suria

Bekas pesakit Covid-19 tak serik derma plasma darah lagi - “Terharu, bangga berpeluang bantu pesakit Covid-19”

Reza Huzairi Zainudin tidak teragak-agak untuk menderma plasma darahnya selepas pertama kali berbuat demikian pada 2 April lalu.

BEKAS pesakit Covid-19, Reza Huzairi Zainudin berhasrat untuk terus menderma plasma darahnya dalam tempoh dua minggu selepas kali pertama berbuat demikian 2 April lalu bagi membantu merawat pesakit lain yang dijangkiti virus tersebut.

Reza, 41, berkata, dia gembira apabila mengetahui plasma darahnya dapat digunakan bagi membantu pesakit lain terutamanya yang dalam keadaan kritikal kerana tidak semua plasma bekas pesakit sesuai digunakan.

"Tidak semua plasma boleh didermakan kerana penderma mestilah sihat daripada sebarang penyakit kronik, tidak mengambil sebarang ubat pada jangka masa panjang dan mempunyai kesihatan optimum.

ARTIKEL BERKAITAN: Resah, sedih tak dapat keluar rumah... Dr Che Hafiz kongsi 7 tip jaga kesihatan mental ketika PKP

"Ketika saya datang untuk membuat ujian, Alhamdulillah plasma darah saya sesuai untuk didermakan dan tidak teragak-agak untuk kembali menderma dalam masa terdekat," katanya.

Tambahnya, dia terpanggil untuk membantu selepas terkesan melihat kesungguhan dan pengorbanan semua petugas barisan hadapan bertungkus lumus membantu semua pesakit ketika dia ditempatkan di wad isolasi Hospital Sungai Buloh pada 14 Mac lalu.

Pengalaman menderma plasma darah disifatkan sebagai cukup mengharukan. 

"Inilah masanya saya membalas semua jasa mereka... Ini hanyalah satu sumbangan kecil berbanding apa telah mereka korbankan," jelasnya.

Terdahulu, Reza menjadi penderma sulung negara selepas dia memenuhi semua kriteria ditetapkan bagi membantu rawatan pesakit Covid-19 yang berada dalam keadaan kritikal.

Plasma darah yang diambil akan dijadikan serum untuk dimasukkan ke dalam darah pesakit kritikal bagi membantu mereka melawan virus maut berkenaan.

Allah gantikan kesedihan dengan rasa terharu

Bercakap mengenai pengalaman menderma plasma darah, Reza memberitahu ia dibuat di Pusat Darah Negara dan proses itu berlangsung selama sejam.

Memandangkan berat badannya 65 kilogram, hanya 500 mililiter plasma darah boleh diambil pada satu-satu masa namun jumlah itu mampu membantu beberapa pesakit.

Reza ditempatkan di Hospital Sungai Buloh selama 11 hari. 

"Selepas dibenarkan keluar wad sejak ditahan pada 14 Mac lalu, dua minggu kemudian saya dihubungi seorang doktor dari Hospital Sungai Buloh memaklumkan saya dipilih sebagai penderma plasma untuk digunakan sebagai serum rawatan Covid-19.

"Menurut doktor itu, saya adalah rakyat Malaysia pertama dipilih untuk dermakan plasma ini.

"Allah gantikan kesedihan saya pada 2020 ini dengan rasa terharu dan bangga kerana berpeluang membantu pesakit-pesakit Covid-19 melalui pendermaan plasma darah ini,” katanya.

Bagaimanapun kata Reza, dia dimaklumkan bahawa kesan optimum diperoleh apabila ia digunakan oleh orang yang mempunyai jenis darah sama dengannya.

Oleh sebab itu, dia berharap lebih ramai bekas pesakit Covid-19 yang sihat tampil untuk menderma plasma darah mereka bagi membantu merawat pesakit yang sedang berjuang melawan virus itu.

Reza dan Chester bangga dapat membantu pesakit yang masih berjuang melawan Covid-19. 

Takkan lupa seumur hidup!

Berkongsi mengenai jangkitan wabak itu, Reza yang juga pesakit kes ke-46 berkata beliau dijangkiti virus Covid-19 ketika gelombang kedua.

Naib Presiden Kanan, Modal Insan Kumpulan UDA Holdings Berhad itu berkata, pengalaman ditempatkan di dalam wad isolasi HSB tidak akan dilupakan seumur hidupnya apabila dikunci 24 jam selama 11 hari tanpa boleh bertemu isteri dan tiga anak lelakinya.

“Tidak pernah saya membayangkan saya akan berada di dalam situasi itu. Perasaan tertekan itu bukan main-main ...dalam resah memikirkan diri sendiri, saya juga resah memikirkan tentang isteri dan anak-anak di rumah.

“Juga kepada semua staf saya ...bimbang jika virus yang ada pada saya ini menjangkiti mereka pula. Saya hanya bergantung kepada Allah SWT ketika itu,” katanya.

Reza berkata, selama tempoh 11 hari ‘terkurung’ itu, beliau tetap meneruskan kerja pejabat seperti biasa walaupun berada di dalam wad supaya perasaan tertekan itu tidak terus menyelubungi dirinya.

“Pesakit perlu bersemangat dan fokus untuk cepat pulih walaupun sesekali tubuh saya terasa amat letih kerana antibodi sedang bekerja. Jika itu terjadi, saya perlu berehat. Alhamdulillah kesihatan saya okay dan tidak mempunyai simptom yang teruk,” katanya.

Chester dan Reza berharap semua mematuhi arahan dikeluarkan kerajaan agar rantai penularan Covid-19 dapat dihapuskan. 

Angka meningkat, Chester harap sumbangan dapat turunkan jumlah pesakit

Bagi bekas pesakit ke-18 Covid-19, Chester Chang, dia terpanggil untuk menderma plasma darahnya apabila melihat peningkatan kes positif di Malaysia.

Kata Chester, dengan cara ini dia berharap dapat menyumbang sesuatu kepada negara sekaligus menurunkan jumlah orang yang telah dijangkiti virus itu.

"Peningkatan angka orang yang dijangkiti di Malaysia membuatkan saya mahu beri sumbangan, tambahan pula sekarang saya hanya duduk di rumah.

"Harap ia dapat membantu pesakit dan menurunkan jumlah orang yang dijangkiti," katanya.

Sehubungan itu, Chester berharap orang ramai mematuhi perintah dikeluarkan kerajaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerkan (PKP) kerana dengan cara itu dapat memutuskan rantai penyebaran wabak itu.

"Ia bukan perkara mustahil untuk musnahkan rantai penyakit ini. Paling penting kita ikut semua saranan kerajaan dan duduk di rumah," katanya.

Artikel Lain