SUDAH lebih daripada lapan bulan sejak Ezatul Hani yang menetap di Johor bertemu dengan suaminya, Umarul Nazim. Umarul pergi ke Singapura sehari sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diperkenalkan pada 18 Mac lalu dan tidak dapat pulang ke Malaysia disebabkan pintu sempadan ditutup.ARTIKEL BERKAITAN: Pernah hilang kerja akibat Covid-19, suami pula sakit tapi Jumaroh tetap positif - "Kita bertahan sebelum ini, kini pasti dapat melaluinya lagi" Lelaki berusia 26 tahun itu bekerja sebagai penyelia di sebuah syarikat pembuatan di Singapura dan kebiasaannya akan berulang-alik dari Johor ke Singapura meskipun adakalanya akan pulang sekali dalam dua minggu. Ezatul dan Umarul berkahwin hampir dua tahun lalu. Pasangan itu mempunyai seorang anak perempuan yang baharu berusia sebulan ketika kali terakhir dia ke Singapura. Bayi itu kini berusia sembilan bulan. "Saya sedang berpantang ketika suami pergi ke Singapura. Pada awalnya, kami fikir ia hanya akan berkekalan selama dua minggu. Tapi sekarang, anak kami pun sudah berusia sembilan bulan," kata Ezatul, 26, yang bertugas sebagai juruaudit dalaman di Skudai. Pasangan itu berkahwin hampir dua tahun lalu. "Kami tidak pernah berpisah sebegitu lama. Sudah tentu saya berasa sedih, saya sedang berpantang dan anak pun baru berusia sebulan dan tidak dapat bertemu bapanya. Tapi keluarga banyak memberi sokongan sepanjang tempoh ini," katanya. Ezatul dan Umarul sudah 9 bulan tidak bertemu. Selain anak perempuannya, Ezatul juga perlu menggalas tanggungjawab menjaga Amanda Norsyfiq, enam tahun, memandangkan ibu bapanya juga bekerja di tempat sama dengan suaminya di Singapura. Sebelum ini, kanak-kanak itu tinggal bersama penjaga namun disebabkan tempoh perpisahan yang terlalu lama, Ezatul dengan rela membawa pulang Amanda untuk tinggal bersamanya. Daripada dua minggu sehingga kini sudah hampir setahun, seperti Ezatul dan Umarul mereka menanti dengan penuh harapan untuk disatukan semula sebagai sebuah keluarga. Sementara itu, Ezatul memberitahu terdapat ramai rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura dan tidak dapat pulang ke Malaysia meskipun kerajaan kedua-dua negara telah menetapkan Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA). Pekerja hanya perlu buat permohonan kepada Kementerian Sumber Manusia, tetapi jumlah yang boleh memohon setiap hari dihadkan. Suami Ezatul, Umarul Nazim (kiri), bapa Amanda, Norsyfiq dan suami kepada kakak Ezatul, Jasman kini berada di Singapura dan masih belum dapat pulang ke Malaysia. Selain itu, mereka perlu menanggung kos ujian Covid-19 ketika memasuki Malaysia. Sekiranya mereka kembali ke Singapura untuk bekerja, mereka perlu menjalani kuarantin selama tujuh hari dan kos perlu ditanggung sendiri dan ia boleh menjadi sangat mahal. "Sesetengah majikan tidak membenarkan pekerja kembali ke Malaysia atas pelbagai alasan," jelasnya. Bagaimanapun Umarul bersyukur kerana syarikatnya menyediakan tempat tinggal selama enam bulan dan kini dia bersama ibu bapa Amanda menyewa bilik di sebuah rumah. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!