suria

Seorang demi seorang ahli keluarga meninggal dunia dalam masa 2 tahun, kini siswi UPSI sebatang kara... hati luluh tapi reda ujian Allah!

Siti Najikhah (kanan,belakang) bersama abangnya, Mohd Norhelmi dan ibu bapanya, Md Amin dan Martini.

KEHILANGAN kedua ibu bapa bukan perkara mudah apatah lagi saat seorang anak masih memerlukan belaian kasih sayang dan perhatian daripada mereka.

Ketiadaan mereka juga bermaksud terputus satu keberkatan paling besar dalam hidup seorang anak iaitu doa mereka.

Bagi Siti Najikhah Md Hamin, 22, yang kehilangan kedua ibu bapanya dalam tempoh tujuh bulan cukup memberikan tamparan hebat kepadanya selain hilang tempat bergantung dalam usia masih muda.

ARTIKEL BERKAITAN: Tahniah! Dr. Yeong Chai Hong anak Malaysia pertama rangkul Anugerah Saintis Muda IUPAP

Pada Mac lalu, pelajar semester tujuh Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ini diduga apabila bapanya Md Hamin Taha, 72, menghembuskan nafas terakhir akibat demam panas selepas dua bulan terlantar sakit.

"Bapa mengalami masalah penglihatan sejak empat tahun lepas. Puncanya arwah menghidap demam teruk sehingga penglihatannya kabur, hanya nampak imej bayang-bayang sahaja.

"Kehilangannya memberi tamparan hebat buat kami sekeluarga kerana saya rapat dengan bapa, namun saya reda," katanya.

Bersama cucu.

Md Amin bersama cucu kesayangannya pada sambutan hari raya tahun lalu.

Seperti sudah jatuh ditimpa tangga, belum sempat perasaan sedih hilang, ibunya pula Martini Saleh, 66, meninggal dunia pada 18 Oktober lalu selepas enam hari bertarung nyawa di hospital akibat jangkitan kuman disebabkan penyakit Hepatisis B.

Kehilangan kedua ibu bapa bukan satu-satunya kesedihan yang terpaksa ditanggungnya apabila tahun lalu, abangnya, Mohd Norhelmi Md Hamin terlebih dahulu meninggalkan mereka sekeluarga akibat kanser dan jangkitan kuman pada Ogos.

Sebelum itu, pada April 2020, isteri kepada abangnya, Noor Azlina Mat Isa pergi menghadap illahi disebabkan kanser payudara dan pasangan itu meninggalkan empat cahaya mata yang masih kecil.

"Sebagai adik bongsu, saya melihat dan turut merasai penderitaan yang mereka lalui, apabila sering ikut ulang-alik ke pusat rawatan di ibu kota. Namun, apa yang lebih menyayat hati, mereka meninggalkan empat anak yang masih kecil.

"Dalam tempoh empat bulan, saya kehilangan abang dan kakak ipar, anak-anak ini pula kehilangan ibu dan ayah dan menjadi yatim piatu,” katanya.

Melihatkan seorang demi seorang ahli keluarga saya pergi, saya tahu ini memang ujian yang Allah berikan pada saya.

SITI NAJIKHAH MD HAMIN

Siti Najikhah memberitahu, anak sulung kepada allahyarham Norhelmi, Ifti Inshirah, 15, berstatus orang kelainan upaya (OKU) dan perlu sentiasa dipantau dan diberi pengawasan kerana adakalanya Ifti akan diserang sawan dengan tidak disangka-sangka.

WhatsApp Image 2021-10-26 at 12.40.15 PM

Siti Najikhah (tengah) menerima surat akuan tawaran penerimaan dermasiswa WEZAS UPSI daripada Mohd Izwan

(kiri) di kediamannya, Sekinchan, Selangor.

Penuntut Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dalam Pendidikan Islam itu berkata, selepas pemergian abang dan kakak iparnya, anak-anak saudaranya kini tiada tempat bergantung dan menjadi amanah keluarga Siti Najikhah dan nenek di sebelah ibu mereka.

"Sebagai ibu saudara, sudah pasti saya berasa sedih dengan nasib menimpa mereka apatah lagi salah seorang anak saudara berstatus OKU. Meskipun mereka masih belum faham apa sedang berlaku tetapi kehilangan kedua ibu bapa bukan perkara mudah untuk ditelan.

Mengakui emosinya agak terkesan apabila berhadapan dengan situasi yang agak berat lebih-lebih lagi dalam keadaannya yang tidak mempunyai pendapatan kerana masih menuntut di UPSI, bagaimanapun Siti Najikhah akui reda dengan ketentuan yang tertulis untuknya.

“Sesungguhnya hati saya luluh, tetapi saya akui, saya perlu cekal untuk hadapi cabaran ini. Melihatkan seorang demi seorang ahli keluarga saya pergi, saya tahu ini memang ujian yang Allah berikan pada saya.

"Namun saya tahu, ujian ini saya mampu harungi kerana Dia hanya uji pada hamba-Nya yang mampu hadapinya,” jelasnya.

Sementara itu, atas sifat prihatin terhadap pelajar, UPSI tampil menyampaikan sumbangan kepada Siti Najikhah di kediamannya, Kampung Batu 23 Sungai Nibong, Selangor baru-baru ini.

Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat UPSI, Prof Madya Dr. Mohd Izwan Shahril berkata Pusat Wakaf, Endowment, Zakat, Khairat dan Sedekah (WEZAS) yang ditubuhkan pada 1 Ogos 2020 merupakan salah sebuah inisiatif universiti menyantuni golongan sasaran warganya melalui pelbagai kaedah antaranya bantuan derma siswa, sara hidup, yuran pengajian, bantuan khas Covid-19, bantuan lap top, pemberian data internet serta khairat kematian.

“Melihatkan keadaan pelajar yang hilang tempat bergantung serta tidak mempunyai pendapatan selepas kehilangan ahli keluarga, pihak universiti bermurah hati menyampaikan sumbangan berbentuk derma siswa sebanyak RM1,500 kepada Siti Najikhah sehingga tamat semester dengan harapan dia teruskan pengajian dan mencapai kejayaan cemerlang,” katanya.

Meskipun WEZAS UPSI masih baharu ditubuhkan namun Mohd Izwan memberitahu sebanyak RM3.1 juta berjaya diagihkan kepada 9,000 pelajar dan mempelawa badan korporat yang berhasrat menyumbangkan zakat kepada pusat itu.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain