TIADA siapa menyangka pemuda berusia 32 tahun ini pernah mengalami masalah obesiti apabila melihat gambarnya yang bertubuh sasa, selain six pack pada perutnya! Tetapi itulah realiti diri Mohamad Sazali Baharudin kira-kira lapan tahun lalu apabila beratnya mencapai 115 kilogram (kg) sebelum transformasi dirinya mendapat berat badan ideal iaitu 72kg ARTIKEL BERKAITAN: Tengok adik-beradik slim, gadis ini nekad nak kurus... hasilnya melayang 40kg!– “Jauhkan diri daripada mereka yang toksik” ARTIKEL BERKAITAN: Guru makin kacak lepas turun 65kg, masa gemuk berkali kerusi patah - "Bila buang air, tangan tak sampai nak cuci" Bukan sahaja mengalami masalah berat badan, Sazali atau lebih mesra dengan panggilan Bob berkata penampilannya ketika itu turut memberi impak kepada keyakinan dan personaliti dirinya terutama ketika berdepan dengan orang ramai. Ketika itu kata Sazali, makanan segera seperti McDonalds dan KFC adalah sahabat baiknya tanpa disedari ia adalah musuh dalam selimut yang mampu membunuhnya jika dia tidak mengambil keputusan untuk berubah. Sering berasa rendah diri kini Sazali semakin yakin dengan dirinya. "Hampir sepanjang hidup saya mengalami masalah berat badan dan tabiat pemakanan tidak sihat menyebabkan masalah itu bertambah teruk sehingga mencecah 115 kilogram ketika usia saya 24 tahun. "Jauh di sudut hati saya, siapa tidak mahu kurus dan menjalani kehidupan normal seperti orang lain tetapi kesukaran meninggalkan tabiat makan membuatkan saya terus hanyut tanpa menyedari ia akan memusnahkan diri," katanya kepada mStar. Bimbang penyakit pemangkin semangat ubah diri Bagaimanapun kata Sazali, dia mula tersedar perlu melakukan sesuatu untuk mengubah hidupnya atau akan terus berada di takuk sama sekali gus berdepan risiko menghidapi pelbagai masalah kesihatan pada usia muda. Namun katanya, perjalanannya untuk mendapatkan berat badan ideal bukanlah perkara mudah seperti disangka, sebaliknya menyifatkan ia proses menguji ketahanan mental dan fizikal. Selain senaman dan diet, Sazali juga gemar melakukan aktiviti luar serta menyertai marathon. "Azam sahaja tidak cukup sebenarnya tetapi kita perlu ada kekuatan dan sejujurnya hendak bertahan supaya tidak kembali kepada tabiat lama itu adalah cabaran paling menyeksakan. "Secara peribadi keazaman saya bermula apabila sedar akan terdedah kepada pelbagai penyakit dan saya tidak mahu itu berlaku memandangkan usia saya masih muda. "Keinginan untuk melakukan pelbagai aktiviti seperti orang lain serta menggayakan pelbagai fesyen terkini juga antara motivasi saya," ujarnya. Disiplin rahsia kekal langsing! Sazali memberitahu tiada jalan mudah atau tempoh singkat untuk menurunkan berat badan, malah dia sendiri mengambil masa selama 18 bulan untuk mendapatkan berat badan ideal. Senaman sudah menjadi rutin harian Sazali sejak lapan tahun lalu. Malah kata Sazali, pada awal tempoh proses itu dia pernah mengalami situasi di mana berat badannya tidak menunjukkan penurunan walaupun sudah melakukan senaman dan diet. "Hendak menguruskan badan juga perlu ada ilmu... paling penting kita kena tahu terlebih dahulu tentang tubuh kita. Saya sendiri pernah lakukan kesilapan apabila tidak mendapatkan panduan dan melakukan apa yang dirasakan betul. "Memang saya bimbang dan mula buat kajian termasuk carian di Internet, berbual dengan jurulatih di pusat kecergasan serta mendapatkan informasi daripada individu yang mengalami masalah sama dengan saya. "Saya mula menukar rutin senaman serta menu diet dan Alhamdulillah ia mula menunjukkan perubahan ketara. Ia bukan semata-mata tentang senaman tetapi juga jenis dan jumlah anda makan," katanya. Paling penting kata Sazali, individu yang ingin menguruskan badan perlu menetapkan matlamat serta mempunyai motivasi serta disiplin tinggi. Ia bukan semata-mata tentang senaman tetapi juga jenis dan jumlah anda makan. MOHAMAD SAZALI BAHARUDIN Berkongsi rahsia rutinnya, Sazali memberitahu dia amat mementingkan pemakanan selain mengira jumlah kalori yang diambil setiap hari iaitu sekitar 2,000 berbanding 3,000 yang sepatutnya. Ini kerana kata anak kelahiran Ipoh, Perak ini, sebanyak 70 peratus daripada kejayaan menurunkan berat badan adalah berdasarkan pemakanan seimbang. "Setiap hari saya akan mengira jumlah pengambilan kalori dan memastikan ia hanya dua pertiga daripada keperluan seharian saya. Bagaimanapun ia bergantung kepada berat dan rutin seseorang itu," jelasnya. Biar lambat, asal selamat! Sementara itu, Sazali berkata, sehingga ke hari ini dia masih berjuang untuk mengekalkan berat badannya malah berusaha mendapatkan bentuk badan sasa. Bagaimanapun kata Sazali, dia tidak menganggap perkara itu sebagai bebanan sebaliknya melihat senaman dan diet sebagai rutin hariannya selain mempelbagaikan aktiviti bagi meningkatkan stamina dan kecergasan. Sazali memberitahu penjagaan pemakanan adalah kunci paling penting dalam menguruskan badan. "Pada saya proses ini bukan semata-mata untuk mendapatkan tubuh idaman tetapi menjadikan ia sebagai salah satu rutin harian. "Seperti saya sendiri, lapan tahun saya berada dalam perjuangan ini yang ada turun naiknya namun saya sering beritahu diri bahawa biar lambat asal selamat. Jika rasa nak putus asa, ingat matlamat anda. "Lama-kelamaan anda sendiri akan terbiasa dengan rutin tersebut dan hasil yang dapat anda lihat sebenarnya akan mendorong untuk terus berusaha," ujarnya. Rutin diet Sazali: 1. Sarapan Kopi tanpa gula bersama roti bakar dan dua biji telur separuh masak. 2. Snek Pagi Biskut jagung atau buah-buahan seperti epal atau pir. 3. Makan Tengah Hari Nasi (setengah senduk), ikan atau ayam panggang, sayur-sayuran hijau serta air putih. 4. Snek Tengah Hari Buah-buahan 5. Makan Malam Salad atau sandwich.