suria

Meremang tengok pemain Magribi sujud syukur, wanita ini saksi detik bersejarah depan mata! Untung jadi sukarelawan Piala Dunia 2022

Siti Nooriza turut sama terharu dengan kemenangan Morocco yang mencipta kejutan di Piala Dunia 2022.

IMPIAN wanita ini yang mahu menyaksikan perlawanan bola sepak Piala Dunia FIFA secara langsung akhirnya menjadi nyata.

Bumi Qatar menjadi saksi di mana salah satu bucket list yang sekian lama dipendam terlaksana jua.

Siti Nooriza Abd Razak 'terbang' ke negara tuan rumah Piala Dunia FIFA 2022 itu dengan membawa nama Malaysia bagi menggalas tanggungjawab sebagai salah seorang daripada ribuan sukarelawan sempena temasya berkenaan.

Siapa sangka daripada suka-suka mencuba nasib, Siti Nooriza terpilih untuk menjadi sukarelawan dalam temasya berprestij berkenaan dan paling menarik, dia merupakan satu-satunya wakil dari Malaysia!

"Saya memang kaki bola sepak. Menonton Piala Dunia secara langsung memang menjadi salah satu bucket list saya. Sebagaimana yang kita tahu, bukan sedikit kos yang perlu dibelanjakan untuk menonton perlawanan Piala Dunia lebih-lebih lagi ia dianjurkan di luar negara.

"Saya sendiri tak sangka impian menjadi kenyataan... saya anggap ia sebagai rezeki di mana mendapat peluang ini menerusi tugas sukarelawan.

"Berpeluang menonton beberapa perlawanan di stadium ketika bertugas sebagai sukarelawan dan ketika diberi reward untuk menonton di kala tidak bertugas, merupakan pengalaman yang sangat berharga," ujar wanita berusia 34 tahun ini.

Memohon di laman web rasmi FIFA

Berkongsi cerita dengan mStar, Siti Nooriza berkata segala-galanya bermula ketika dia hanya sekadar suka-suka membuat carian di laman web mengenai tugas sebagai sukarelawan di Piala Dunia.

"Saya saja-saja browsing dan ternampak iklan mengenai sukarelawan Piala Dunia 2022. Saya ingat lagi, ketika itu sekitar November 2020 dan saya masih bergelar penuntut di Perancis.

qatar 1

Siti Nooriza membawa nama Malaysia bagi menggalas tanggungjawab sebagai salah seorang daripada ribuan sukarelawan di Piala Dunia 2022.

"Selepas nampak iklan itu, saya terus melayari laman web rasmi FIFA dan memang ada permohonan untuk menjadi sukarelawan Piala Dunia 2022. Saya fikir mengapa tidak mencuba? Lagipun tuan rumah adalah Qatar, sebuah negara Islam. Lagi membuak keinginan saya.

"Kalau ada rezeki, ada. Saya pun mohon dan memang suka-suka saja. Selain saya, beberapa rakan lain turut memohon. Selepas memohon, FIFA akan cipta satu akaun peribadi di mana setiap perkembangan permohonan kita akan dimaklumkan menerusi akaun tersebut.

"Pemohon perlu mengemukakan resume beserta pengalaman masing-masing. Pemohon juga perlu menjalani beberapa ujian dan assignment secara atas talian, ditemu bual dan akhir sekali ujian bahasa Inggeris," cerita Siti Nooriza.

ARTIKEL BERKAITAN: Populariti mencanak sebab kacak! Pemain skuad kebangsaan Korea Selatan terpaksa off handphone gara-gara tak henti diganggu

Menurut wanita yang berasal dari Kajang, Selangor itu lagi, dia sama sekali tidak meletakkan harapan yang tinggi memandangkan hanya mempunyai pengalaman bergelar sukarelawan ketika temasya Sukan SEA pada 2017.

"Apabila terpilih untuk ke stage interview, saya tergamam apabila peserta lain dari negara asing mempunyai pengalaman yang bukan calang-calang. Ada yang pernah jadi sukarelawan Piala Dunia, dan temasya lain.

"Terasa kerdil sangat nak dibandingkan dengan mereka. Namun, mungkin rezeki berpihak kepada saya. Selepas menjalani beberapa peringkat ujian sejak November 2020, akhirnya pada Julai 2022, saya terima mesej daripada FIFA mengatakan saya terpilih.

qatar 2

Bersama sebahagian rakan sukarelawan lain dari pelbagai negara.

"Memang rasa tak percaya! Bermacam-macam perasaan bercampur baur. Antara seronok dan sedih juga dalam masa yang sama sebab kawan-kawan lain tak terpilih. Namun mereka tumpang berbangga dan beri galakan untuk saya teruskan," ujar penuntut Doktor Falsafah (PhD) jurusan Kejuruteraan Sivil, Universiti Teknologi Petronas (UTP) ini.

Tugas sebagai sukarelawan Piala Dunia 2022

Menurut Siti Nooriza, sebagai persediaan sebelum terbang ke Qatar, dia perlu menyediakan dokumen berkaitan selain menjalani ujian PCR untuk Covid-19.

"Selain itu, memandangkan saya seorang penuntut, saya perlu mendapatkan kebenaran pihak universiti bagi urusan cuti dan lain-lain berkaitan pengajian.

"Syukur Alhamdulillah, pihak universiti memudahkan urusan dan memberi galakan kepada saya. Saya bersyukur kerana mendapat sokongan padu dari keluarga, rakan-rakan serta pihak universiti," ujarnya.

Siti Nooriza berlepas ke Qatar pada 16 November lalu dan akan 'menetap' di negara berkenaan sehingga 19 Disember, iaitu sehingga perlawanan akhir Piala Dunia 2022.

"Sebaik sampai, saya terus melapor diri bersama sukarelawan yang lain dari pelbagai negara. Sukarelawan akan menjalani training agar memudahkan tugas kelak.

"Saya ditugaskan dalam spectator services. Ia ada beberapa level iaitu untuk penonton, VIP dan lain-lain. Setiap kali sebelum bertugas, sukarelawan akan dibahagikan tugas dan diberi penerangan.

"Saya pernah ditugaskan untuk bahagian VIP. Memang rasa teruja apabila dapat melihat bintang-bintang bola sepak terkenal suatu ketika dahulu di hadapan mata. Antaranya bintang Korea Selatan, Park Ji-sung; bintang Sepanyol, Roberto Carlos dan lain-lain," kongsinya.

Pengalaman paling berharga

Sudah hampir sebulan di Qatar, Siti Nooriza gembira dan kagum dengan setiap pengalaman yang dilaluinya setiap hari.

"Kalau nak tahu, sepanjang dekat sini, tak ada lagi insiden yang kecoh atau berunsur pergaduhan dalam kalangan penyokong. Malah, rakyat dari negara Barat pun cakap, mereka rasa penganjuran Piala Dunia kali ini sangat bagus dan mereka rasa selamat.

"Lagi satu, pengalaman yang saya tak boleh lupa adalah ketika menyaksikan pelawanan membabitkan Magribi. Apabila negara itu menang, penyokongnya meraikan kemenangan dengan sujud syukur dan laungan Allahuakbar.

qatar 3

Bergambar bersama penyokong Korea Selatan.

"Terasa macam meremang... bukan mereka saja yang menitiskan air mata, saya pun sama sebab bangga, salah satu negara Islam dapat mara ke pusingan separuh akhir," ujarnya.

Tidak menyangka video pendek yang dikongsi di Instagram Reels menjadi tular, Siti Nooriza berkata dia gembira dapat berkongsi serba sedikit pengalamannya dengan orang lain.

"Saya suka-suka saja upload dan tak sangka mengundang sehingga lebih 65,000 jumlah tontonan. Ramai yang tanya di ruangan komen tapi saya tak sempat nak jawab kerana kekangan masa dan tugas.

"Saya gembira dapat berkongsi sedikit sebanyak pengalaman dengan orang lain. Dalam masa yang sama, saya nak menggalakkan rakyat kita juga untuk mencuba.

"Antaranya dapat meluaskan network, memperbaiki komunikasi, bagaimana kita interaksi dengan orang lain dan boleh menjadi nilai tambah dalam resume sendiri, di samping reward serta merchandise rasmi daripada FIFA. InsyaAllah, selepas pulang ke tanah air, saya dijemput oleh Kementerian Belia dan Sukan untuk berkongsi pengalaman ini.

"Walaupun Malaysia tak berpeluang beraksi di pentas Piala Dunia, kita boleh sumbang daripada segi tenaga dan wakili negara kita. Yakin dengan kebolehan diri. Bak kata pepatah, belum cuba belum tahu. Yang pasti, ia merupakan pengalaman yang sangat berharga dalam hidup," akhirinya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain