suria

140 ahli keluarga bergelar doktor, 5 generasi sanggup belajar medik termasuk menantu! Senang nak buka hospital

Sebahagian keluarga Sabharwal yang bergelar doktor. foto keluarga Sabharwal

BUKAN iklan untuk hospital yang baru dibuka, sebaliknya adalah kisah benar mengenai keluarga Sabharwal Delhi di India.

Siapa sangka selama lima generasi, setiap ahli keluarga ini menjadi doktor.

"Semuanya bermula dengan moyang saya, Lala Jeevanmal Sabharwal, yang merupakan master stesen di Lahore. Suatu hari selepas dia mendengar Gandhi ji bercakap tentang kesihatan dan pendidikan, dia memutuskan untuk membina sebuah hospital.

"Dia kemudian bertegas supaya keempat-empat anak lelakinya belajar dalam bidang perubatan," kata pakar bedah, Dr Ravindar Sabharwal, 71.

Begitulah lahirnya doktor pertama dalam keluarga itu, Dr Bodhraj, pada 1919.

Dr Ravindar berkata, Dr Bodhraj kemudian memutuskan bahawa setiap generasi berikutnya perlu belajar dalam bidang perubatan.

"Dan setiap anak lelaki perlu berkahwin dengan doktor," tambah Dr Ravindar.

keluarga doktor 2

Seramai 140 doktor dalam lima generasi keluarga Sabharwal.

Keluarga itu kemudian berpindah ke Delhi dan membuka lima lagi hospital, masing-masing membawa nama keluarga, Jeevan.

"Sudah tentu ada pemberontakan. Ada yang enggan jadi doktor, yang lain mahu berkahwin dengan bukan doktor.

"Mesyuarat kecemasan keluarga dibuat, panggilan telefon bertalu-talu. Tapi akhirnya semua orang mencapai kata sepakat," kata Dr Sudarshana, 68, pakar sakit puan dan juga isteri Dr Ravindar.

Sudah tentu ada pemberontakan. Ada yang enggan jadi doktor, yang lain mahu berkahwin dengan bukan doktor.

DR SUDARSHANA

Seorang anak lelaki yang berkahwin dengan ahli biokimia akhirnya 'mengalah' apabila isterinya memutuskan untuk belajar perubatan selepas beberapa tahun berumah tangga.

"Dia mungkin muak dengan orang bertanya mengapa dia bukan doktor," ujar Dr Sheetal, 30, secara berseloroh.

ARTIKEL BERKAITAN: 16 ahli keluarga bergelar frontliners, doktor ini tegur sikap alpa dan pentingkan diri masyarakat - "Kalian dah penat, kami dah penat... semua tak daya"

Dr Sheetal juga merupakan pakar sakit puan dan menantu generasi ke-4 dalam keluarga itu.

Dalam pada itu, ada juga kisah lain. Semasa Dr Bodhraj masih hidup, terdapat satu ritual untuk memohon restunya apabila sesiapa berjaya mencapai tahun keempat dalam sekolah perubatan. Sebagai ganjaran, dia akan menghadiahkan mereka dengan stetoskop baharu.

"Dia terlalu mahu menjadikan kami sebagai doktor. Dia akan membuatkan kami berlatih memberi suntikan pada pokok pisang," imbas Dr Vikesh, pakar mata berusia 55 tahun.

keluarga doktor freepik senivpetro

Selain anak, menantu juga bergelar doktor. -gambar hiasan / foto Freepik / Senivpetro

Bagi anak-anak saudara Sabharwal, hampir setiap kali perbualan di meja makan adalah mengenai hal berkaitan hospital.

"Saya masih ingat melakukan tugasan di dalam dewan bedah. Kami akan berlari untuk melihat mangsa kemalangan," kata Dr Shinoo Rana, 39.

Satu lagi perkara yang menarik mengenai keluarga ini ialah anak-anak tidak dinamakan mengikut astrologi.

Sebaliknya, merit nama bergantung pada bagaimana ia akan mempengaruhi kanak-kanak di sekolah perubatan.

"Saya dan abang-abang dinamakan dengan huruf V. Tetapi di sekolah perubatan, ia bermakna berada di bahagian bawah apabila nama dipanggil.

"Setiap kali kami perlu pergi ke peperiksaan lisan, guru akan kepenatan apabila nama kami dipanggil. Jadi saya memutuskan untuk menamakan anak lelaki saya bermula dengan huruf A dan yang lain mengikutnya," kata pakar bedah, Dr Vinay Sabharwal, 56.

Persoalannya, adakah generasi keenam akan mengikut tradisi yang kekal selama 90 tahun ini? Ibu bapa mereka nampaknya tidak begitu pasti. - Hindustan Times

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain