WAN Alya Wan Hanizan menyukai pekerjaannya sebagai pembantu guru di sebuah sekolah prasekolah untuk kanak-kanak istimewa. Tanggungjawabnya termasuklah membantu guru menguruskan bilik darjah serta melaksanakan rancangan pelajaran untuk 16 pelajar dalam kelasnya dan Alya sentiasa gembira dapat menghabiskan masa bersama kanak-kanak istimewa sepanjang tempoh bekerja. "Saya suka menyanyi bersama kanak-kanak dan datang ke taska bantu Cikgu Zahirah," katanya yang telah bekerja di Taska Anak-Anak Sindrom Down (Anisd) di Putrajaya selama setahun setengah. ARTIKEL BERKAITAN: Mata tak nampak... hidap 2 penyakit lain, Syarnissa buat ramai tabik! Dapat ijazah di Australia hanya dalam masa 20 bulan Alya mungkin tidak mempunyai kelayakan dalam bidang pendidikan khas tetapi wanita berusia 25 tahun ini adalah insan paling layak untuk mengajar kanak-kanak Sindrom Down. Ini kerana, seperti pelajarnya, Alya sendiri adalah individu dengan masalah sama, namun dia telah mencapai pelbagai kebolehan serta mampu berdikari ketika bekerja. Alya seronok dapat mengajar kanak-kanak istimewa. "Alya dapat mendengar arahan dengan baik malah dia sangat lembut dan sayangkan semua murid di taska," kata penyelianya, Zahidah Yusoff yang menguruskan taska itu bersama enam guru terlatih lain. Zahidah, 28, memberitahu dia sentiasa cuba membina keyakinan Alya kerana mahu melihat dia berdikari. "Dengan pengalaman dan latihan berterusan, saya yakin Alya akan bertambah baik dalam menjalankan tugasnya," katanya yang juga pemegang Diploma dalam bidang Terapi Pekerjaan. Dalam pada itu, Alya memberitahu diberi peluang untuk mempunyai pekerjaan tetap adalah sesuatu yang memberi makna besar kepada dirinya. "Saya suka bekerja. Saya suka mengajar, memberi makan dan mandikan murid," katanya yang merupakan satu-satunya pekerja dengan kelainan upaya di pusat jagaan itu. Alya bekerja lapan jam setiap hari, selama empat hari seminggu. Alya bersama ibunya, Hanizan Hussin yang juga Presiden Persatuan Sindrom Down Malaysia. Selain Alya, individu paling gembira dengan pencapaiannya adalah ibunya, Hanizan Hussin yang memainkan peranan penting dalam membina kepercayaan dan keyakinan dalam diri wanita itu. Ibu kepada tujuh cahaya mata itu sentiasa percaya dengan kebolehan Alya dan telah bekerja keras selama bertahun-tahun bagi membantu individu seperti anak perempuannya untuk berdikari. Sebagai presiden Persatuan Sindrom Down Malaysia (MDSA), Haniza bekerjasama dengan ahli terapi untuk membantu kanak-kanak dengan keperluan istimewa mendapatkan pekerjaan dan hidup berdikari. "Individu dengan Sindrom Down mempunyai tahap kognitif yang berlainan berbanding manusia normal, bermula daripada ringan sehinggalah paling teruk. Di MDSA kata Hanizan, kanak-kanak ini akan dilatih mengikut kemampuan mereka iaitu fungsi tinggi, sederhana dan rendah termasuk Alya yang mendapat pendedahan sejak kecil. Alya bersama kanak-kanak dan guru-guru di Taska Anak-Anak Sindrom Down (Anisd) di Putrajaya. Katanya, dalam tempoh 15 tahun, dia telah membantu lebih 50 individu dengan sindrom itu untuk mendapatkan pekerjaan. Latihan itu kata Hanizan dilakukan dalam lima fasa iaitu program intervensi awal (untuk kanak-kanak), kelas pendidikan khas (pelajar sekolah rendah dan menengah), latihan kerjaya (termasuk latihan pengukuhan kemahiran dan kemahiran kerjaya), latihan peralihan (latihan kemahiran) dan peluang penempatan pekerjaan. "Di MDSA, semua kanak-kanak dengan Sindrom Down diajar pelbagai kemahiran berdasarkan kemampuan mereka seperti memasak sehingga kerja pejabat. "Mereka juga akan melalui kursus motivasi, sosial dan kemahiran bagi mempersiapkan diri mereka dengan cabaran dunia sebenar," katanya yang turut berbangga dengan pencapaian anaknya. Walaupun dia telah membantu ramai pelajar lain mendapatkan pekerjaan, ia adalah pengalaman istimewa melihat anaknya sendiri dapat bekerja dan memperoleh pendapatan. Meskipun gajinya hanya RM250 sebulan tetapi kata Hanizan ia sangat bermakna kerana ia adalah daripada usaha anaknya dalam mengatasi cabaran sebagai seorang Sindrom Down. "Sejak mendapat pekerjaan, keyakinannya semakin bertambah. Keinginan saya sebagai ibu untuk melihatnya matang, berdikari dan hidup sendiri apabila saya sudah tiada nanti," katanya. - THE STAR