suria

Bangkit selepas setahun lumpuh, wanita ‘besi’ ini mahu lahirkan usahawan kaya raya

Datuk Faridah Hanim Haron atau Ibu Hanim pernah bergelar orang penting dalam Petronas. Foto Instagram @ibuhanim

LANGKAHNYA penuh berkeyakinan dan cukup lincah ketika bertemu dengan orang ramai, namun tiada siapa sangka di sebalik penampilannya itu tersembunyi 1001 kisah meruntun hati sesiapa sahaja yang mendengarnya.

Peluang bertemu sendiri dengan Datuk Faridah Hanim Haron atau lebih mesra disapa Ibu Hanim cukup memberi inspirasi walaupun jam ketika itu sudah pun menunjukkan pukul 12 tengah malam.

"Maafkan ibu kerana terlewat... Terima kasih kerana menunggu," katanya memulakan bicara sambil membetulkan kusyen yang diletakkan di belakang kerusinya.

ARTIKEL BERKAITAN: Diabetes buka jalan Amri Rahim lakukan perubahan drastik, ‘hilang’ 40kg dalam 8 bulan! - “Saya dah puas berseronok”

"Jika nak tahu, badan ibu ini penuh dengan besi dan skru, dari tengkuk sampai ke kaki... Sebab itu kena ada kusyen nak bagi selesa," jelasnya.

Terdiam semua yang berada di bilik itu mendengar kata-kata Ibu Hanim itu. Menyedari kata-katanya itu menimbulkan tanda tanya, wanita 'besi' berusia 55 tahun itu memberitahu keadaannya itu disebabkan terlibat dalam kemalangan ngeri di Dungun, Terengganu pada 1991.

Ibu Hanim pernah mengalami kemalangan ngeri yang hampir meragut nyawanya.

"Kereta yang dinaiki sempat bertukar lorong dan bahagian penumpang bergesel kuat. Akibatnya, bahagian kiri tubuh ibu cedera parah termasuk tulang belakang dan leher retak. Itu belum tulang pelvis pecah serta kecederaan dalaman lain.

"Seminggu ibu koma. Ahli keluarga semua sudah putus harapan untuk melihat ibu sembuh kerana keadaan ibu cukup teruk, namun kuasa Allah itu melebihi segala-galanya," ujarnya.

Setahun lumpuh, Ibu Hanim bagaimanapun berkata, dia menganggap kejadian itu bukan sahaja ujian, sebaliknya Allah mahu membentuk dirinya menjadi sebutir intan walaupun prosesnya menyakitkan.

Ibu Hanim bangkit demi anak cacat pendengaran

Cerita bekas pakar pembangunan organisasi dan kepimpinan syarikat petroleum negara - Petronas ini, kemalangan ngeri bukanlah satu-satunya mimpi yang menakutkannya.

Sebelum itu kata anak kelahiran Kampung Baru, Kuala Lumpur ini, hatinya hancur apabila anak ketiganya, Mohd Izzuddin Haziq mengalami masalah pendengaran.

Tidak cukup dengan itu, beberapa tahun sebelumnya, anak pertamanya, Mohd Firdaus meninggal dunia selepas dilahirkan menjadikan luka dihatinya bertambah parah.

Ibu Hanim bersama peserta programnya pada Malam Aspirasi Pejuang yang diadakan baru-baru ini. 

"Ibu kerap bertanya kepada Allah apa sebenarnya perancangan-Nya untuk ibu? Atau inikah balasan kerana ibu tidak menjadi insan yang baik?

"Selepas doktor mengesahkan anak ibu mengalami masalah pendengaran, ibu nekad dan berjanji Haziq tidak akan menggunkan bahasa isyarat dan mampu bercakap seperti orang lain," katanya.

Tahun kedua selepas kemalangan katanya, dia kuatkan semangat untuk kembali ke Kuala Lumpur selepas beberapa tahun menetap di Kerteh, Terengganu berikutan mengikut suami bertugas sebagai juruterbang yang bertanggungjawab menghantar kakitangan dua syarikat petroleum ke luar pesisir.

"Saya mahu mendapatkan rawatan dan terapi terbaik untuk Haziq dan Alhamdulillah kami berpindah semula ke Kuala Lumpur dan saya diterima bekerja sebagai eksekutif jualan di MBF.

Dari seorang guru tadika, buat perubahan 154 anak syarikat Petronas

"Alhamdulillah Haziq semakin petah bercakap walaupun pelbagai rintangan perlu kami hadapi ketika itu. Namun saya sedikit pun tak patah semangat demi melihat anak saya kembali normal," ujarnya.

Dua tahun memberi tumpuan kepada anak lelakinya turut membuatkan Ibu Hanim terbuka hati mendalami ilmu pendidikan awal kanak-kanak serta psikologi kanak-kanak.

Ibu Hanim tidak mensia-siakan pengalaman 20 tahun dalam bidang korporat sebelum ini. 

Tidak terhenti di situ, Ibu Hanim sering memberi ceramah keibubapaan sehinggalah beliau menyertai Petronas sebagai guru besar di tadika dan taska Petronas di Kerteh.

Segala usaha Ibu Hanim membangunkan tadika Petronas serta menukar kurikulum turut mendapat perhatian pihak pengurusan apabila beliau dipindahkan ke bahagian kualiti.

Menerusi tugas baharunya itu, Ibu Hanim bertanggungjawab terhadap semua perkara berkaitan pensijilan ISO, Pengurusan Kualiti Total dan Pembangunan Organisasi.

Sepanjang 20 tahun berkhidmat dengan Petronas, Ibu Hanim memberitahu beliau berjaya melakukan pelbagai perubahan kepada 154 anak syarikat dalam organisasi besar itu, selain menjadi wakil syarikat berurusan dengan agensi antarabangsa.

Kerjaya wanita 'besi' ini tidak terhenti di situ apabila beliau dilantik untuk membantu melicinkan perjalanan Projek Transformasi Nasional seterusnya sebagai penasihat di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membina kualiti pemimpinnya.

Impian Ibu Hanim mahu terus membantu usahawan berjaya dalam bidang masing-masing. 

Mahukan jadikan usahawan pejuang ekonomi

Pengalaman lebih 20 tahun tidak disia-siakan begitu sahaja, Ibu Hanim kini giat membantu usahawan tempatan menyusun kembali organisasi syarikat mereka mengikut hal tuju sepatutnya menerusi Annems Leadership Solution Sdn Bhd.

Ibu Hanim berkata, ilmu dalam sektor korporat tidak disia-siakan sebaliknya mahu berkongsi dengan usahawan bagi membolehkan mereka mencapai potensi lebih baik berbanding sebelumnya.

"Apa yang saya lihat, kebanyakan usahawan tempatan kita semua bijak-bijak, berpotensi tetapi tidak mempunyai ilmu dan asas yang kuat.

"Melalui pengalaman dan ilmu, saya mahu mereka lebih maju kerana menerusi ekonomi ia boleh menjamin masa depan negara dan anak bangsa," katanya.

Ibu Hanim berkata, ilmu yang disampaikan bukan semata-mata untuk menjadikan mereka usahawan kaya raya tetapi pejuang dalam bentuk ekonomi bagi memastikan masa depan anak cucu terjamin pada masa hadapan.

"Jika ekonomi tidak kukuh mulalah pelbagai perkara tidak elok akan berlaku yang akan melibatkan semua orang. Jadi saya mahu mereka jadi pejuang dan bukannya menjadi kaya semata-mata.

"Apabila ekonomi kukuh ia sekaligus dapat membentuk sebuah negara lebih aman dan memberi manfaat generasi baharu di masa depan," ujarnya.

Ibu Hanim, Petronas, Kerteh, Terengganu

Artikel Lain