suria

Dua usahawan burger ‘kerah‘ media sosial bangunkan bisnes ketika pandemik, tular OK tapi tak percaya bad marketing!

Muhammed Naeem dan Mohd Kosim (kanan) berjaya memajukan perniagaan ketika pandemik.

PEMASARAN digital kini dilihat sebagai kaedah paling efektif untuk memasarkan produk mahupun perkhidmatan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) khususnya ketika negara sedang beralih ke fasa endemik.

Teknologi digital ini juga telah membuka peluang perniagaan kepada sesiapa dan di mana sahaja.

ARTIKEL BERKAITAN: Pengasas Habib pernah bekerja di kantin, lalui banyak liku sebelum menjadi jenama terkenal di Malaysia

Bagi usahawan Smashed Burger dan BurgerBoy yang tular di media sosial sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini, mereka menggunakan platform itu dalam mempromosikan produk sebagai usaha mencapai lebih banyak pelanggan.

Pemilik Smashed Burger, Muhammed Naeem Md Nassir telah tular di media sosial tahun lalu berikutan latar belakangnya sebelum ini yang merupakan seorang juruterbang profesional, tetapi terjun ke dunia perniagaan burger jalanan disebabkan pandemik.

Muhammed Naeem berkata, pada zaman sekarang untuk melakukan pemasaran tular di media sosial amat mudah kerana pelbagai platform boleh dimanfaatkan, namun untuk berjaya dan memberi impak yang berkesan, PKS perlu mempunyai kandungan yang menarik dan unik.

Muhammed Naeem Md Nassir  2

Mohammed Naeem bersama pelanggan yang singgah membeli burger jualannya.

“Kita perlu tahu apa keunikan dan kelebihan yang kita ada berbanding perniagaan yang sama di pasaran. Kandungan boleh hadir dalam bentuk cerita kita sendiri atau cerita keunikan produk yang kita jual.

“Selain latar belakang saya yang unik, saya juga mengetengahkan burger bercita rasakan negara Oman. Saya tidak sangka hantaran pertama saya di Instagram menjadi tular selepas dikongsi oleh seorang selebriti di Twitter,” katanya yang kini beroperasi Bukit Jelutong, Selangor.

Sementara itu, pemilik BurgerBoy, Mohd Kosim Ismail berkata, pada asalnya dia hanya berniat untuk bersedekah 150 burger percuma setiap hari kepada orang ramai serta barisan hadapan dan tidak sangka ia telah menjadi tular di media sosial.

“Sebenarnya perniagaan saya terjejas teruk semasa PKP dan terpaksa mengambil inisiatif untuk menjalankan operasi di dalam rumah dan menggunakan media sosial sebagai platform pemasaran.

“Ketika itu saya mula teringat pesan ayah yang menggalakkan bersedekah untuk memurahkan rezeki kita. Oleh itu, saya buat kempen burger percuma berkenaan dan ia telah mendapat perhatian orang ramai,” jelas Mohd Kosim.

Kita perlu tahu apa keunikan dan kelebihan yang kita ada berbanding perniagaan yang sama di pasaran.

MUHAMMED NAEEM MD NASSIR

PEMILIK SMASHED BURGER

Mohd Kosim juga telah memperkenalkan inisiatif untuk menyediakan ruang penjualan produk kepada 30 orang usahawan kecil di lokasi perniagaannya secara percuma dengan tujuan membantu mereka untuk terus bertahan sepanjang tempoh yang mencabar ketika ini.

Mohd Kosim dan Muhammad Naeem berkongsi pengalaman mereka menerusi program #SayaDigital menerusi siaran langsung di Facebook Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) baru-baru ini.

Dalam sesi perkongsian berkenaan kedua-dua usahawan ini bersetuju bahawa pembangunan kandungan perlu berkonsepkan pemasaran baik (good marketing) dan bukannya pemasaran negatif (bad marketing) kerana ia akan menggambarkan kualiti perkhidmatan dan produk sesebuah jenama itu serta memberi impak kurang baik kepada jenama untuk jangka masa pajang.

Sementara itu, berdasarkan pengalamannya sebelum ini, Muhammed Naeem turut menekankan bahawa PKS perlu menilai operasi semasa dan membuat persediaan awal sebelum merancang untuk melakukan pemasaran tular.

Mohd Kosim Ismail 3

Mohd Kosim tidak percaya pada bad marketing untuk memperkenalkan perniagaan.

“Jika berjaya, pemasaran tular akan memberi impak yang cukup besar dan kita akan dapat melihat gelombang besar kehadiran pelanggan dalam masa yang singkat. Walaupun perkara ini baik, jika kita tidak bersedia, ia akan menjadi masalah besar kepada kita.

“Apabila permintaan meningkat dengan mendadak, kita akan berdepan dengan cabaran untuk mengekalkan kualiti perkhidmatan dan produk seperti sebelum ini. Kegagalan menanganinya akan menyebabkan kita kehilangan pelanggan setia,” jelasnya.

Secara keseluruhan, impak pemasaran tular telah membantu meningkatkan jualan dan kapasiti pengeluaran Smashed Burger dan BurgerBoy, dan ini boleh dijadikan contoh kepada PKS yang lain untuk memanfaatkan kelebihan teknologi digital sepenuhnya dan ia perlu dilakukan sekarang.

PKS perlu proaktif dalam menimba pengetahuan dan kemahiran digital sama ada secara formal atau pun menerusi pelbagai saluran percuma seperti yang ditawarkan dalam Kelas Mingguan #SayaDigital anjuran MDEC, selaras dengan konsep Keluarga Malaysia iaitu untuk memulihkan dan meningkatkan ekonomi rakyat secara inklusif.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain