suria

Terlalu minat berniaga sejak kecil, bekas pramugari tawar servis facial RM1... kini bergelar usahawan, rangkul 3 anugerah berprestij

Daripada seorang pramugari, Ferra Ibrahim kini bergelar usahawan berjaya dan menerima pelbagai anugerah.

SEJAK berusia tujuh tahun, wanita ini sudah menunjukkan bakat dalam dunia perniagaan dan pernah menjual pelbagai barang kepada rakan-rakannya.

Farah Nadhirah Ibrahim, 30, berkata, apa dilakukan itu bukan sahaja kerana ingin mencari duit poket tetapi memang minat berniaga.

ARTIKEL BERKAITAN: Bisnes stabil hancur sekelip mata! Usahawan tak sangka mampu bangkit selepas tersungkur, lebih maju selepas nampak hikmah pandemik

"Masa itu saya dan kawan baik sepakat hendak berniaga... Macam-macam kami jual termasuk gelang, baju malah menawarkan perkhidmatan 'facial' di rumah dengan harga RM1!

"Lucunya yang jadi pelanggan pun dalam kalangan kawan-kawan. Demi memudahkan mereka yang nak mencuba perkhidmatan itu, saya sampai lukis peta untuk memudahkan pelanggan datang ke rumah," katanya yang mengimbau zaman kanak-kanaknya.

Tetapi itu kisah dulu kerana kini Farah atau lebih dikenali sebagai Ferra Ibrahim berjaya merealisasikan impiannya sebagai seorang usahawan dan tampil dengan produk penjagaan rambut, kulit dan kuku iaitu Le'HairBoss.

Ferra 2

Minat berniaga sejak kecil telah membuatkan Ferra bulat hati ingin bergelar seorang usahawan.

Malah semangat, dedikasi dan kerja kerasnya turut mendapat pengiktirafan sebagai salah seorang penerima anugerah Malaysia Prestigious Industry Award (MYPIA) 2021 baru-baru ini.

Ferra diangkat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Muda dalam Industri Kecantikan dan Kesihatan menerusi anugerah anjuran Malaysia Organisation of Company Director (MOCAD) yang mengiktiraf individu termasuk organisasi memangkin ekonomi negara.

Graduan Sarjana Muda Keselamatan dan Kesihatan Pekerja di Universiti Cyberjaya (UoC) dan Diploma Rambut dan Rekaan di Universiti Lim Kok Wing itu menganggap anugerah ketiga diterimanya itu sebagai pembakar semangat.

"Saya berniaga bukan semata-mata nak jadi kaya tetapi percaya rezeki itu perlu dikongsi dan mahu melihat lebih ramai wanita menjana pendapatan apatah lagi dalam suasana pandemik ketika ini.

"Saya tidak mahu melihat wanita daripada pelbagai latar belakang hanya berpeluk tubuh dan mengharapkan wang daripada suami... Mereka perlu buat sesuatu dalam memperbaiki ekonomi keluarga," ujarnya.

Ferra 3

Perniagaan yang dimulakan sejak dua tahun lalu kini semakin maju dan dikenali ramai.

Dalam pada itu, Ferra memberitahu kejayaannya hari ini tidak datang bergolek sebaliknya pernah melalui pelbagai cabaran dan rintangan dalam dunia perniagaan.

Meskipun bercita-cita bergelar seorang usahawan sejak kecil tetapi ia tidak datang dengan mudah sebaliknya anak kelahiran Selangor ini pernah bergelar pramugari AirAsia pada usia 19 tahun.

Selepas beberapa tahun bersama syarikat penerbangan tambang murah itu, Ferra menyertai Malaysia Airlines Berhad dan pada masa sama menyambung pengajian di Universiti Cyberjaya.

"Saya mengambil keputusan meninggalkan kerjaya sebagai pramugari selepas berkahwin dan menjadi suri rumah sepenuh masa.

"Sudah ketentuan Allah, jodoh saya dan bekas suami tidak panjang dan kami bercerai pada 2017 dan sejak itu saya buat macam-macam bisnes sebelum kembali bergelar seorang pramugari bersama Malindo pada 2019," katanya.

Suami percaya kebolehan, keinginan dan semangat saya dalam dunia perniagaan malah dia juga memberi modal untuk saya mulakan perniagaan baharu pada Januari 2020.

FARAH NADHIRAH IBRAHIM

PENGASAS LE'HAIRBOSS

Ferra berkata, dia menceburi pelbagai bidang perniagaan termasuk bisnes berkaitan tekstil dan dari situ banyak belajar selok-belok menguruskan perniagaan namun memilih kembali bekerja sebagai pramugari disebabkan komitmen yang tinggi.

Sudah tertulis jodohnya, Ferra memberitahu dia bertemu jodoh dengan suami, Raja Ahmad Nazir Raja Ahmad Murad yang juga seorang ahli perniagaan selepas dua tahun bercerai dan menyifatkan lelaki itu sebagai tonggak kekuatannya mengorak langkah sebagai usahawan.

"Suami percaya kebolehan, keinginan dan semangat saya dalam dunia perniagaan malah dia juga memberi modal untuk saya mulakan perniagaan baharu pada Januari 2020.

"Alhamdulillah berkat sokongan dan doa seorang suami, dalam tempoh beberapa bulan ia dilancarkan, perniagaan melonjak naik dan selepas itu saya beranikan diri mengeluarkan lebih banyak produk seperti syampu, tonik dan perapi," katanya.

Tidak hanya berharap kepada modal diberikan suami, Ferra berkata, dia mengambil masa setahun untuk melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi memastikan setiap produk dikeluarkan selamat dan mampu memberi manfaat kepada pengguna.

Ferra dan suami

Dorongan suami tercinta membuatkan Ferra lebih bersemangat untuk lebih berjaya dalam perniagaan.

Kini selepas dua tahun, Ferra memberitahu dia gembira melihat perniagaannya semakin berkembang dan paling penting melihat stokisnya mula meraih pendapatan lumayan.

Malah dedahnya, ada salah seorang stokisnya yang sebelum ini hanya berpendapatan RM1,500 sebulan untuk tempoh tujuh tahun kini mampu membeli stok mencecah RM10,000 sebulan.

"Inilah yang saya harapkan, perniagaan ini mampu membantu orang lain menambah pendapatan. Alhamdulillah kini saya ada lapan ketua stokis di Malaysia, Brunei dan Singapura.

"Ikutkan jenama ini lebih dikenali sebagai HairBoss sampai orang lupa nama rasminya, Le'HairBoss. Tapi tidak mengapa, janji orang tahu dan sedar kewujudannya dalam pasaran.

"InsyaAllah tahun ini juga saya mahu 'all out' menghasilkan produk dan jenama baru. Tak lupa menjalinkan kolaborasi serta membawa jenama dimiliki ke peringkat antarabangsa," katanya.

Sebelum ini, Ferra turut pernah menerima anugerah Promising Hair Care Brand Of The Year 2021 daripada Niagatimes dan disenaraikan sebagai Successful Young People In Malaysia daripada Britishpedia Media.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain