suria

Penggali kubur terkejut dipilih Tokoh Ma'al Hijrah, tak hadir terima anugerah bimbang sebar wabak - “Setiap hari saya pegang, peluk jenazah”

Ruslee Ali sudah berkhidmat sebagai penggali kubur sejak 11 tahun lalu.

KETIKA dimaklumkan terpilih sebagai penerima Anugerah Khas Ma'al Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan 2021/1443H yang disambut pada 10 Ogos lalu, seorang penggali kubur bagaikan tidak percaya dan terkejut dengan berita itu.

Roslee Ali memberitahu dia tidak pernah menganggap kerjayanya itu mempunyai sebarang kesitimewaan apatah lagi sehingga melayakkannya menerima anugerah berprestij.

ARTIKEL BERKAITAN: Niat yang betul, tidak harapkan pujian... graduan UiTM ini kongsi rahsia berjaya hafaz al-Quran dalam masa 40 hari!

Sepanjang 11 tahun bergelar penggali kubur, Roslee, 63, memberitahu dia bekerja dalam bidang itu semata-mata ingin berbakti kepada masyarakat selain melakukan tuntutan fardu kifayah sebagai seorang Islam.

"Ketika mendapat panggilan diberitahu tentang anugerah yang bakal diterima, saya memang terkejut namun berasa terharu kerana usaha dan sumbangan selama ini mendapat perhatian.

"Rasa tidak percaya pun ada tetapi Alhamdulillah atas penghargaan yang diberikan.

"Sejujurnya ini bukan kemenangan saya seorang tetapi ia mewakili seluruh barisan hadapan seperti Kementerian Kesihatan Malaysia, khariah masjid, sukarelawan, serta semua penggali kubur yang ada... ini adalah kemenangan untuk semua," katanya kepada mStar.

Roslee menerima Anugerah Tokoh Barisan Hadapan iaitu kategori baharu yang diperkenalkan pada tahun ini manakala Anugerah Tokoh Utama Ma'al Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan dianugerahkan kepada Mejar Jeneral Datuk Kamarudin Mamat yang juga mantan Ketua Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT).

Selain Roslee, empat lagi penerima Anugerah Tokoh Ma’al Hijrah 1443H Anugerah Khas turut diberikan kepada Pengarah Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Labuan, Dr Ismuni Bohari menerusi Anugerah Tokoh Barisan Hadapan, Pengarah Urusan Ramly Food Processing Sdn Bhd, Datuk Dr Ramly Mokni (Anugerah Tokoh Korporat).

Dua lagi penerima adalah pengacara dan personaliti televisyen, Ahmad Fedtri Yahya (Anugerah Tokoh Pendakwah Kreatif) dan Pembantu Mubaligh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Nur Maisarah Leong Yoke Keen (Anugerah Tokoh Mualaf).

Bagaimanapun Roslee tidak dapat menghadirkan diri bagi mengambil sendiri anugerah diberikan kerana merasakan dirinya berisiko terhadap orang lain memandangkan dia sering menguruskan jenazah Covid-19 setiap hari.

Sejak pandemik hampir 1,000 jenazah Covid-19 yang kami uruskan di kawasan ini dan tahun ini paling banyak, hampir 20 jenazah setiap hari.

ROSLEE ALI

PENERIMA ANUGERAH TOKOH BARISAN HADAPAN MA'AL HIJRAH 1443H

"Hendak pergi tetapi hari-hari saya terlibat menguruskan jenazah Covid-19, memegang dan memeluk jenazah untuk dikebumikan. Jadi risiko agak tinggi meskipun saya memakai PPE lengkap.

"Jika pergi mengambil anugerah mungkin ada kebarangkalian boleh menyebarkan wabak, jadi lebih baik saya elakkan. Insya Allah ada masa sesuai saya akan mengambil anugerah itu," jelasnya.

Bergelar penggali kubur selepas kematian isteri

Penggali kubur di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah KL-Karak Taman Selaseh semenjak tahun 2011 itu memberitahu penglibatannya dalam bidang itu sebenarnya berlaku secara spontan selepas isterinya, Rosnah Ahmad meninggal dunia.

Ketika pemergian isteri tercinta, Roslee memberitahu dia sendiri membantu menguruskan jenazah isteri sehingga ke liang lahad dan pengalaman itu membuka hatinya untuk meneruskan kerja-kerja pengurusan jenazah.

"Sebelum bergelar penggali kubur saya bekerja sebagai tukang paip namun ketika isteri meninggal dunia akibat komplikasi pelbagai penyakit, Alhamdulillah saya dapat peluang menguruskan pengebumiannya dan ketika itu seperti datang semangat untuk teruskan kerja dalam bidang itu.

"Alhamdulillah sehingga kini saya setia dengan kerja sekarang. Sejujurnya ia bukan mudah tetapi saya sentiasa berasa semangat kerana dapat membantu memudahkan urusan si mati dan ahli keluarga mereka," katanya.

Bercerita lanjut mengenai pengalaman bergelar penggali kubur, Roslee memberitahu sejak pandemik pada Mac tahun lalu, ia adalah tempoh paling sukar sepanjang 11 tahun bekerja dalam bidang itu.

Meskipun tahun lalu tidak banyak jenazah Covid-19 perlu diuruskan namun angka itu mendadak naik sejak awal tahun ini apabila kes kematian meningkat disebabkan wabak berkenaan.

"Sejak pandemik hampir 1,000 jenazah Covid-19 yang kami uruskan di kawasan ini dan tahun ini paling banyak, hampir 20 jenazah setiap hari.

"Ia situasi mencabar kerana tidak mudah menguruskan jenazah dalam suasana perlu memakai PPE dalam cuaca panas namun ia turut menyayat hati dan menginsafkan apatah lagi ahli keluarga tidak dapat memberikan penghormatan terakhir kepada si mati," ujarnya.

Ceritanya lagi, sejak kes kematian naik mendadak, dia bersama beberapa penggali kubur yang lain akan melakukan persediaan lebih awal termasuk menggali 40 liang lahad setiap hari.

Selepas proses menggali kubur selesai, mereka akan memakai memakai peralatan perlindungan diri (PPE) pada pukul 2.30 petang sebelum ketibaan jenazah setengah jam kemudian.

"Proses pengebumian boleh memakan masa selama beberapa jam bergantung kepada jumlah jenazah yang dibawa ke tanah perkuburan setiap hari.

"Meskipun penat dan terpaksa menahan panas memakai PPE namun sebagai seorang Islam saya berasa puas dan gembira dapat membantu menguruskan jenazah apatah lagi dalam situasi sekarang," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain