suria

Bulan madu bertukar ngeri akibat Covid-19, pasangan ini terperangkap di Sri Lanka hampir 3 bulan!

Michelle dan John Senyard masih berada di Sri Lanka sejak berkunjung ke negara itu pada awal Mac lalu.

SETIAP pasangan yang baharu sahaja melangsungkan perkahwinan pasti mengimpikan saat berbulan madu romantik bagi mengeratkan ikatan yang baharu dibina.

Namun berlainan pula dengan pasangan ini apabila terpaksa memanjangkan tempoh berbulan madu mereka gara-gara penularan wabak Covid-19 di negara asing.

ARTIKEL BERKAITAN: Hampir menemui ajal, Stejna bangkit melawan Covid-19 pada usia 103 tahun!

Bukannya mereka tidak mahu pulang ke negara asal, San Franscisco di Amerika Syarikat, akan tetapi semua penerbangan keluar dan masuk di Sri Lanka ditutup bagi mengelak pertambahan kes Covid-19.

Sejak berangkat ke Sri Lanka pada 8 Mac lalu, Michelle dan John Senyard masih berada di negara tersebut sehingga kini dan pasangan itu memberitahu percutian itu bertukar menjadi sesuatu yang pahit untuk dikenang sebagai pasangan baharu mendirikan rumah tangga.



Pasangan ini cuba menceriakan diri meskipun resah memikirkan nasib mereka.

Pasangan ini tular di media sosial apabila gambar-gambar yang dimuat naik di Instagram menjadi perhatian pengikut mereka yang teruja dan kagum dengan sikap romantik pasangan itu meskipun berada dalam situasi tidak menentu.

Bagaimanapun kata Michelle, apa yang dipaparkan bukanlah seindah yang disangkakan sebaliknya melalui pelbagai rintangan di sebalik apa dipaparkan di media sosial.

Katanya, sepanjang tempoh itu mereka telah melalui pelbagai dugaan termasuk penerbangan yang dibatalkan, diusir daripada hotel secara tiba-tiba.

"Kami hampir tidur di kaki lima kerana sejak penularan Covid-19, banyak hotel ditutup namun kami beruntung kerana berjaya menemui sebuah hostel yang masih menerima tetamu pada saat genting ini," katanya.



Michelle berharap dapat pulang ke negara asal.

Tidak hanya itu, Michelle memberitahu bulan madu mereka bertukar pahit bak hempedu kerana tidak dapat berkunjung ke tempat-tempat menarik selain sukar mencari makanan.

"Di sini kerajaan mengehadkan tempoh berada di luar rumah termasuk tidak boleh keluar pada waktu malam dan sebagai pelancong ia menyukarkan urusan terutamanya bagi mendapatkan bekalan makanan," jelasnya.

Pun begitu, pasangan ini optimis wabak berbahaya itu akan berakhir tidak lama lagi dan mereka dapat pulang ke negara asal bagi menjalani kehidupan seperti biasa.

"Kini apa yang boleh kami lakukan adalah bersabar kerana wabak ini bukan perkara main-main. Sudah tentu kami ingin pulang dan saat itu akan tiba tidak lama lagi," katanya.

Covid 19, Sri Lanka, Bulan Madu

Artikel Lain