MARYAM Khairul Anuar mungkin baharu sahaja berusia sembilan tahun dan dilahirkan dengan Down Syndrom tetapi pada usianya yang masih kecil dia sudah melakukan perkara luar biasa dalam hidupnya. Mana tidaknya, Maryam berjaya mengumpulkan dana kebajikan RM80,000 bagi membantu kanak-kanak pelarian yang memerlukan pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur.ARTIKEL BERKAITAN: CEO muda berjiwa besar... terkesan lihat kesusahan orang ramai ketika pandemik, Arman guna cokelat kumpul dana Jumlah itu diperolehi hasil daripada jualan 95 keping karya seninya melalui Maryam Saves A Heart (MSAH) yang ditubuhkan ibu bapanya sejak tahun lalu. Ibunya, Sharifah Sarah Syed Mohamed Tahir, 39, yang juga seorang pegawai bank memberitahu semua sumbangan melalui MSAH itu disalurkan terus kepada Yayasan IJN. Malah Sharifah Sarah memberitahu dia dan suami, Dr Khairul Anuar Abdul Aziz, 39, seorang pakar bedah kardiotoraks pediatrik di IJN turut bekerja rapat dengan Tiny Gold Heart Project iaitu sebuah badan kebajikan yang membantu mengumpul dana untuk kanak-kanak pelarian yang memerlukan pembedahan jantung.Dr Khairul Anuar (kanan) dan isteri, Sharifah Sarah (dua dari kanan) bangga dengan pencapaian anak perempuan mereka. "Disebabkan kekurangan dana, ada kanak-kanak yang meninggal dunia sebelum sempat mendapatkan rawatan di IJN," kata Sharifah Sarah yang turut memberitahu Maryam juga berjaya mengumpul RM6,500 untuk pusat terapinya, Kiwanis Down Syndrome Centre di Petaling Jaya. Bercerita mengenai bakat melukis Maryam, Sharifah Sarah memberitahu anaknya itu mula melukis sejak berusia enam tahun. Ketika melihat hasil lukisan anak kesayangan mereka itu, wanita itu memberitahu dia sedar bahawa Maryam mempunyai bakat besar dalam bidang seni lukis. "Maryam memang suka melukis sampaikan dia pernah buat 30 lebih lukisan dan tiada ruang untuk menyimpannya. Saya dan suami mengambil keputusan untuk menjualnya untuk tujuan kebajikan. "Penting bagi Maryam untuk mengetahui dia menyumbang kepada masyarakat dan melakukan perbezaan walaupun ada batasannya. Kami juga mahu pembeli karya seni Maryam merasakan mereka membuat perbezaan untuk tujuan lebih besar," katanya kepada The Star. Jika dia dalam keadaan gembira, Maryam boleh hasilkan beberapa lukisan hanya dalam tempoh dua jam! SHARIFAH SARAH SYED MOHAMED TAHIR IBU MARYAM KHAIRUL ANUAR Maryam adalah bukti nyata bahawa sesiapa sahaja tanpa mengira kekurangan turut dapat melakukan kebaikan. "Saya dan suami selalu mengajar ketiga-tiga anak kami untuk melakukan apa yang mereka mampu untuk orang lain walaupun hanya sebuah senyuman. "Dalam apa sahaja kerja amal yang melibatkan mereka, kami mahu mereka belajar bahawa kesan yang diperolehi melakukan kebaikan pada orang lain," katanya. Sharifah Sarah juga memberitahu kanak-kanak perlu dibesarkan untuk mempunyai sikap empati dan memahami penderitaan orang lain. "Mereka perlu diajar tentang memberi kembali kepada masyarakat agar mereka mempunyai tujuan dalam hidup. Melalui kerja sukarela, anak-anak akan sentiasa bersyukur dengan apa yang mereka ada," tambahnya.Antara hasil kerja Maryam yang cukup luar biasa. Sementara itu, Sharifah Sarah memberitahu semua hasil kerja anaknya itu dikongsi menerusi Facebook dan Instagram dan setiap karya dijual pada harga di antara RM100 dan RM5,000 di mana buat masa ini 20 peratus daripada hasil jualan disimpan untuk kegunaan masa depan Maryam. Sharifah Sarah berharap suatu hari nanti anak kesayangan itu mampu menjana pendapatan sendiri melalui hasil seni. Melalui lukisan yang dihasilkan, Maryam menggunakan cat akrilik selain menggunakan pelbagai teknik berbeza seperti lukisan jari, lukisan swab (menggunakan putik kapas), berus dan span. Bakat dan kemahirannya itu turut diasah oleh guru seninya, Nik Nur Izzati Yazid, 31, sejak tiga tahun lalu. Lukisan dihasilkan Maryam menampilkan pelbagai aspek alam seperti langit, pelangi, lautan, bunga dan pepohon dan ia juga memberinya ketenangan dan bentuk komunikasi yang hebat.Maryam cukup tekun ketika melakukan kerja-kerja melukis. "Dalam aspek kreatif, dia pilih semuanya sendiri... Apabila dia gembira, dia banyak bermain dengan warna-warna seperti merah jambu, biru dan kuning. Malah jika moodnya baik, Maryam boleh hasilkan beberapa lukisan hanya dalam tempoh dua jam! "Kami biarkan dia pilih apa yang dia ingin lakukan. Ada masanya kami turut memberinya cabaran dengan memberi contoh lukisan yang lain dan dia gembira untuk melakukannya," katanya. Menguruskan MSAH juga katanya telah menjadi urusan kekeluargaan di mana setiap orang akan memberi bantuan. Dr Khairul katanya akan menguruskan penghantaran manakala dua anaknya yang lain Hamza, 15 dan Faruq, 13, ditugaskan untuk menguruskan akaun media sosial. Maryam juga seronok dan gembira setiap kali melihat gambar dan video mengenainya dimuat naik di laman sosialnya.Doktor di Institut Jantung Negara, Dr Marhisham Che Mood (duduk, kanan) menerima lukisan yang dihasilkan Maryam. "Maryam suka diraikan. Dia sentiasa menunggu peluang sesi bergambar bersama hasil kerjanya dan menceritakan tentang lukisannya. Salah satu meningkatkan perkembangannya adalah dengan meraikan kejayaan dilakukan. Ia memberi keyakinan dan motivasi kepada dirinya," katanya. [Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI] Apa yang diharapkan kini adalah pandemik akan berakhir tidak lama lagi kerana Maryam cukup suka mengikut bapanya untuk menghantar lukisan dibeli pelanggan. "Buat masa sekarang pergerakan terbatas dan lebih banyak menghabiskan masa membaca komen di media sosial. "Kanak-kanak istimewa ini perlukan persekitaran yang positif agar mereka tidak berasa sedih disebabkan melakukan kesilapan atau gagal memahami sesuatu perkara," katanya. Apabila pandemik sudah berakhir, Sharifah Sarah juga berharap dapat mengadakan sebuah pameran untuk Maryam yang bukan sahaja mengumpulkan semua koleksinya tetapi memberi kesedaran bahawa kekurangan bukan tanda seseorang itu gagal melakukan sesuatu. Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!