suria

Kerana uniknya kelulut... Dulu jurutera kini Aluis bergelar usahawan madu

Mohamad Aluis Hamri, 37, menunjukkan antara anugerah yang dimenangi hasil keluaran Madu Kelulut di Taman Agro Niranur di Sematan, kira-kira 105 km dari Kuching, Sarawak.

PERJALANAN untuk menjadi pengusaha madu kelulut bukanlah sesuatu yang mudah buat Mohamad Aluis Hamri, sebaliknya ia memerlukan tekad tinggi, selain semangat dan minat untuk menghabiskan apa yang telah dimulakan.

Itulah yang perlu dilaluinya dan selepas bertungkus-lumus bersama keluarga selama hampir enam tahun, lelaki berusia 37 tahun ini boleh berbangga kerana dapat menikmati hasil titik peluhnya menjalankan perusahaan berasaskan serangga yang disifatkannya unik.

"Saya akui perjalanannya agak getir namun dengan sokongan keluarga dan semangat untuk menghabiskan apa yang telah saya mulakan, inilah hasilnya," katanya kepada Bernama.

ARTIKEL BERKAITAN: Dulu kaki gaduh, 8 kali keluar-masuk lokap... bekas gangster kini bergelar petinju profesional

Menggalas tanggungjawab sebagai pengurus taman agro yang dimulakannya bersama keluarganya sejak 2014 itu, Mohamad Aluis menganggap penglibatannya dalam industri madu kelulut itu sebagai satu kebetulan kerana latar belakang beliau adalah bidang kejuruteraan.

"Saya mempunyai sebuah syarikat pembinaan. Inspirasi untuk menceburi industri madu kelulut ini timbul selepas saya memerhati serangga unik ini, cara hidupnya yang sentiasa aktif dan struktur koloninya yang teratur," katanya.

Pengunjung menyedut madu menggunakan penyedut plastik bagi merasa keenakan madu kelulut asli.

Akhir 2014, Mohamad Aluis mulai mengatur langkah dengan mendapatkan dua sarang pertama kelulut yang diperolehinya dari hutan paya bakau yang terdapat di Sematan, Sarawak.

Niatnya untuk memajukan industri itu disokong ibu bapanya yang membenarkan beliau menggunakan sebidang tanah milik keluarganya di daerah paling selatan di Bumi Kenyalang itu untuk memulakan sebuah taman agro dan seterusnya menempatkan lebih banyak sarang kelulut.

"Menjelang 2015, sebanyak 40 sarang kelulut telah dapat saya tempatkan di taman ini sebelum saya tambah menjadi 160 pada tahun berikutnya, 180 pada 2017 dan meningkat menjadi 220 sarang sekarang," katanya.

Dengan penambahan sarang, usaha itu membolehkan beliau meningkatkan hasil pengeluaran madu kelulut daripada sekitar 50 kilogram (kg) sebulan pada mulanya, menjadi kira-kira 100kg pada masa ini.

Perjalanan untuk menjadi pengusaha madu kelulut bukanlah sesuatu yang mudah buat Mohamad Aluis.

"Alhamdullillah, pendapatan yang pada mula-mulanya sekitar RM8,000 sebulan sudah dapat ditingkatkan sehingga RM12,000 sekarang," katanya.

Mohamad Aluis berkata penternakan kelulut memerlukan pemerhatian kerana sebagai serangga bersaiz kecil dan tidak menyengat, ia sering menjadi sasaran serangga pemangsa yang lebih besar seperti tebuan serta lebah dan semasa ditanya cara yang digunakan bagi menangani serangga pemangsa itu, dia secara selamba menunjuk ke arah sebatang raket badminton yang tergantung di satu sudut pondok rehat taman berkenaan.

"Itu adalah salah satu 'senjata' yang saya gunakan untuk menangani tebuan dan lebah yang menceroboh sarang kelulut. Selain itu saya juga mempelajari satu petua untuk meletakkan sedikit belacan berdekatan sarang ini yang dikatakan akan dapat menghalau lebah atau tebuan," katanya.

Mohamad Aluis seterusnya mengalu-alukan langkah kerajaan untuk melaksanakan Pelan Pembangunan Industri Kelulut 2020-2030 yang dirasakannya dapat membantu merangsang dan seterusnya melonjakkan lagi industri itu ke tahap lebih tinggi.

Mohamad Aluis menunjukkan kepelbagaian keluaran Madu Kelulut yang dihasilkan Taman Agro Niranur di Sematan.

Strategi pemasaran yang digunakan Mohamad Aluis untuk mempromosikan produk madu kelulutnya dengan mengoptimumkan penggunaan media sosial merupakan salah satu pendekatan yang membawa kepada kejayaan usahanya selama ini.

"Saya juga telah melantik beberapa kedai selain stokis khususnya di Kuching dan Kuala Lumpur untuk memasarkan produk saya namun sebahagian besar jualan adalah melalui pesanan menerusi media sosial," katanya.

Sejak dibuka kepada orang ramai pada 2015, Taman Agro Niranur menerima kira-kira 40,000 pengunjung setiap tahun dan seiring dengan Tahun Melawat Malaysia 2020, beliau menjangkakan lebih ramai lagi pengunjung, khususnya di kalangan peminat madu kelulut, akan datang ke taman ini.

"Kemasukan ke taman ini adalah percuma, dan dengan bayaran RM3 seorang, para pengunjung berpeluang untuk menikmati madu kelulut segar dengan menyedutnya terus dari sarang," katanya.

Artikel Lain