SETIAP manusia yang bergelar hamba Allah tidak akan terlepas daripada ujian dan dugaan. Begitulah juga nasib yang menimpa Ummu Nabilah, 33, apabila perkahwinan yang dibina selama 14 tahun berakhir dengan penceraian. Kini, dia yang turut dikenali sebagai Kakak Hensem Official di aplikasi TikTok perlu berusaha keras melakukan dua kerja pada satu masa demi membesarkan sembilan anak yang berumur antara tiga hingga 15 tahun. "Saya berasal dari Singapura, bekas suami pula merupakan orang Malaysia. Saya berkahwin ketika berumur 17 tahun. Hasil perkahwinan, saya dikurniakan sembilan cahaya mata. "Sepanjang 14 tahun perkahwinan, saya duduk di Malaysia sehinggalah kami berpisah pada Disember 2021. Selepas bercerai, saya balik ke Singapura. Dulu saya hanya suri rumah. Saya tak boleh kerja di Malaysia sebab tak ada visa kerja. Dedah Bella, perkahwinannya hanya bertahan selama 14 tahun sahaja. "Selepas balik Singapura, saya mula bekerja sebagai rider GrabFood. Pada masa sama, saya turut bergelar perunding kecantikan MaryKay," ujarnya yang senang disapa Bella. Terima takdir Bercerita mengenai kehidupannya sebelum ini, Bella menganggap apa yang berlaku sebagai takdir, namun dia tidak pernah serik untuk mendirikan rumah tangga lagi pada masa akan datang. Kata Bella, sudah tentu dia berasa sukar untuk membesarkan sembilan anak, namun reda dengan ketentuan Allah dan berharap dirinya terus cekal untuk meneruskan kehidupan. "Perkahwinan saya bertahan selama 14 tahun saja. Saya tak boleh cerita lanjut, namun secara asasnya, anak-anak kata mereka dah tak boleh bertahan. Pada saya, hidup ini memang sentiasa ada cabaran. Jadi kita kena belajar untuk terima cabaran. "Nak membesarkan sembilan orang anak, memang ada rasa sukar. Cuma pada saya, kita sebagai ibu kena kuat. Mereka pun dah ada trauma, takkan kita nak tambah trauma lagi kan. Apa yang dah berlaku mengajar saya untuk kuat hari ini. "Dulu duduk dengan anak 24 jam. Sekarang kena bekerja. Setiap apa yang berlaku ada baik buruknya. Sebagai perempuan, saya juga saya ada perasaan untuk berkahwin lagi. Tapi saya cuma mohon doa yang baik-baik," ujar Bella lagi. Diri jadi bualan Selain kisahnya sebagai ibu kepada sembilan cahaya mata, penampilan Bella yang kelihatan seperti lelaki turut menjadi bualan, khususnya selepas dia tular di aplikasi TikTok. Bella dihujani mesej sokongan serta kecaman setelah dirinya tular di aplikasi TikTok. Menurut Bella, dia lebih selesa berpenampilan sebegitu kerana tidak mempunyai banyak masa untuk menata rias diri sendiri di hadapan cermin seperti wanita-wanita lain. "Saya bukan pengkid (perempuan berperwatakan lelaki dan menjalinkan hubungan sejenis), saya masih perempuan cuma saya tomboy (perempuan lasak). Penampilan saja macam lelaki. Lagi selesa nak urus diri sebab saya tak suka habiskan masa lebih setengah jam depan cermin. "Sebelum kahwin pun saya memang tomboy rambut pendek, tak pernah panjang. Masa kahwin saya simpan rambut panjang. Kemudian rambut saya kembali pendek selepas berpisah," ujarnya. ARTIKEL BERKAITAN: Netizen ‘ketagih’ layan video tomboi di TikTok, ‘cair’ tengok wajah kacak persis lelaki... Wanita ini pasang niat nak berubah demi mak ayah Selain komen positif daripada netizen yang menyenangi perwatakannya, Bella juga tidak terlepas menerima kecaman termasuklah yang mempersoalkan jumlah cahaya matanya. Kata Bella, dia tidak mempunyai kuasa untuk menutup mulut sesiapa dan menganggap segala tohmahan sebagai peniup semangat untuk kembali bangkit lebih kuat. "Saya ada berkongsi sikit-sikit mengenai anak. Bila saya buat, tiba-tiba blow up. Semakin hari view semakin banyak. Anak-anak pun tahu saya viral. Ada yang okay, ada juga yang tanya, kenapa mama viral pasal ada anak sembilan? Saya kata mungkin sebab saya single, saya jaga mereka, sebab itu kisah saya viral. Dia juga bersyukur apabila banyak menerima sokongan positif menerusi TikTok. "Sudah tentu akan ada kecaman. Antaranya mereka persoalkan kenapa saya tak makan pil perancang. Ada juga yang tuduh saya tak bekerja, buat live untuk promote diri. Saya tak ambil berat pun dengan semua komen tu. Pernahlah terfikir nak tutup TikTok, tapi teman-teman rapat minta saya tak hiraukan mereka yang toksik. "Saya memang baca semua komen, saya akan scroll sebelum tidur setiap malam. Apa yang ditulis, saya hanya ambil sebagai penguat semangat. Yang mana doa baik-baik, saya doa agar dimakbulkan dan semoga doa itu berbalik kepada mereka juga," ujarnya lagi. Pesanan buat wanita Sebagai insan yang pernah melalui fasa duka dalam kehidupan, Bella yang juga TikToker Pilihan mStar minggu ini sempat menitipkan pesan kepada ibu tunggal di luar sana agar terus tabah dan cekal. "Kita kena cari positive circle. Jangan duduk dalam negative circle. Bukanlah kena jauhkan atau tolak 100 peratus, tapi lebih baik untuk tak terlalu banyak bergaul dengan orang negatif. Sebaliknya, cari kawan yang boleh berikan sokongan, kata-kata semangat dan sentiasa ingatkan tentang kebaikan. "Pada saya, kita juga kena keluar dari kotak selesa. Sebabnya tak bagus kalau kita terlampau selesa. Contohnya dulu jadi suri rumah, takut nak keluar. Sebenarnya kita kena berani cabar diri untuk jadi lebih baik pada masa akan datang," ujarnya lagi. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI