JIKA sebelum ini Afraz Said dan pasukannya penuhi jadual harian mereka dengan menyerahkan bantuan makanan kepada golongan gelandangan, rumah anak yatim dan sebagainya di sekitar Lembah Klang, tetapi sejak Februari lalu rutinnya berubah. Afraz yang memegang jawatan sebagai pengarah operasi mengakui jadual pasukannya padat berikutan penularan pandemik Covid-19 di Malaysia. Sebagai badan bukan kerajaan (NGO) yang telah lama beroperasi sejak 2013 dan terlibat dalam pelbagai kerja-kerja kebajikan termasuk bencana alam, Afraz mengakui tugas tersebut merupakan cabaran baharu bagi Food Aid Foundation (FAF). ARTIKEL BERKAITAN: Dulu bertumit tinggi, kini Nurul Ain pakai but jadi 'model pasar borong'... Paling win dapat siang ikan besar 3 minit je! Pengalaman baharu Wanita berusia 40 tahun ini berkata, buat pertama kali pasukannya berdepan dengan situasi yang agak berbahaya memandangkan wabak Covid-19 ini telah meragut banyak nyawa. “Kami dihubungi oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) mengenai penyediaan makanan kepada sekumpulan rakyat yang tiba dari Wuhan dan perlu dikuarantinkan. “Ini merupakan kerjasama kali pertama dengan Nadma di mana kami bertindak sebagai penyediaan makanan bermula dengan kumpulan dari Wuhan, seterusnya Iran dan Itali. Penyediaan makanan mengikut standard yang ditetapkan Food Aid Foundation. “Sebelum ini dalam bencana, kami bergerak sendirian. Tawaran ini dianggap satu peluang terbaik kami menambah pengalaman baharu berdepan dengan mereka yang dikuarantin. “Kesemua 66 rakyat Malaysia yang tiba dari Wuhan pada 26 Februari lalu ditempatkan di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) yang terletak di Nilai, Negeri Sembilan bagi proses kuarantin selama 14 hari. “Jadi bermulalah tugas kami menyediakan makanan dari sarapan pagi sehingga makan malam,” kongsinya kepada mStar. Semua makanan yang telah siap dimasak dan dipek akan diagihkan oleh anggota APM dan JKM kepada kumpulan yang dikuarantin. Khidmat Cef Menurut Afraz, pasukannya kini mempunyai 14 staf sepenuh masa, dan ramai lagi yang terlibat secara sambilan. “Food Aid Foundation mempunyai dua cawangan termasuk di Kelantan yang dibuka selepas bencara banjir besar pada tahun 2018. “Ibu pejabat kami di Desa Tun Razak menempatkan stok-stok makanan untuk diserahkan kepada rumah anak yatim, rumah orang tua, pusat gelandangan dan lain-lain. “Kami bersyukur sejak FAF ditubuhkan, ia semakin berkembang dan banyak pengilang makanan serta pasar raya bekerja sama menyumbangkan pelbagai bentuk stok makanan. Afraz memulakan kerja-kerja sukarelawan ini sejak 2013. “Selain itu, kami juga mempunyai beberapa cef profesional yang turut memberi khidmat sukarelawan dalam penyediaan makanan. “Cef-cef inilah yang akan menyediakan makanan berkhasiat dan seimbang bagi kesemua mereka yang dikuarantin di AKEPT itu. “Ya, kita sedia maklum pemakanan yang sihat juga penting kepada mereka yang dikuarantin bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19. “Tugas kami, hanya menyediakan makanan dan proses penghantaran akan dilakukan oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” jelasnya. Tak cukup rehat Menurut Afraz, seperti barisan hadapan yang lain juga, FAF tidak peduli dengan waktu rehat yang cukup memandangkan ada perkara yang lebih penting perlu diselesaikan. Sebahagian daripada pasukan Food Aid Foundation. “Kami mula masuk dapur lebih kurang pukul 4 pagi setiap hari hinggalah malam. “Memang penat, tetapi tanggungjawab diutamakan. Kami semua gembira melakukan tugas ini dan tidak semua orang meraih pengalaman berharga ini. “Sekarang ini kami meneruskan khidmat penyediaan makanan untuk dua kumpulan warga negara yang baharu pulang dari Iran dan Itali yang kini sedang dikuarantin masing-masing sehingga 4 dan 8 April ini. Antara makanan yang disediakan oleh Food Aid Foundation. "Ia melibatkan seramai 78 orang baru tiba dari Iran, manakala 105 lagi pulang dari Itali, ” jelasnya. Dalam pada itu, Afraz meluahkan rasa penghargaan dan terima kasih kepada semua bos, staf, penaja dan sukarelawan yang bertungkus-lumus menjaya misi ini. "Tanpa mereka semua, ini tidak akan berjalan lancar," akhiri Afraz.