USAHA tidak pernah 'mengkhianati' hasil. Itulah pegangan Firdauz Ahmad Fuad sehingga dia mampu merangkul gelaran juara sebanyak lima kali dalam lapan pertandingan bina badan yang disertai sepanjang tahun 2022. Berusia 27 tahun, dia yang berasal dari Ipoh, Perak mula menceburkan diri dalam bidang sukan dan kecergasan sejak zaman sekolah dan mempunyai cita-cita besar untuk 'terbang' jauh sehingga ke pentas antarabangsa. Firdauz berkongsi video memaparkan wajah serta keadaan giginya suatu masa lalu. "Dulu saya belajar di Sekolah Sukan Negeri Perak. Saya masuk atas 'tiket' bola. Namun disebabkan saya tak terpilih dalam kesebelasan utama pasukan bola, saya sertai sukan lain seperti polo air, ragbi dan renang. Semua sampai ke peringkat negeri. Dari situ saya mula bina otot. "Ayah saya dulu merupakan kaki gim dan model. Ketika saya berumur 12 tahun, dia terapkan supaya saya buat 20 push up setiap hari. Bila makin meningkat umur, jumlah itu semakin bertambah sehinggalah saya dapat buat 1,000 push up sehari ketika berumur 15 tahun. Kemudian, masa umur 18 saya dah mula masuk gim," ujarnya. Mesra disapa Firdauz, dia yang juga seorang ejen insurans terpaksa berusaha keras demi memenuhi impiannya sebagai atlet bina badan dengan mengorbankan masa untuk berseronok dan mengikuti rutin diet yang khusus. Firdauz memasang angan-angan untuk bertanding di peringkat antarabangsa. Namun kata anak jati Perak itu, dia tidak kisah untuk berkorban, sebaliknya menganggap ia sebagai satu usaha demi mencapai segala cita-cita yang dipendam sejak sekian lama. Bahagi masa "Dari segi masa, jadual saya memang padat. Namun mujurlah kerja saya sebagai ejen insurans dapat dilakukan secara freelance, saya boleh tetapkan masa sendiri. Biasanya Isnin hingga Jumaat, saya akan masuk pejabat bermula 10 pagi hingga 5 petang. "Waktu lain pula saya habiskan dekat gim. Sejujurnya cemburu tengok kawan keluar lepak. Dari segi diet pula, saya memang diet gila-gila khususnya sewaktu musim pertandingan. Body builder ni dalam kategori hardcore, memang kena makan banyak. Anak jati Perak ini pernah aktif dalam sukan seperti polo air dan ragbi. "Bila nak siapkan badan sewaktu musim pertandingan, saya akan makan sepapan telur sehari. Saya juga makan satu kilogram (kg) dada ayam sehari. Itu belum termasuk susu dan supplement lain. "Kalau waktu bertanding, sebulan saya habiskan RM1,500 hingga RM2,000 untuk badan. Tapi bagi saya berbaloi. Sejak saya aktif dalam bidang fitness, saya juga terima banyak sponsorship," ujarnya lagi. Transformasi Selain transformasi tubuh, Firdauz juga ada berkongsi video 'glow up' yang memaparkan perubahan pada wajahnya sejak beberapa tahun lalu. Firdauz turut bekerja sebagai ejen insurans. Selain merawat masalah mata rabun, Firdauz juga mengumpul wang selepas bekerja untuk membaiki masalah giginya yang pernah menjadi bahan cercaan suatu masa lalu. "Dulu saya ni sebenarnya genetik senang gemuk. Tak jaga makan terus gemuk. Saya buat badan sebab seronok nampak cantik. Saya juga pernah pakai cermin mata, jadi saya jadi buat laser mata. Kononnya nak jadi askar, nak masuk Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) tapi tak dapat. "Saya juga selalu kena kutuk, orang cakap saya rongak, jadi tak apalah, saya berusaha untuk baiki gigi. Dulu asalnya tak ada duit nak buat gigi. Gigi saya pula genetik banyak pecah-pecah dan rongak. Dah mula kerja, saya kumpul duit perlahan-lahan betulkan lapan gigi yang pecah, buat satu persatu sampai cantik," ujarnya. Firdauz berkata penjagaan badan serta wajah membuatkan dia lebih yakin dengan diri sendiri. Menurut anak sulung daripada dua beradik itu, segala transformasi itu bukan untuk kepuasan di mata manusia semata-mata, sebaliknya turut memberi suntikan keyakinan dalam dirinya. "Dari segi skincare pula, teman wanita saya yang banyak bagi tunjuk ajar. Dah dua tahun saya jaga muka, boleh nampak kesannya pada kulit. Bila kita tahu jaga diri, sudah tentu ia akan memberi keyakinan. "Dulu saya seorang yang pemalu, nak bercakap pun tak pandai. Sekarang, Alhamdulillah saya ada keyakinan diri. Tiada masalah untuk jumpa orang. "Jadi saya nak cakap kat sini, bila orang tegur, kita jangan cepat terasa sebaliknya kena usaha untuk jadi lebih baik," ujarnya lagi. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI