suria

Dr Noor Hisham Abdullah... Figura yang jadi sebutan kini, fakta ke-10 pasti kebanggaan diri dan keluarganya!

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menjadi perhatian yang menantikan kemunculannya setiap hari bagi mendapatkan info terbaharu berkaitan Covid-19 di Malaysia.

SETIAP hari, sekitar pukul 5 atau 5.30 petang, ramai di antara kita akan ternanti-nantikan sidang media Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang dikendalikan oleh Datuk Dr Noor Hisham Abdullah bagi mengetahui perkembangan semasa kes Covid-19 di seluruh negara.

Kemunculan ketua pengarah kesihatan pada sesi harian itu, sentiasa dalam keadaan kemas, tenang dan sedaya upaya cuba memberikan maklumat telus serta mudah difahami oleh segenap lapisan masyarakat berhubung situasi terkini wabak itu.

Tenang dan teliti ketika menjawab setiap persoalan daripada pihak media membuatkan ramai menyenangi figura ini dan fokus terhadap apa yang ingin diperkatakan.

ARTIKEL BERKAITAN: “Sekarang ini bukan tentang saya...” - Dr Noor Hisham mahu fokus perangi Covid-19, anggap gelaran ‘wira negara’ bukan keutamaan

Jujurnya, mendengar setiap kata-kata yang disampaikan serta maklumat segera sejurus selepas sidang media berlangsung di laman sosial rasmi KKM membuatkan ramai daripada kita tidak panik.

Setiap kali sidang media, Dr Noor Hisham kelihatan tenang memberi kenyataan dan menjawab soalan pihak media.

Gelaran tidak penting, tangani Covid-19 tumpuan utama

Dalam situasi tidak menentu ketika ini, dengan kelibat beliau setiap hari yang sentiasa memberi harapan kepada semua masyarakat Malaysia maka timbul gelaran 'wira negara' buat figura yang menjadi tumpuan ramai ini.

Pun begitu, dalam nada merendah diri, susuk tubuh berusia 57 tahun ini menjelaskan, ketika ini bukan tentang dirinya sebaliknya keutamaan harus diberikan bagi memerangi Covid-19.

"Sekarang ini bukan tentang saya, tetapi apa kami boleh lakukan terhadap Covid-19. Jadi pada saya tak penting (gelaran wira negara), yang penting adalah perkhidmatan," katanya.

Harus diakui, berhadapan dengan krisis dalam situasi getir ketika ini bukannya mudah malah ia cabaran besar buat insan seperti Dr Noor Hisham yang jelas mempertahankan pendirian dalam beberapa isu demi untuk menjamin keselamatan penduduk negara ini.

Kecekapan, profesionalisme serta kepimpinan beliau cukup nyata membuatkan ramai mengagumi dan menyanjunginya kerana apa dilakukannya bukan tugas mudah.

Maka tidak hairan dia mendapat pujian daripada netizen yang rata-rata memandang tinggi sikap profesionalnya serta keprihatinannya yang dianggap cukup dekat dengan setiap lapisan masyarakat.

Pengalaman luas dalam bidang perubatan menjadikan Dr Noor Hisham seorang berkaliber dalam tugasnya.

Selari dengan perhatian diterimanya, kisah hidup figura ini juga mula menjadi bualan sehingga tersebar kisah mengatakan beliau berasal dari sebuah keluarga susah berketurunan Cina dan pernah tinggal di sebuah flat di Jalan Loke Yew, Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, ketika memasuki usia 13 tahun, Dr Noor Hisham diambil sebagai anak angkat oleh sebuah keluarga Melayu.

Namun seperti mana diberitahu ketika ini bukanlah tentang dirinya, beliau tidak pernah mengiya atau menidakkan tentang kisah silamnya yang hangat diperkatakan ketika ini.

Malahan, diakui sukar untuk mengumpul profil dirinya serta keluarga kerana beliau ternyata enggan mencampur adukkan antara tugas dan hal peribadi, lebih-lebih lagi yang menjurus kepada populariti dirinya.

Namun, fakta terakhir dalam senarai trivia figura yang dihormati ramai ini tentu sekali legasi beliau yang akan terus menyumbang kepada perkembangan dunia perubatan di negara ini. 

Trivia mengenai Datuk Dr Noor Hisham Abdullah:

1. Dilahirkan pada 21 April 1963 di Sepang, Selangor.

2. Berkelulusan Ijazah Sarjana dalam bidang Surgeri dan Ijazah Doktor Perubatan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

3. Mula menyertai perkhidmatan awam sebagai Pegawai Perubatan pada Ogos 1988.

4. Dr Noor Hisham juga pernah melanjutkan pengajian dalam bidang Pembedahan Endokrin serta melakukan latihannya di beberapa universiti di Adelaide dan Sydney, Australia.

5. Pada 1994, beliau menyandang jawatan sebagai Pakar Bedah Umum sebelum bertugas sebagai Pakar Bedah Umum Hospital Putrajaya pada 2004.

Figura ini cukup dikagumi masyarakat Malaysia.

6. Dr Noor Hisham menyandang jawatan sebagai Ketua Jabatan Pembedahan Payudara Endokrin dan Pembedahan Am di hospital sama sebelum bergelar Pakar Perunding Bedah Kanan Hospital Putrajaya pada 2007.

7. Pengalaman luas, kredibiliti serta pengetahuan luar biasa dalam bidang perubatan membolehkan beliau dilantik sebagai Ketua Pengarah Kesihatan bagi menggantikan Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman pada 1 Mac 2013.

Beliau sebelum itu memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) sejak 1 Februari 2008.

8. Selain resume mengagumkan, Dr Noor Hisham juga diberi mandat selaku Pengerusi Jawatankuasa Pembedahan Global, Persatuan Pembedahan Antarabangsa (ISS) bagi sesi 2017 hingga 2021, iaitu rakyat Malaysia pertama diberi kepercayaan memegang jawatan itu.

9. Pada 3 April lalu, Dr Noor Hisham dipilih menyertai sekumpulan saintis dunia untuk membuat kajian memerangi pandemik Covid-19.

10. Beliau mempunyai seorang anak lelaki yang mengikut jejak langkahnya bergelar pegawai perubatan di hospital kerajaan di sebuah negeri di pantai timur tanah air.

Artikel Lain