suria

Dulu jual mufin, tapi hati pada handbag... akhirnya jadi personal shocpper berjaya - “Saya terpaksa bawa 20kg pisang naik bas”

Penghijrahan Rafidah ke Montreal, Kanada sejak 2014 telah membuka peluang kepadanya untuk memajukan perniagaannya sebagai 'personal shopper'.

SIAPA sangka keputusan berhijrah ke bumi asing telah membuka lembaran baharu buat wanita ini walaupun terpaksa melalui pelbagai cabaran dan rintangan sebelum merasai kemanisan sebuah kejayaan.

Menyingkap kisahnya, Nor Rafidah Khairuddin, 31, memberitahu dia mengikut suami, Abdul Hadi Wisman berhijrah ke Montreal, Kanada pada 2014 sebelum mencuba nasib mencari rezeki dengan melakukan pelbagai pekerjaan bagi menambah pendapatan keluarganya.

ARTIKEL BERKAITAN: Skil bola jugel 'rare', jejak Lagenda merantau ke Eropah sendirian nyata berbaloi!

Cerita Rafidah, dia pernah melakukan empat kerja dalam satu masa termasuk menjadi pembantu hotel, tukang kemas serta pembantu dapur dengan pendapatan AS$10 sehari.

Sebelum berjaya sebagai 'personal shopper', Rafidah terlebih dahulu menjual mufin pisang di Kanada.

"Suami memang sudah lama menetap di Kanada, jadi tidak sukar untuknya mendapatkan pekerjaan manakala saya di awal penghijrahan agak susah menyesuaikan diri.

"Macam-macam kerja saya lakukan sebelum saya mendapat pekerjaan tetap sebagai Software Tester di sebuah syarikat di Montreal," katanya kepada mStar.

Bekas graduan Sains Politik di Universiti Sains Malaysia (USM) ini memberitahu pekerjaan tetap itu bagaimanapun tidak membuatkan dia berasa selesa dan nekad untuk mencari pendapatan tambahan.

Mufin pisang pembuka jalan

Berbekalkan bakat memasak, Rafidah memberitahu dia mula menjual mufin pisang yang menurutnya telah mengubah keseluruhan hidupnya di Kanada.

Rafidah dan suami, Abdul Hadi Wisman.

Mengimbas kembali momen memulakan perniagaan menjual mufin pisang itu, Rafidah mengakui ia bukan satu perkara mudah.

“Saya reka resipi mufin pisang dengan menggunakan tepung bebas gluten. Gigih juga saya berjalan dari satu kafe ke kafe di Montreal untuk mempromosikan produknya itu dengan mengedarkan brochure.

"Ada yang geli nak mencuba mufin saya. Tak kurang juga yang tak pandang langsung saya. Ada juga memandang pelik dan skeptikal kerana saya bertudung. Saya tetap kuat dan sabar.

“Ingat lagi ketika tak ada kereta, saya terpaksa membawa pisang sebanyak 20 kilogram yang dibeli dengan menaiki bas untuk dibawa ke rumah. Ada ketika saya harus berjalan dalam keadaan cuaca sangat sejuk, saya redah sahaja," imbasnya.

Ada geli nak mencuba mufin saya. Tak kurang yang tak pandang langsung saya. Ada juga memandang pelik dan skeptikal kerana saya bertudung. Saya tetap kuat dan sabar.

RAFIDAH

PERSONAL SHOPPER

Usaha tanpa jemunya itu mula membuahkan hasil apabila dia diberi kepercayaan oleh sembilan buah kafe di sekitar Montreal untuk menjual mufin pisangnya.

Dari suka-suka, Rafidah kini 'personal shopper' berjaya

Hasil jualan mufin pisang yang cukup memberangsangkan membolehkan Rafidah memanjakan diri dengan membeli apa sahaja diinginI sebagai penghargaan kepada diri sendiri.

Namun ia bukan semata-mata berbelanja kerana kata Rafidah, kunjungan ke shopping outlet telah memberinya idea untuk meneroka cabang perniagaan sebagai personal shopper sehingga wujudnya jenamanya sendiri iaitu Sellection.

"Menjual mufin boleh saya katakan asbab saya mencuba nasib sebagai personal shopper. Peluang ke pelbagai outlet meneroka pelbagai jenis barangan berjenama mencetuskan idea baharu untuk saya berjinak-jinak dalam dunia 'online shopping'.

Tidak hanya dalam talian, Rafidah turut membuka butik bagi memudahkan pelanggan.

"Saya suka sangat beg tangan dan saya juga ingin tengok orang Malaysia memakai barangan berjenama. Saya banyak kongsikan video demo tentang pelbagai beg tangan, artikel fesyen di laman sosial. Lama kelamaan pengikut saya juga bertambah.

"Tahun demi tahun saya mendapat banyak tempahan melalui sistem pra tempahan yang saya tawarkan. Saya bina kepercayaan sedikit demi sedikit dengan memberikan servis perkhidmatan pelanggan terbaik dan nilai manfaat kepada para pembeli," ujarnya.

Bagaimanapun kata Rafidah, dia terpaksa mengorbankan perniagaan mufin pisang memandangkan masanya semakin terhad selain mengambil keputusan pulang ke Malaysia bagi memberi tumpuan sepenuhnya kepada perniagaan dalam talian yang diusahakan.

Tidak hanya tertumpu kepada pembelian dalam talian, Rafidah membuka butik pertamanya di Kuala Lumpur bagi memudahkan pelanggan membuat pembelian barangan berjenama dari Amerika Syarikat, Kanada, Eropah dengan harga mampu milik.

"Alhamdulillah, segala penat lelah dah usaha selama ini akhirnya terbayar dengan kemanisan kejayaan. Jika kita sentiasa percaya kepada diri sendiri dan tekad, Insya Allah semuanya dipermudahkan," katanya.

Artikel Lain