suria

Puisi buat wira, wirawati negara 'berperang' hadapi Covid-19, ilham selepas rakan dijangkiti - “Tapi masih ada yang degil, ingkar perintah”

Puisi tulisan Teo Wei Sing ternyata mengundang sebak pembaca sejak ia dikongsi dan menjadi tular.

SEBUAH puisi bertajuk 'Kepada Wira dan Wirawati Negara' tulisan Teo Wei Sing yang tular di laman sosial sejak Sabtu mengundang sebak sesiapa sahaja yang membacanya.

Setiap bait kata yang ditulis Teo yang juga seorang pendidik adalah bagi menggambarkan rasa terima kasih kepada semua petugas-petugas di barisan hadapan yang bertungkus lumus bagi memastikan penularan wabak Covid-19 melanda negara ketika ini dikawal.

Rata-rata menyatakan kekaguman terhadap puisi yang dihasilkan guru berusia 38 tahun itu dan menyifatkan ia sedikit sebanyak dapat membuatkan semua petugas yang terpaksa berkorban demi negara rasa dihargai.

ARTIKEL BERKAITAN: Hari duka buat Malaysia, terkini Covid-19 catat 8 kematian

Teo ketika dihubungi mStar memberitahu, penulisan puisi dan sajak bukanlah perkara baharu dalam kamus hidupnya malah dia sudah berjinak-jinak sejak dibangku sekolah lagi.

Bagaimanapun sejak beberapa hari lalu, sebagai rakyat Malaysia, hatinya cukup terusik apabila melihat pengorbanan semua petugas di hospital, polis serta hero tidak didendang yang tidak berbelah bahagi semata-mata demi negara.

"Saya sudah mendapat ilham dan idea untuk menulis puisi ini sejak beberapa hari lalu selepas melihat hero-hero kita ini tanpa henti melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.

"Namun masih ada segelintir masyarakat kita yang berdegil dan mengingkari perintah dikeluarkan kerajaan sehingga Perdana Menteri kita sendiri terpaksa membuat perutusan buat kali kedua merayu semua duduk di rumah.

"Ini adalah sedikit sumbangan saya sebagai tanda penghargaan kepada semua petugas frontliner kita," katanya.

Guru ini bukan sahaja menulis tetapi turut mendeklamasikan puisi termasuk di luar negara.

Dalam pada itu, Teo yang juga seorang guru Bahasa Melayu di sebuah sekolah di Kuantan, Pahang, memberitahu dia bersyukur apabila puisi tulisannya tular di media sosial kerana hasratnya untuk menyampaikan mesej itu kepada masyarakat tercapai.

Rakan terkena virus Covid-19

Bercerita lanjut mengenai penulisan puisi itu, ilham itu juga datang selepas rakan baiknya disahkan positif wabak berbahaya itu baru-baru ini.

Teo memberitahu dia cukup terkesan dengan berita itu apabila rakannya itu memberitahu dia bimbang tiada siapa dapat menjaga anak-anaknya memandangkan isteri dan kedua ibu bapanya turut disahkan positif.

"Saya sebak apabila dia menyuarakan kesedihannya kerana tiada siapa dapat menjaga anak-anaknya, malah dia tak dapat sentuh mereka.

"Situasi rakan baik saya itu turut memberi impak kepada saya dan ia diterjemahkan dalam puisi berkenaan," ujarnya.

Bapa kepada dua cahaya mata itu memberitahu, dia menyiapkan puisi berkenaan hanya dalam tempoh dua jam pada pagi Jumaat lalu sekitar pukul 4.55 pagi.

"Saya selalunya tidak meletakkan waktu tertentu untuk menulis, apabila ada idea, saya akan tulis. Tapi biasanya, waktu awal pagi adalah paling tenang untuk menulis," katanya.

Teo deklamasi puisi di Beijing, Paris

Kisah Teo dan puisi bermula selepas seorang guru memintanya mendeklamasikan puisi ketika di sekolah dan sejak itu dia mula meminati sastera Melayu sehingga melanjutkan pengajian dalam bidang Pengajaran Bahasa Malaysia Sebagai Bahasa Pertama di Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 2004.

Teo sudah menulis 10 buku sepanjang tempoh 13 tahun bergiat aktif dalam bidang penulisan.

Ketika di UPM kata Teo, dia bertuah apabila mendapat tunjuk ajar daripada sasterawan terkenal seperti Profesor Madya Syed Othman Syed Omar al-Yahya (S. Osman Kelantan) dan Profesor Madya Lim Swee Tin dalam mengasah lagi bakatnya dalam penulisan sastera Melayu.

"Jika tidak kerana pendedahan awal ketika di sekolah oleh guru, mungkin saya tak minat dalam bidang sastera Melayu tetapi saya bersyukur kerana mendapat tunjuk ajar daripada ramai pakar dalam bidang ini.

"Pada saya bahasa Melayu itu sangat indah dan sebagai rakyat Malaysia kita perlu kuasai bahasa kebangsaan kita," ujarnya yang turut meminati tulisan A. Samad Said dan Usman Awang.

Atas minat terhadap puisi juga telah membawa Teo ke luar negara bagi mempromosikan bahasa Melayu di seluruh dunia termasuklah di Beijing, China pada 2014 serta endeklamasikan puisi Melayu di Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa Bersatu (Unesco) di Paris (2015).

Antara buku tulisan Teo.

Tidak cukup dengan itu, Teo juga mempunyai buku sendiri iaitu sebuah antologi puisi dwibahasa berjudul Khalwat selain mempunyai 10 koleksi buku tulisannya yang lain.

"Saya tidak akan berhenti menulis puisi kerana inilah adalah warisan negara penuh nilai yang patut diteruskan," katanya.

Kepada Wira dan Wirawati Negara
Oleh TEO WEI SING

Di kala merebaknya Covid-19
Menggemparkan gundah segenap manusiawi,
Mengganggu gugat rutin dan gerak-geri kita
Perintah Kawalan Pergerakan diisytiharkan
Merubah setiap detak nafas masyarakat
Dengarlah kata PM kita
Duduklah diam-diam di rumah
Usahlah pergi ke mana-mana.

Kepada wira dan wirawati negara
Terima kasih
Terima kasih kerana bertarung dengan virus Corona yang celaka
Mengubati setiap nyawa yang tak ternilai harganya
Mengekalkan kebahagiaan keluarga
Memapankan kesejahteraan
Demi rakyat jelata.

Kepada wira dan wirawati negara
Engkaulah
Engkaulah penyambung nafas setiap insan
Untuk kekal bernyawa
Engkaulah denyut nadi rakyat Malaysia
Untuk kekal sejahtera
Rahmat bahagia.

Kepada wira dan wirawati negara
Dikaulah adiwira bangsa
Yang berwajah insaniah
Semoga keselamatan kalian diberkati Allah S.W.T
Semoga kesihatan kalian diberkati Allah Yang Maha Esa.

Teo Wei Sing, Covid-19, puisi

Artikel Lain