SALUTE!. Dengan kemahiran bermain bola jugel atau freestyler football, anak muda ini sudah merantau ke beberapa negara Eropah semata-mata ingin mencari pengalaman dalam bidang yang ‘rare’ ini. Muhammad Ariff Abdul Karim yang dilahirkan di Kedah ini mengambil langkah ke depan untuk menambah pengetahuan dalam bidang yang diminat ini sehingga pernah dipilih menjadi juri dalam beberapa pertandingan dunia bola jugel. Lebih dikenali dengan panggilan glamor ‘Lagenda’, jejak berusia 28 tahun ini berkongsi kisahnya sebagai perantau hanya kerana minatnya terhadap persembahan yang memerlukan kemahiran itu. ARTIKEL BERKAITAN: Jurulatih sangkal tanggapan sukan angkat berat punca ketinggian atlet terbantut, bentuk badan berubah! Menurut Lagenda, kariernya sebagai pemain bola jugel bermula pada usia lapan tahun selepas aktif bermain bola sepak. “Saya mula bermain bola sepak pada usia enam tahun dan dalam masa sama timbul minat suka menimbang-nimbang bola. Ariff lebih suka konsep kontemporari untuk aksinya. Foto YAP CHEE HONG/The Star “Ketika itu saya rasa lebih puas berbanding beraksi di padang. Namun ketika itu saya masih aktif bermain bola dan turut menyertai program Soccer Super Star pada usia 16 tahun. “Selepas itu, saya jarang bermain bola sepak kerana ingin menumpukan minat dalam bola jugel dan mula mencari peluang untuk mempelajarinya secara serius,” kongsinya bersama mStar. Tarian kontemporari Muhammad Ariff memberitahu, semakin lama bola jugel semakin sebati dalam jiwanya. “Bagi saya freestyler football ini sangat unik dan tidak semua orang boleh membuatnya. Di negara kita sendiri hanya mempunyai lebih kurang 50 orang yang betul-betul aktif. “Benda ni baru nak berkembang di seluruh dunia walaupun ia telah lama ada. Saya banyak mempelajari pergerakan dengan menonton Youtube dan cuba cipta idea sendiri. Freestyler football ini memang unik dan tidak semua orang boleh buat. Paling penting jangan putus asa. MUHAMMAD ARIF ABDUL KARIM Freestyler Football Malaysia “Juggling ini memerlukan lebih banyak pendedahan kerana ia bukan hanya menumpukan kepada bola sahaja, sebaliknya pergerakan tubuh badan kita. “Pergerakannya yang saya buat ini hasil gabungan daripada banyak stail seperti breakdance, tarian kontemporari, klasik dan boxing yang mana kesemua ini digabung menjadi satu. “Saya lebih suka dengan pilihan tarian kontemporari kerana menghasilkan seni pergerakan ikhlas dari jiwa dan kita dapat meluahkan perasaan yang sebenar,” jelas anak kedua daripada enam beradik ini. Mengembara Lima tahun lalu, Muhammad Ariff mula mencipta nama di Eropah apabila menyertai pertandingan di peringkat Asia dan dunia. “Sebelum itu, saya banyak menyertai pertandingan Freestyler yang dianjurkan dalam negara. Di situ saya dapat mencipta profil sendiri sebelum melangkah ke luar negara. Ariff (kiri) meraih tempat kedua pada pertandingan terbuka dunia 2019. “Pada 2015, saya mencuba nasib dalam Pertandingan Freestyler Terbuka Dunia di Republik Czech. Di sinilah saya mula mengenali ramai orang dan bertukar idea dan pandangan. “Setahun kemudian saya sekali lagi menyertai pertandingan yang sama tetapi pada 2016 saya buat persiapan yang lebih baik. “Saya travel ke Slovakia selama sebulan semata-mata mahu mempelajari pelbagai aksi bola jugel ini dengan rakan-rakan di sana. “Paling lama saya mengembara selama enam bulan ketika dalam persiapan acara dunia tahun lalu, ketika itu saya tekadkan dalam hati dan tidak pandang ke belakang dan terus mulakan travel ke Sepanyol, Maghribi, Perancis dan Republik Czech. Jangan putus asa “Saya bersyukur kerana usaha keras itu berbaloi apabila berjaya mendapat tempat kedua bagi acara World Kill The Beat ,” katanya. Ariff mengembara ke Eropah tanpa sebarang tajaan. Menurut Muhammad Ariff, dia mengembara tanpa mendapat sebarang tajaan. “Saya ada cuba memohon tajaan, namun belum ada yang berminat. Saya faham dengan situasi itu kerana bidang ini masih baharu bagi sesetengah pihak. “Jadi saya tidak meletakkan faktor tajaan sebagai masalah dan mengambil inisiatif sendiri dengan menjual cenderahati dan produk jenama sendiri iaitu Lagenda seperti topi dan baju-T. “Kumpul sikit-sikit dan terbanglah saya ke Eropah seorang diri,” ujarnya. Tambah Muhammad Arif, dia berasa teruja kerana ideologi yang berkaitan dengan seni dalam bola jugel diterima oleh pengikut bola jugel di luar negara. Antara aksi Ariff. “Mereka memang serius dan saya ada berkongsi idea mengenai corak pergerakan yang lebih berseni, lalu mereka cuba tafsirkan menerusi lukisan. “Saya juga pernah dijemput menjadi juri pada pertandingan di Sepanyol. Malah pengalaman yang tidak dapat dilupakan apabila dijemput membuat persembahan pada perlawanan akhir Uefa di antara Liverpool-Spurs tahun lalu. “Hanya satu pesan saya, jangan takut untuk mencuba perkara yang kita minat. Yang penting jangan mudah putus asa. “Saya harap pengalaman yang saya ada ini dapat dikembangkan di Malaysia satu hari nanti,” akhirnya.