching, Sarawak dan kini berpangkalan di Los Angeles telah bekerjasama dengan Smriti selain menyertai pasukan itu sebagai penerbit bersama.

Teng memberitahu temubual yang sangat peribadi apabila Bruce bercakap tentang pelbagai kisah hidupnya antara cabaran ketika menyiapkan dokumentari itu.

St. Louis Superman sudah menyertai lebih 30 festival.

Dalam dokumentari itu kata Teng, Bruce mendedahkan bagaimana kehidupannya diselubungi keganasan senjata termasuk menyaksikan sendiri adiknya yang berusia sembilan tahun mati dibunuh di depan matanya.

"Banyak kali saya terpaksa berhenti meneliti setiap temubual kerana semua perkara yang kita baca dalam berita ia benar-benar berlaku," katanya.

Sebelum ini, Teng pernah bekerja dengan The New York Times dan Associated Press (AP) malah pernah mendapat pencalonan Anugerah Emmy untuk kategori Outstanding Interview.

Dia pertama kali menerbitkan dokumentarinya berjudul Pecah Lobang di Malaysia pada 2008.

Senarai pencalonan Anugerah Oskar akan diumumkan pada 13 Januari ini manakala acara itu bakal berlangsung pada 9 Februari.

Artikel Lain