suria

Tak pandai menjahit, wanita ini gigih belajar hingga bina empayar! Anak ada masalah usus asbab permulaan bisnes

Damiana menghasilkan tilam 'handmade' 3D sejak 2018.

BAK kata pepatah, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

Daripada 'zero' kemahiran menjahit, siapa sangka wanita ini kini merupakan pemilik empayar perniagaan tilam jahitan 'handmade' yang berjaya.

Berkongsi liku-liku perjalanan sehingga terbinanya empayar DamianaJun Pakar Tilam Handmade dengan mStar, Damiana Mohd Zaki berkata, segalanya bermula apabila anak sulungnya disahkan menghidap masalah usus ketika masih bayi.

"Masa melanjutkan pengajian di Universiti Islam Antarabangsa (UIA), saya berkahwin dan dikurniakan seorang anak lelaki pada 2014. Di sinilah segalanya bermula macam mana saya terjun ke dalam bidang jahitan.

tilam baru 4

Tilam 'handmade' dengan pelbagai saiz dan corak.

"Anak pertama saya ditakdirkan lahir dalam keadaan kurang sihat berbanding anak yang lain sebab ada masalah usus.

"Sebelum berusia dua bulan, dia dah jalani pembedahan besar untuk betulkan usus. Apabila dah sihat dan makin aktif serta mula meniarap, dia jadi tak selesa... setiap kali nak meniarap, dia menangis sakit kesan luka pembedahan.

"Saya beli tilam kekabu daripada sepupu dan nampaknya dia makin selesa. Bila beli, mesti ada yang kita nak tambah baik untuk ikut cita rasa sendiri. Dari situlah timbul idea untuk buat tilam," ujar wanita berusia 31 tahun ini.

Bermula daripada menjual tilam milik sepupu, Damiana memberanikan diri cuba belajar menjahit untuk menjual tilam sendiri yang diinovasi dengan pelbagai reka bentuk dan saiz.

tilam baru 3

Kedai tilam Damiana terletak di Kampung Padang Midin, Terengganu.

"Saya tak reti menjahit pun. Asas yang ada hanyalah ketika subjek Kemahiran Hidup waktu belajar di sekolah. Pada 2017, saya mula belajar menjahit.

ARTIKEL BERKAITAN: Meremang tengok pemain Magribi sujud syukur, wanita ini saksi detik bersejarah depan mata! Untung jadi sukarelawan Piala Dunia 2022

ARTIKEL BERKAITAN: Bisnes mengait diperlekeh, dianggap tiada untung... Rupanya orang Sepanyol, Texas pun beli! Mampu jana RM10k sebulan

"Guru dan rujukan saya adalah video di YouTube, rakan-rakan dan orang kampung. Nak dijadikan cerita, ketika mengikuti trip syarikat tempat suami bekerja ke Indonesia, pemandu pelancong ketika itu bawa ke rumah orang kampung yang pandai menjahit tilam.

"Di situ serba sedikit saya timba ilmu menjahit. Langsung tak plan pun nak belajar menjahit di sana... tapi seolah-olah Allah melorongkan jalan," ujar pemegang Ijazah Sarjana Muda Diatetik dari UIA ini.

Bermula di rumah dengan sebuah mesin jahit

Menurut Damiana, pada peringkat awal dia memberanikan diri berkecimpung dalam bidang perniagaan menjahit tilam, tenaga kerja hanya terdiri daripada kalangan ahli keluarganya sahaja.

"Ibu, ayah, suami dan adik beradik yang membantu saya. Ketika itu pun hanya ada sebuah mesin jahit saja.

tilam baru 1

Damiana bersama suami dan empat cahaya matanya.

"Bila makin berkembang dan banyak menerima tempahan, saya beli sebuah lagi mesin jahit. Pada peringkat awal, perniagaan ini hanyalah secara dalam talian (online) dan hantar COD (cash on delivery) saja," ujarnya yang menetap di Kampung Pusu Tiga, Bukit Payung, Marang, Terenganu ini.

Hampir enam tahun bertungkus lumus, Damiana berjaya memiliki sebuah kedai sendiri di Kampung Padang Midin yang beroperasi pada awal 2018

Produk yang dihasilkannya termasuklah tilam bayi, tilam kanak-kanak, tilam dewasa, toto 3D, baby nest, bantal dan pelbagai lagi jenis tilam lain.

Lain daripada yang lain

Apa yang membuatkan tilamnya lain daripada yang lain adalah fabrik serta fiber yang digunakan.

"Setiap tilam yang dihasilkan, saya kaitkan dengan pengalaman saya sebelum ini. Jadi setiap masa saya akan buat pembaharuan dalam jahitan.

"Fabrik yang digunakan adalah fabrik import, manakala betting fiber pula memang ditempah khas di kilang sebagaimana spesifikasi yang saya tetapkan. Maknanya ada tilam jenis betting fiber dan ada juga kekabu.

"Sekarang ini, kami juga buat sulaman nama sebagaimana cita rasa pelanggan," ujarnya sambil menambah, perniagaannya kini dibantu oleh enam kaki tangan.

Pelanggan tilam Damiana bukan sahaja terdiri daripada warga tempatan, sebaliknya turut mendapat tempahan dari negara jiran seperti Singapura dan Brunei.

tilam baru 2

Selain suami, ibu dan bapa adalah tulang belakang kepada jatuh bangun Damiana sejak berkecimpung dalam bisnes menjual tilam 'handmade'.

"Ada yang sanggup datang sendiri ke Terengganu semata-mata nak ambil sendiri. Memang tak sangka dengan sambutan pelanggan... syukur Alhamdulillah," ujarnya lagi.

Sokongan keluarga

Tiada apa yang lebih menggembirakan wanita ini apabila perniagaannya mendapat sokongan padu daripada suami dan keluarga.

"Keluarga main peranan yang sangat penting, di samping minat dan kehendak. Bila ada sokongan, kita akan rasa lebih bersemangat.

"Bagi wanita di luar sana, kalau rasa nak buat sesuatu, tapi was-was, apa kata cuba dulu. Ada kawan pernah tanya saya, dia nak mula projek tanam lada... tapi takut nak mencuba.

"Saya kata, kalau ada modal sikit, cuba dulu. Kalau tak cuba, kita tak tahu. Bak kata pepatah, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

"Lagipun, sekarang zaman teknologi di hujung jari. Video tutorial pun banyak. Jadi, manfaatkan teknologi yang ada untuk kebaikan," ujar ibu kepada empat cahaya mata ini lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain