GAYA seorang wanita lengkap lipstik merah terang, gaya pemakaian tudung mengikut fesyen terkini serta lengkap dengan anting-anting panjang mencuri perhatian pengunjung Pasar Borong Selangor. Mana tidaknya, wanita bergaya itu dilihat cukup lincah membersihkan ikan-ikan yang berlonggok dihadapannya termasuk jenahak dan siakap, ada yang seberat tiga kilogram. ARTIKEL BERKAITAN: Dulu jual mufin, tapi hati pada handbag... akhirnya jadi personal shocpper berjaya - “Saya terpaksa bawa 20kg pisang naik bas” Penampilan Nurul Ain Alias membuatkan dia lebih dikenali sebagai 'model' di pasar borong itu gara-gara cara pemakaiannya seperti hendak ke pejabat! Hampir setahun menjadi peniaga ikan di pasar borong yang terletak di Pusat Bandar Putra Permai itu, boleh dianggap sebagai 'penyeri' kepada pasar itu. Nurul Ain menunjukkan cara membelah ikan yang betul kepada pelanggan. "Saya memang tak obleh pakai baju kemeja T, seluar jeans atau tudung sarung saja. Saya nak jaga juga penampilan. Memang mula-mula dulu, ramai rakan niaga dan pembeli terkejut dengan gaya saya ini," kata ibu kepada empat cahaya mata ini. Setiap malam, Nurul Ain, 36, memberitahu dia akan menyediakan pakaian untuk pasar dan akan memastikan semua pakaiannya diseterika terlebih dahulu. Pelbagai but getah koleksi Nurul Ain Malah, wanita ini juga mempunyai pelbagai koleksi but getah yang sememangnya berbeza dengan apa yang dipakai oleh kebanyakan lelaki di pasar. Antaranya, ada yang berwarna merah jambu, lutsinar, biru cair, merah dengan pelbagai motif seperti bunga, abstrak, geometri, karakter kartun menjadi pilihan untuk digayakan anak kelahiran Kuala Lumpur ini semasa berniaga. "Sebenarnya, saya sudah biasa dengan penampilan yang kemas. Dulu, saya bekerja dalam bidang korporat dan apa yang saya pakai ini adalah seperti ke pejabat cuma tidak pakai kasut tumit tinggi, manakala jaket ditukarkan kepada kardigan," katanya. Bekerja dalam bidang korporat di sektor kerajaan dan juga syarikat swasta sebelum ini, Nurul Ain bukanlah seorang wanita yang tidak ada kelulusan. Wanita ini juga graduan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa (Perhubungan Awam) di sebuah universiti tempatan dan mempunyai pengalaman luas dalam pelbagai jenis pekerjaan profesional. Pekerjaan ini sangat renyah dan memerlukan tenaga sangat kuat dan kerana itulah tidak ramai wanita menceburinya. NURUL AIN ALIAS PENIAGA IKAN PASAR BORONG Antaranya, pegawai tadbir di Jabatan Pelajaran selama empat tahun, syarikat swasta sebagai pegawai juga empat tahun dan kemudian pada 2016 dia beralih ke syarikat lain dan menyandang jawatan sebagai pegawai perhubungan awam. Namun begitu, rezekinya di situ tidak bertahan lama kerana selepas hampir tiga tahun bekerja, syarikatnya berhadapan masalah dan terpaksa memberhentikan sebahagian besar pekerjanya termasuk Nurul. Pilih jual ikan teruskan kelangsungan hidup "Saya dapat notis tiga bulan pemberhentian kerja pada Disember 2018. Saya mulalah cari pelbagai jenis pekerjaan. Ada juga dapat kerja, tetapi ada yang jauh dari rumah dan selepas tolak sana-sini hanya berbaki berapa saja. “Sampailah akhir Mac 2019, saya langsung tidak dapat cari kerja yang sesuai. Kos sara hidup di Kuala Lumpur tinggi, dengan anak empat orang lagi. Sebagai isteri, saya juga perlu membantu suami. “Akhirnya, abah tawarkan saya untuk jaga tapak perniagaannya di Pasar Borong Selangor. Abah sudah buat bisnes jual ikan sejak 20 tahun lepas dan mempunyai dua tapak perniagaan iaitu satu di sini (Pasar Borong Selangor) dan satu lagi di Selayang,” katanya. Nurul Ain juga bersyukur kerana dapat menderma ikan-ikan yang dijual kepada rumah anak-anak yatim. Menurut anak kedua daripada empat beradik ini, ayahnya mengesyorkan dia untuk berniaga di pasar berkenaan kerana masa pekerjaannya sama seperti waktu pejabat iaitu beroperasi pada pukul 7 pagi dan habis pada 1 tengah hari, sesuai untuk menguruskan anak-anaknya. Nurul memberitahu meskipun tidak pernah terlintas dalam fikirannya akan melakukan kerja seperti ayahnya, namun tidak ada langsung perasaan malu. Bagaimanapun, Nurul mengakui bahawa menjadi peniaga ikan memerlukan kudrat sangat tinggi. “Pekerjaan ini sangat renyah dan memerlukan tenaga sangat kuat dan kerana itulah tidak ramai wanita menceburinya. Masa awal-awal memang agak sukar dan hampir putus asa tetapi apabila mengenangkan anak, saya kuatkan juga semangat. "Kalau ada pun wanita yang menjadi peniaga ikan tetapi kebanyakannya tidak buat apa yang saya buat.