TINDAKAN seorang pemuda memuat naik beberapa foto kek perkahwinan yang cantik di Twitter telah menarik perhatian ramai yang sekaligus ingin mengetahui kisah di sebaliknya. Siapa sangka, semua kek perkahwinan itu dihasilkan oleh seorang lelaki berusia 56 tahun yang baru sahaja lima tahun berkecimpung dalam bidang bakeri. ARTIKEL BERKAITAN: Dulu jual mufin, tapi hati pada handbag... akhirnya jadi personal shocpper berjaya - “Saya terpaksa bawa 20kg pisang naik bas” Zulkiflee Mawan memberitahu dia sebenarnya terkejut apabila mendapat tahu kek perkahwinan yang dihasilkan tular di Twitter selepas dimuat naik oleh anak sulungnya, Muhammad Aiman, 21. Zulkiflee memberitahu dia tidak pernah minat memasak apatah lagi membakar kek. "Dia langsung tak beritahu saya pasal dia muat naik gambar hasil kerja saya di Twitter... Sampailah ia tular, barulah dia maklumkan kepada saya mengenainya. "Terkejut juga tetapi membaca komen masyarakat yang kebanyakannya positif membuatkan saya gembira," katanya kepada mStar ketika dihubungi baru-baru ini. Tinggalkan kerjaya di BNM selepas 27 tahun berkhidmat! Bercerita mengenai penglibatannya dalam bidang bakeri, Zulkiflee memberitahu dia tidak pernah terfikir untuk menceburi bidang itu apatah lagi membakar kek kerana tidak pandai memasak. Malah kata bapa kepada lima cahaya mata ini, dia juga berasa selesa dengan kerjayanya sebagai Pengurus di Jabatan Pengurusan Risiko, Bank Negara Malaysia (BNM) selama 27 tahun sebelum mengambil keputusan nekad bersara awal. Zulkiflee bersama isteri dan lima anak mereka. Zulkiflee memberitahu dia membuat keputusan itu sekitar lima tahun lalu selepas mula berasa bosan dan hilang motivasi terhadap tugas di pejabat. "Sebelum berhenti saya pernah mengambil cuti selama empat tahun kerana menemani isteri menyambung pengajian di United Kingdom dan selepas pulang dan kembali bekerja, saya mendapati saya sudah tiada semangat atau motivasi untuk terus bekerja. "Selepas berfikir panjang dan berbincang dengan isteri, saya nekad untuk bersara awal dan ingin mencuba perkara baharu dalam hidup saya. "Jujurnya, membuat kek langsung tiada dalam fikiran saya ketika itu kerana saya memang tidak pandai memasak apatah lagi membakar sebiji kek!," katanya yang juga pemegang Ijazah Sarjana Muda Perakaunan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Gigih... Zulkiflee belajar tentang gubahan kek dan bunga gula daripada artis tersohor, Naomi Yamamoto di Jepun. Ramai jual kek secara online, tuntut ilmu sampai ke Jepun! Bagaimanapun kata Zulkiflee, dia tergerak hati untuk menceburi bidang itu selepas melihat ramai mula membuka perniagaan sama ada menjual kek atau kek cawan secara dalam talian dan ia mendapat sambutan hangat. Bertitik tolak daripada itu, Zulkiflee memberitahu dia ingin mencuba nasib dan mula mengambil kelas asas penghasilan kek memandangkan dia tidak mempunyai kemahiran dalam bidang itu. "Berkat ingin belajar dan memajukan diri dalam bidang baru, saya mula pandai membuat kek untuk keluarga dan diberikan kepada rakan-rakan terdekat. "Alhamdulillah ramai memuji kata kek buatan saya sedap. Barulah saya berani untuk mengambil tempahan dan jual kepada orang lain," ujarnya. Jujurnya, membuat kek langsung tiada dalam fikiran saya ketika itu kerana saya memang tidak pandai memasak apatah lagi membakar sebiji kek! ZULKIFLEE MAWAN PEMILIK BANKER2BAKER Ceritanya, selepas melihat penerimaan baik terhadap kek buatannya, Zulkiflee memberitahu dia mula terfikir untuk membuat pembaharuan dan menawarkan perkhidmatan lain kepada pelanggan memandangkan terlalu ramai menjual kek secara dalam talian. Atas sebab itu, Zulkiflee sanggup terbang ke Tokyo untuk mempelajari teknik penghasilan kek dan bunga gula daripada artis kek tersohor, Naomi Yamamoto selain dekorasi bunga di Singapura dan Paris. "Apabila melihat terlalu banyak persaingan, saya perlu tampil dengan strategi dan produk berbeza dan atas sebab itu saya mula fokus kepada pembuatan kek perkahwinan dan hari jadi. "Alhamdulillah, percubaan saya itu berjaya dan kini memang saya hanya fokus kepada pembuatan kek perkahwinan sahaja," katanya yang turut membuka sebuah Kafe Banker2Baker di Wangsa Maju, Kuala Lumpur. Antara kek perkahwinan yang dihasilkan Zulkiflee. Nama itu dipilih kata Zulkiflee bersesuaian dengan pekerjaan lamanya sebagai seorang pegawai bank yang bertukar kerjaya sebagai pembuat kek. Kini, dia mempunyai seramai empat orang staf bagi membantunya menghasilkan tempahan kek daripada pelanggan serta menguruskan kafenya yang sehingga kini telah menghasilkan lebih 2,000 kek. Pelanggan golongan elit, selebriti Nama Banker2Baker mungkin agak asing berbanding jenama terkenal lain namun Zulkiflee sebenarnya mempunyai ramai pelanggan dalam kalangan golongan elit dan selebriti. Pasangan pelakon Amyra Rosli dan Amar Baharin antara selebriti pertama yang menggunakan perkhidmatannya ketika majlis persandingan mereka pada 2016 Amar Baharin, Amyra Rosli serta anak kepada penerbit Ziela Jalil pernah menempah kek buatan Banker2Baker. Selain itu, antara selebriti yang pernah menggunakan khidmatnya termasuklah penerbit, Datuk Ziela Jalil untuk perkahwinan anak perempuannya, Dr. Puteri Julia Nabilah Megat Junid dengan Dr Dziya Faqhran Mahmod Fauzi pada 2018, sambutan ulangtahun pelakon Mira Filzah dan sebagainya. Zulkiflee juga pernah menghasilkan kek untuk bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk ulang tahun kelahiran beliau yang ke-92. Terbaharu, beliau diberi kepercayaan untuk membuat kek perkahwinan untuk anak Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir iaitu Meera Alyanna Mukhriz dengan pasangannya, Ezran Daud Cheah pada Februari lalu. Covid-19 bukan penghalang, Zulkiflee kembali terima tempahan kek hari jadi Zulkiflee mengakui penularan wabak Covid-19 ketika ini sedikit sebanyak menjejaskan perniagaannya memandangkan tiada sebarang majlis perkahwinan diadakan. Kek hari jadi ke-92 untuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang ke-92. Bagaimanapun, dia tidak menjadikan perkara itu sebagai pematah semangat sebaliknya kembali menerima tempahan kek hari jadi selain membuat biskut raya untuk Aidilfitri tidak lama lagi. "Sebenarnya saya sudah lama tidak mengambil tempahan kek hari jadi atau untuk acara lain kerana memfokuskan kepada kek perkahwinan. "Kek perkahwinan memerlukan perhatian dan kesungguhan sepenuhnya tambahan pula proses menghiasnya juga mengambil masa agak lama. "Jadi apabila sekarang ada masa terluang, saya ambil peluang ini untuk kembali menerima tempahan kek hari jadi sekiranya ada yang ingin menyambutnya di rumah bersama keluarga," katanya yang pernah menganjurkan ‘The Cake Walk 2019’ iaitu pertunjukan 30 biji kek pelbagai jenis rekaan dan perhiasaan yang julung kali diadakan di Malaysia pada April tahun lepas.