KETIKA ini kebanyakan negara di seluruh dunia sedang melaksanakan arahan lockdown bagi mengawal penularan wabak Covid-19 yang semakin berleluasa. Namun bagi pasangan dari London, England ini mereka memilih untuk mengasingkan diri di Bali, Indonesia meskipun negara itu juga sedang melakukan perintah berkurung. Corrine dan Dave Pruden bersama dua anak kembar mereka mengambil keputusan menaiki penerbangan terakhir dari London ke Denpasar bagi melindungi keluarga mereka daripada virus tersebut. ARTIKEL BERKAITAN: Wow! Atuk 62 tahun pecah rekod dunia 'plank' lebih 8 jam Kedua-dua mereka juga sedar akan dianggap tindakan itu sebagai dangkal namun pasangan itu memberitahu keputusan keluar dari London adalah demi melindungi anak kembar mereka. Ia juga berkaitan dengan peningkatan mendadak kes Covid-19 di England yang sehingga kini sudah mencapai 100,000 kes dengan 12,800 kematian (sehingga berita ini ditulis). Pasangan ini memilih untuk menyewa sebuah rumah kecil di Ubud. Angka itu turut menjadikan ia negara keenam dengan jumlah kematian tertinggi selain kes positif lebih banyak berbanding China. Pasangan itu mengambil penerbangan dari London ke Denpasar pada 16 Mac lalu iaitu seminggu sebelum negara itu memperketatkan perintah berkurung. Keluarga kecil itu kini tinggal di sebuah rumah yang disewa menerusi Airbnb di Ubud. Kediaman tersebut terletak di tengah sawah dengan kolam renang, namun jauh daripada orang ramai. Mereka juga turut memesan makanan daripada restoran berdekatan yang dihantar terus ke kediaman mereka. Menerusi perkongsian foto di Twitter, keluarga itu nampak gembira dan menikmati lockdown selain anak mereka bebas berlari di kawasan rumah. Corinne ketika dihubungi Sky News memberitahu, dia dan suami pada awalnya berasa agak bimbang dengan keputusan dibuat memandangkan orang lain berpusu-pusu pulang ke negara masing-masing. Anak kembar pasangan ini bermain di sekitar kawasan rumah. "Bagaimanapun dalam rasa bimbang itu, kami sebenarnya berasa sangat tenang," katanya yang sudah menetap di Budapest selama lima tahun dan memiliki sebuah kedai kopi. Katanya, dia berasa tenang kerana tidak berada di London dalam situasi genting ketika ini yang pada hematnya lebih bahaya berada di sana berbanding Bali. Sementara itu, Corinne memberitahu dia sekeluarga pulang ke London sebelum ini kerana ingin menziarahi ibunya sebelum merancang untuk bercuti ke Amerika Syarikat. Namun katanya, penularan Covid-19 secara mendadak di Eropah dan Amerika membuatkan mereka mengubah perancangan sebelum memilih untuk ke Bali bagi mengasingkan diri. "Kami boleh sahaja terus tinggal di London atau pulang ke Budapest tetapi ada sesuatu mengatakan kami perlu pergi ke tempat yang tenang dan baik untuk anak-anak kami," ujarnya. Masih belum berfikir bila mereka sekeluarga akan pulang ke tempat asal, Corinne memberitahu mereka kini ingin menikmati keindahan Bali sebelum merancang perjalanan seterusnya.