SEMANGATNYA tidak pernah patah setiap kali mendengar kata-kata diskriminasi terhadap anak-anak muridnya hanya disebabkan akademik mereka yang lemah. Bagi Muhammad Nazmi Rosli, dia tambah bersemangat untuk mencurahkan jiwa raga mendidik pelajar di kawasan pendalaman Sarawak, malah menjadikan watak Profesor Charles Francis Xavier (Profesor X) dalam komik dan filem Marvel sebagai inspirasi.ARTIKEL BERKAITAN: Dulu orangnya pemalu, kini siswa Universiti Al-Azhar sibuk uruskan kerja amal di Mesir - “Paling tak terkata presiden universiti turun padang” Usaha murni Nazmi itu turut mendapat perhatian dan ganjaran apabila dia diberi Anugerah RISE Educator hasil undian orang ramai dan RISE Educator of the Year berdasarkan pemilihan panel hakim Taylor's College. RISE Educator Award dianjurkan sempena sambutan Hari Guru bagi meraikan guru-guru yang membawa impak ke atas kehidupan para pelajar di Malaysia, membolehkan ibu bapa dan para pelajar mencalonkan guru-guru yang telah memberi inspirasi kepada mereka. Pelajar di kawasan pedalaman terpisah dari dunia luar. Seorang ibu, Jenny Bulan Gelawat, sanggup menempuh perjalanan lebih tiga jam dari Kampung Long Sukang ke pekan terdekat bagi mendapatkan sambungan internet untuk mencalonkan Nazmi bagi anugerah tersebut supaya dapat memastikan segala penat jerihnya mendidik anak-anak di pedalaman tidak dilupakan. Nazmi dari SK Luagan, Lawas, yang pernah bertugas di SK Long Sukang selama empat tahun, memberitahu bahawa anak-anak di perkampungan pedalaman Sarawak – jauh terpisah dari dunia luar, di mana pekan terdekat adalah kira-kira empat jam melalui jalan lori kayu balak – ternyata jauh ketinggalan berbanding rakan mereka di bandar-bandar. “Pada hari pertama saya di SK Long Sukang, saya sepatutnya mengajar mereka mengenai transaksi duit tetapi kemudian saya menyedari anak-anak di situ tidak pernah melihat pun mesin ATM. "Mereka juga bermasalah menulis karangan. Kadang-kadang ada soalan ujian berkisar mengenai pengalaman mereka ke tepian pantai atau menaiki pesawat tetapi mereka tidak pernah pun ke pantai atau naik pesawat!” katanya. Memandangkan perkampungan mereka dikelilingi hutan, tiada sambungan internet, bekalan elektrik terhad malah sering terputus, beliau mendedahkan bahawa guru-guru boleh menjadi patah semangat kerana mereka tidak dapat menghubungi orang tersayang atau komuniti di luar. Nazmi membina 'kolam renang' menggunakan 200 beg plastik. Lagipun, ramai yang beranggapan anak-anak tersebut sebagai`tiada harapan’. “Orang kata, tidak payahlah susah-susah buat kerja lebih. Mereka tidak akan ke mana-mana. Hari ini awak ajar mereka, esok mereka lupa. Buat apa susah-susah?” ujarnya. Melihat para pelajarnya berdepan diskriminasi, sama seperti mutan di dalam X-Men, Cikgu Nazmi membuat keputusan sendiri untuk melaksanakan konsep Danger Room. [Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI] “Di dalam komik X-Men, Professor X mengambil semua mutan dan melatih mereka di dalam Danger Room, di mana dia menggunakan simulasi holografik dunia luar. Saya lihat anak-anak murid saya berdepan perkara sama – mereka terputus dari dunia luar, mereka berdepan diskriminasi. Jadi saya bawa dunia luar kepada mereka,” jelasnya. Sebagaimana didedahkan menerusi pencalonan yang dibuat oleh Jenny, Nazmi melakukan simulasi dan membina pelbagai senario di dalam bilik darjah menggunakan apa sahaja bahan yang ada, seperti membina kolam renang menggunakan 200 beg plastik, mesin cuci baju daripada kertas kadbod dan kereta api daripada perabot. Nazmi yang juga peminat komik X-Men menggunakan figura sebagai bahan mengajar. Murid-murid itu mencapai begitu banyak kemajuan bila hanya empat pelajar di sekolah itu lulus ujian karangan empat tahun lalu, tetapi bila tiba masa Cikgu Nazmi hendak dipindahkan ke Lawas, SK Long Sukang telah menghasilkan pelajar paling tinggi markahnya di daerah itu. Walau bagaimanapun, Perintah Kawalan Pergerakan di Sarawak baru-baru ini, menjejaskan kemajuan pelajar sekolah itu, di mana guru-guru diberi satu pilihan – pengajaran secara dalam talian. “Kami merayu supaya diberi pilihan lebih lagi tetapi semua idea kami ditolak, ” kata Nazmi, sambil menambah walaupun ada saluran TV Pendidikan, keluarga para pelajar itu tidak ada internet mahupun televisyen ketika anak-anak berkurung di rumah masing-masing. Oleh itu, bersama guru besar SK Long Sukang, Nazmi menumpang lori mengangkut makanan ke 13 kampung untuk menghantar kerja rumah dan bahan sekolah kepada setiap 111 anak muridnya – mencetuskan apa yang kini disebut mod `offsite’ dan telah diiktiraf serta diterima pakai oleh Kementerian Pendidikan bagi pelajar miskin di bandar dan luar bandar. Model pembelajaran offsite beliau, bagaimanapun, berjaya disebabkan kerjasama ibu bapa dan penduduk kampung seperti Jenny, yang menukar rumahnya menjadi `Pusat Pembelajaran’ bagi membolehkan pelajar sekolah dapat berkumpul dan mengambil bahan pembelajaran bila sahaja PKP dikuatkuasakan. Nazmi turut mengajar pelajar membuat biskut. Kisah luar biasa Cikgu Nazmi adalah satu daripada lima pencalonan yang terpilih sebagai calon akhir bagi RISE Educator Award. Meraih lebih daripada 20,000 `likes’ pada laman Facebook Taylor’s College, guru-guru lain yang mencetuskan inspirasi adalah Abdul Muiz Hussin yang belajar sendiri bahasa Mandarin bagi membolehkannya mengajar bahasa itu kepada penduduk kampung nelayan. Manakala Hairul Azuan membantu memungut dana untuk mereka yang memerlukan di dalam masyarakat FELDA, Law Yee Chen pula berusaha memastikan pelajar miskin memperoleh akses kepada peranti dan data internet untuk pembelajaran dalam talian dan Teo Yuang Teck yang melihat potensi seorang pelajar kelainan upaya dan mengajarnya mengenai cara memprogram komputer. “Walaupun ramai guru melakukan lebih daripada bidang tugas mereka untuk mendidik anak bangsa, ramai yang tidak mengendahkan guru – malah kesilapan mereka diperbesar-besarkan, tetapi kisah yang baik didiamkan. "Pandemik ini juga tidak menyebelahi para pendidik kerana para guru harus mencari kaedah baharu bagi memenuhi keperluan pelajar mereka, malahan ahli akademik Taylor’s juga tidak terkecuali. Pelajar turut dibawa merasai pengalaman di dewan bedah. "Kami amat terharu dengan kisah luar biasa para guru mengenai kesungguhan dan daya kreativiti masing-masing yang telah dikedepankan melalui RISE Educator Award. Guru-guru ini merupakan sumber inspirasi kepada rakyat Malaysia dan kami semua di Taylor’s," kata Pengarah Kampus Taylor's College, Josephine Tan. Anugerah itu turut memaparkan sebuah Taylorian Edition, diraih oleh pensyarah Taylor’s College, Raja Imran Raja Azhar, yang dicalonkan oleh pelajar sebagai pensyarah yang teliti, memiliki harapan tinggi terhadap pelajarnya dan sanggup melakukan lebih daripada sepatutnya mengenai bahan-bahan pengajaran kepada mereka. Pemenang RISE Educator Award menerima wang tunai RM2,000, manakala individu yang mencalonkannya juga menerima wang tunai RM500. Selain itu, lima calon ke peringkat akhir juga boleh disaksikan di Facebook Taylor’s College. Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!