suria

Isu pemanasan global bawa Dr Sharifah Mazlina ke Antartika lagi... kali ini bersama protege lelaki berusia 20 tahun!

Dr Sharifah Mazlina bersama protegenya, Muhammad Khairul Akmal Adam.

JIKA bercakap mengenai kembara ke Antartika, kita pasti akan teringat kepada Dr Sharifah Mazlina Syed Abdu Kadir yang pernah menjejakkan kaki ke benua itu sejauh 1,127 kilometer dari Kutub Selatan ke Patriot Hill pada 2004.

Sejak itu, Sharifah Mazlina tidak pernah menoleh ke belakang lagi dan terus bersemangat melakukan beberapa ekspedisi dalam usaha melengkapkan gelaran polar explorer iaitu dengan melakukan misi ke Kutub Utara pada 2007 dan Greendland pada 2011.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda ini bakal daki Gunung Everest, mahu jadi OKU pertama negara kibar Jalur Gemilang di puncak

Namun tiada pelapis atau penggantinya baik dalam kalangan kaum wanita yang ingin mengikut jejak langkahnya sehinggalah Sharifah Mazlina mengambil inisiatif untuk mencari protege dengan mewujudkan badan bukan kerajaan (NGO), All Women Empowerment to Accelerate (AWETA).

Hasilnya, pada 2019, tiga protege wanita dipilih melakukan ekspedisi bersamanya merentasi Antartika pada jarak 110 kilometer atau The Last Degree to South Pole.

Sharifah 2

Dr Sharifah Mazlina ada misi baharu ke Antartika.

"Kami menjelajah ke seluruh Malaysia bagi mencari calon protege yang sesuai dan Alhamdulillah sebenarnya ramai berminat dengan ekspedisi mencabar seperti ini.

"Ketika itu, AWETA adalah NGO pertama di dunia yang berjaya membawa protege ke Antartika dan kami telah mendapat perhatian cukup baik dalam kalangan penggembara di sana termasuk seorang tokoh dunia iaitu Sir Robert Swan.

"Malah beliau turut menggembara bersama kami di Antartika ketika itu merentasi The Last Degree," imbaunya kepada mStar.

Misi Climate Force 2041

Selepas dua tahun berehat daripada sebarang ekspedisi disebabkan pandemik Covid-19, Sharifah mendedahkan dia bakal sekali lagi berkunjung ke Antartika bersama Robert namun dengan misi berbeza.

Beritahu Sharifah Mazlina, dia bersama seorang protege dijemput untuk menyertai Misi Pemanasan Global atau Climate Force 2041 yang berlangsung pada 17 Mac hingga 29 Mac ini.

Pelayaran ini penting untuk memberi kesedaran tentang pemanasan global yang semua perlu ambil serius dan melakukan persiapan rapi berdepan suasana ancaman pemanasan global.

DR SHARIFAH MAZLINA SYED ABDUL KADIR

"Dalam pelayaran kali ini, ia lebih menjurus kepada misi pelayaran ilmiah yang berkisarkan tentang program kepimpinan tahap tertinggi selama 12 hari.

"Setiap hari kami akan turun ke persisiran pantai Antartika untuk melihat sendiri kesan pemanasan global yang begitu agresif dan apa mencari solusi untuk mempertahankan benua Antartika dari terus mencair yang seterusnya menjadi bencana kepada seluruh dunia pada masa hadapan," ujarnya.

Pelayaran itu kata Sharifah Mazlina akan disertai oleh 230 peserta dari seluruh dunia daripada 91 negara sebagai suara bersama dunia dalam memberi kesedaran tentng pemanasan global.

Perkenalkan protege lelaki pertama ke Antartika

Sementara itu, Sharifah Mazlina mendedahkan pada ekspedisi kali ini, buat pertama kalinya dia mengambil keputusan membawa seorang protege lelaki iaitu pelajar Diploma Media Kreatif, Universiti Multimedia Malaysia (MMU) iaitu Muhammad Khairul Akmal Adam, 20.

Kahirul 1

Muhammad Khairul Akmal sudah bersedia untuk ke Antartika.

Jelas Sharifah Mazlina, meskipun AWETA mengangkat 'women empowerment' tetapi pihaknya tidak pernah mengabaikan kebajikan khususnya untuk golongan belia lelaki.

Jelas Sharifah Mazlina lagi, Muhammad Khairul Akmal menepati ciri-ciri yang dicari iaitu latar belakang pendidikan dan seorang yang dalam kategori 'zero to hero'.

"Jika diikutkan Khairul memang tiada pengalaman luas dalam dunia ekspedisi apatah lagi ke benua Antartika tetapi daripada zero kami latih dan bentuknya menjadi seorang hero dalam tempoh empat bulan!

"Saya menggunakan formula motivasi yang saya cipta iaitu MEPS Concept dan Alhamdulillah dalam tempoh singkat dapat mempersiapkan dirinya sebelum berangkat tidak lama lagi," katanya.

86498751_3226024497425840_6849613878020538368_n

Kali terakhir Dr Sharifah ke Antartika adalah pada 2019 bersama tiga protegenya.

Dalam pada itu, Muhammad Khairul Akmal pula memberitahu sepanjang tempoh latihan dia berjaya menaikkan berat badannya dari kandungan lemak hanya satu peratus kepada 15 peratus.

Ini termasuk menaikkan berat badannya sebanyak 12 kilogram daripada 49 kilogram dengan pertumbuhan otot yang sangat baik.

"Sebelum ini saya seorang yang sangat kurus dan menerusi persediaan ke Antartika saya perlu menaikkan berat badan bagi membolehkan saya bertahan dengan cuaca luar biasa sejuk di sana.

"Alhamdulillah pelbagai perkara saya belajar dalam tempoh singkat ini termasuk persediaan ilmu tentang pemanasan global selain menyiapkan kertas projek yang bakal saya bentangkan dalam pelayaran itu nanti," ujarnya.

Sharifah 1

Dr Sharifah yakin dengan kewibawaan Muhammad Khairul Akmal untuk ke Antartika.

Bercakap mengenai perasaannya terpilih sebagai protege, Muhammad Khairul Akmal memberitahu dia tidak menyangka dalam banyak-banyak calon dirinya menjadi pilihan.

Namun melihat pemilihannya ini sebagai satu tanggungjawab besar dalam mendapatkan maklumat, membuat pemerhatian dan mendokumentasikan keadaan di sana agar dapat dikongsi dengan masyarakat Malaysia apabila pulang nanti.

"Perasaan memang teruja kerana bukan semua orang ada peluang ke Antartika tetapi ini bukan sekadar soal ke sana tetapi apa saya boleh sumbangkan kepada negara dan dunia dalam menghentikan pemanasan global.

"Menerusi misi ini saya mahu kumpul maklumat dan pemahaman tentang apa yang sedang berlaku dan berharap dapat berkongsi semua ilmu yang saya kutip dengan masyarakat Malaysia," kata anak kedua daripada enam beradik ini.

Khairul dan ibu New

Pemergian ke Antartika turut mendapat restu dan sokongan ibu, Dr Zuraini Md Isa.

Lebih membuatkan dia bersemangat, restu ibunya, Dr Zuraini Md Isa yang cukup menyokong keputusannya untuk menyertai pelayaran itu bersama Sharifah Mazlina.

"Ibu adalah penyokong paling hebat dan sentiasa memberi kata-kata semangat agar teruskan dengan misi ini apatah lagi ini peluang sekali seumur hidup.

"Kekuatan ibulah mendorong saya tampil yakin dan bersedia untuk menjelajah Antartika nanti," katanya.

Buka mata masyarakat mengenai isu pemanasan global

Dalam perkembangan sama, Sharifah Mazlina berkata, ekspedisi itu nanti diharap dapat membuka mata masyarakat dunia dan Malaysia tentang kemusnahan yang sedang berlaku dan berharap dapat mencari solusi dalam melambatkan proses pencairan air batu di Antartika.

52134313_2474627405898890_1252368934020055040_n

Cuaca menjadi cabaran utama misi ke sana.

Bagi tujuan itu, beliau dan Muhammad Khairul Akmal akan membuat seberapa banyak rakaman gambar dan video sepanjang pelayaran untuk dikongsi bersama rakyat Malaysia dan dunia tentang kesan pemanasan global yang semakin meruncing ketika ini.

"Keadaan yang sedang berlaku di Antartika akan dirasai di seluruh dunia seperti paras air laut naik mendadak malah boleh menenggelamkan sesebuah negara dan kepulauan yang rendah dari paras laut.

"Kesan pemanasan global ini juga penyebab kepada pelbagai bencana alam, tsunami, tanah runtuh, tanah mendap, lapisan ozon semakin mengoyak yang membolehkan pancaran UV menembus ke bumi dan sebagainya.

"Jadi pelayaran ini penting untuk memberi kesedaran tentang pemanasan global yang semua perlu ambil serius dan melakukan persiapan rapi berdepan suasana ancaman pemanasan global," katanya.

Atas dasar itu juga kata Sharifah Mazlina, sekembalinya mereka ke tanah air nanti, pelbagai projek sudah dirangka termasuk road tour ke seluruh Malaysia untuk berkongsi pengalaman dan melakukan kempen pemanasan global bersama rakyat Malaysia.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain