suria

Pemergian Putra Aziz tamparan hebat buat Cosry... selepas 3 bulan memencil diri, Ariff Quasry kini bangkit tunaikan amanat arwah

Ariff Quasry akan meneruskan legasi Cosry yang ditinggalkan Putra Aziz.

BERITA pemergian pereka fesyen, Putra Aziz yang terkenal menerusi jenama Cosry pada 30 Disember tahun lalu cukup mengejutkan dunia fesyen tempatan.

Paling terkesan adalah rakan perniagaannya, Ariff Quasry Md Nor yang bersama-sama dengan Allahyarham membangunkan Cosry sejak 2004 sehingga menjadi antara jenama terkenal dan berpengaruh di Malaysia.

ARTIKEL BERKAITAN: Bisnes stabil hancur sekelip mata! Usahawan tak sangka mampu bangkit selepas tersungkur, lebih maju selepas nampak hikmah pandemik

ARTIKEL BERKAITAN: Sanggup bantu pesakit Covid-19 sampai ke rumah, pengasas klinik bangga dapat berbakti kepada masyarakat

Bermula secara kecil-kecilan dengan menawarkan perkhidmatan menjahit dari rumah ke rumah, sehinggalah pasangan duo itu diberi kepercayaan menghasilkan busana untuk golongan selebriti tempatan dan antarabangsa.

Siapa boleh lupa dengan gaun pengantin milik pelakon Anzalna Nasir yang direka khas oleh Putra Aziz pada 2016 yang terus menjadi bualan sehingga ke hari ini.

Cosry juga pernah diberi tanggungjawab mengemudi majlis perkahwinan Angkasawan Negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha dan Datin Dr Halina Mohd Yunos, selain pernah menghasilkan pakaian untuk Datuk Sheila Majid, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datin Lisa Surihani, Erra Fazira dan ramai lagi.

Putra Aziz

Putra Aziz meninggal dunia pada 30 Disember tahun lalu.

Malah pelakon terkenal Hollywood Nicole Kidman turut pernah menggayakan busana rekaan Cosry di salah sebuah acara karpet merah pada 2016.

Kehilangan Putra Aziz tamparan hebat buat rakan perniagaan

Sudah tentu pemergian Putra Aziz pada usia 45 tahun turut memberi tamparan hebat kepada rakan perniagaannya, Ariff Quasry yang menyifatkan Allahyarham sebagai tulang belakangnya yang tidak boleh dicari ganti.

Bercakap kepada mStar, Ariff Quasry berkata, sebelum arwah meninggal dunia, beliau ada berpesan kepadanya agar meneruskan perniagaan mereka termasuk merealisasikan impian untuk melebarkan jenama Cosry ke peringkat antarabangsa.

"Sebelum Allahyarham meninggal memang kami sudah buat beberapa perancangan termasuk meluaskan jenama Cosry ke luar negara, namun pandemik telah membantutkan hasrat itu.

"Tetapi Allah lebih sayangkannya dan pesanan itu tetap akan saya lunaskan kerana itu adalah permintaannya yang terakhir," katanya.

Sebelum arwah meninggal dunia, beliau sempat menyiapkan lakaran dan beberapa rekaan untuk koleksi hari raya tahun ini.

ARIFF QUASRY MD NOR

KETUA PERNIAGAAN & OPERASI COSRY

Berkongsi lanjut mengenai kehilangan sahabatnya itu, Ariff Quasry memberitahu ia bukan perkara mudah buatnya malah hampir tiga bulan dia memencilkan diri dan cuba mengumpul semangat untuk kembali bangkit meneruskan legasi ditinggalkan.

"Arwah pernah pesan pada saya, jika sesuatu berlaku padanya, teruskan Cosry tanpa ada pengganti dirinya kerana tidak mahu merosakkan Cosry dan tiada siapa faham tentang 'DNA' kami.

"Jadi saya akan teruskan legasi ini seorang diri dan akan memastikan jenama Cosry terus maju di masa hadapan," jelasnya.

Akan tetapi, perkara itu bukan sesuatu yang mudah buat Ariff Quasry kerana sebelum ini dia sudah terbiasa berdiri di belakang tabir dan menjauhi daripada sebarang perhatian.

Namun katanya dia perlu bangkit dan melakukan sehabis baik bagi memastikan semua pesanan Allahyarham dapat dilaksanakan sebaik-baiknya.

file6zkujmn85uoex278gm8

Gaun pengantin Anzalna antara yang menaikkan nama Cosry.

Ariff Quasry juga sudah bersedia untuk menjadi wajah hadapan jenama itu demi merealisasikan semua impian yang belum terlaksana.

"Saya memang akan all out, jika dulu hanya di belakang tetapi sekarang perlu tampil ke depan.

"Jujur ia bukan tugas mudah kerana selain ketiadaan tulang belakang, kini saya perlu lakukan semua perkara sendiri tetapi itu adalah cabaran untuk saya," katanya.

Kemunculan semula Cosry

Atas dasar itu juga kata Ariff Quasry, Cosry akan membuat kemunculan semula menerusi acara Bazar Siberturahim Fashion Fest yang akan diadakan di Sime Darby Convention Centre, Kuala Lumpur bermula 3 Mac hingga 6 Mac 2022.

Ariff Quasry berkata, acara anjuran CIMB itu bertujuan untuk meraikan semangat lebaran dengan penuh gaya dengan menghubungkan ‘fashion hunters’, peminat dan pereka fesyen, di samping memberi sokongan untuk menghidupkan semula industri fesyen tempatan.

Ariff

Ariff Quasry komited untuk meneruskan perjuangan Cosry.

Menyifatkan acara itu medium terbaik memperkenalkan kembali Cosry kepada pelanggan, Ariff Quasry memberitahu pada program itu nanti pihaknya akan tampil dengan dua koleksi ready to wear dan batik yang juga kerjasama dengan label baharu, Ruzz Gahara.

Paling menarik, kedua-dua koleksi itu mempunyai sentuhan terakhir Putra Aziz menerusi beberapa rekaan yang sempat disiapkan arwah sebelum meninggal dunia.

"Sebelum arwah meninggal dunia, beliau sempat menyiapkan lakaran dan beberapa rekaan untuk koleksi hari raya tahun ini.

"Jadi saya mengambil keputusan untuk merealisasikan konsep dan rekaan yang sudah disiapkan dalam dua koleksi hari raya tahun ini iaitu ready to wear dan make to measure," katanya.

Tidak hanya itu, Ariff Quasry juga memberitahu kolaborasi bersama Ruzz Gahara iaitu pembuat batik yang sedang meningkat naik cukup dinanti-nantikan kerana rekaan ditampilkan label itu unik dan menarik.

Cosry Ready to Wear

Antara koleksi ready to wear bersempena hari raya yang mendapat sentuhan terakhir Putra Aziz.

Menjadi hasratnya untuk kembali mempopularkan penggunaan batik sebagai busana hari raya pada tahun ini.

"Koleksi batik tiada yang ready to wear sebaliknya perlu ditempah kerana ia sangat eksklusif dan tidak boleh didapati di mana-mana," katanya.

Pada acara itu juga, turut diadakan siri pertunjukan fesyen yang menampilkan koleksi raya sedia dipakai daripada jenama-jenama terkenal di Malaysia.

Pengunjung juga akan mendapat pengalaman beli belah istimewa dengan lebih 20 pereka fesyen dan jenama gaya hidup tempatan seperti Datuk Radzuan Radziwill, Amaze, Anuar Faizal, Bahari Asyek, 3thelabel, Pink Jambu, Sri Candy, Wan & Mary dan banyak lagi.

Tujuan utama CIMB mengadakan program ini adalah sebagai salah satu penggerak dalam menyokong perniagaan tempatan dan PKS, termasuk industri fesyen, yang kini bermula beransur pulih ekoran pandemik.

Putra Ariff

Putra Aziz dan Ariff Quasry sama-sama membangunkan jenama Cosry sejak 2004.

Latih dua pereka fesyen baharu teruskan legasi Putra Aziz

Dalam perkembangan lain, Ariff Quasry berkata, selain sudah merangka beberapa perancangan untuk mengukuhkan lagi jenama Cosry, pihaknya juga sedang giat melatih dua anak didik Allahyarham dalam usaha meneruskan legasi ditinggalkan.

Ariff Quasry berkata, dua pereka fesyen dari Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKBN) itu cukup berbakat besar dan mempunyai potensi untuk diketengahkan.

"Sebelum ini arwah sempat mendidik dua pereka fesyen muda yang bekerja dengannya tetapi ilmu disampaikan mungkin baru fasa dua.

"Menjadi tanggungjawab saya kini untuk teruskan didikan itu kerana mereka berdua cukup berpotensi cuma perlu tanamkan dalam diri mereka tentang DNA Cosry.

"Malah mereka juga turut membantu dari segi konsep dan idea untuk koleksi ready to wear hari raya tahun ini," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain