suria

Jadi buruan jenama kereta mewah, siapakah Alex Hirschi hingga diberi gelaran Supercar Blondie?

Alex dikenali sebagai Supercar Blondie kerana minatnya terhadap kereta mewah.

SIAPA kata wanita hanya tahu memandu dan tidak mempunyai pengetahuan dalam bidang automotif?

Alexandra Mary 'Alex' Hirschi membuktikan tanggapan tersebut tidak tepat sama sekali.

Alex Hirschi, 37, merupakan seorang pempengaruh media sosial dari Australia, di mana dia terkenal dengan nama jolokan Supercar Blondie kerana menjadi buruan pengeluar kereta mewah.

Minat wanita ini terhadap kereta sememangnya bermula ketika zaman kanak-kanak lagi.

Alex pertama kali mula belajar memandu ketika berusia 11 tahun menggunakan kereta Toyota Hilux dan mendapat lesen ketika berusia 17 tahun.

Graduan jurusan Kewartawanan dan Perniagaan dari Queensland University of Technology (QUT) ini memulakan kerjayanya dalam bidang penyiaran iaitu sebagai penyampai televisyen dan radio (DJ).

alex 1

Dia mengembangkan kerjayanya ke Dubai selepas berkahwin dengan Nik Hirschi.

Dari dunia penyiaran ke Supercar Blondie

Semasa bekerja untuk Radio Network, Alex dikenali sebagai 'Radio Blondie'.

Memandangkan Alex satu-satunya peminat fanatik kereta di pejabatnya, pada Januari 2015, dia mendapat peluang untuk bekerja dengan Bentley di radio untuk Bentley Continental GT.

Tugas Alex memerlukannya menghadiri acara, memandu kereta dan membuat ulasan di radio.

Sebagai tanda penghargaan, Bentley Motors menawarkannya sebuah kereta Bentley Flying Spur dan ia ibarat pucuk dicita ulam mendatang.

Bermula daripada situ, Alex aktif membuat kandungan di media sosial sebagai Supercar Blondie di samping pekerjaan sepenuh masanya.

alex 2

Akhirnya, Alex berhenti kerja sebagai penyampai radio pada Mac 2017 dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada kerjaya media sosialnya.

Pada mulanya, Alex terpaksa bekerja keras untuk membina jalinan hubungan dengan jenama kereta mewah.

Usaha kerasnya membuahkan hasil apabila dia diberi kepercayaan jenama popular seperti Ferrari, McLaren dan lain-lain untuk memandu kereta mereka.

Sehingga kini dia mempunyai 6.5 juta pelanggan YouTube manakala pengikut Facebooknya mencecah 39 juta.

Menurut beberapa media antarabangsa, dia merupakan salah seorang pengulas kereta wanita paling popular di dunia dan telah memandu lebih 500 supercar.

Antara kunci kejayaannya adalah menghasilkan kandungan secara tetap dan konsisten serta menyemai keseronokan ke dalam kontennya. - Youthmotivator4life/ lifestyleasia.com

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain